Utusan dekat di hati Ahmad Nawab - Utusan Malaysia

Utusan dekat di hati Ahmad Nawab

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Utusan nyalakan semangat merdeka
Tiupkan api cinta manusia
Ranjau dan duri telah dilalui
Tambah yakin diri
Membawa hasrat nusa bangsa
Menyebar fikiran rakyat.

Zaman ke zaman
Utusan melangkah maju
Suara bangsa dari seluruh negara
Utusan terus maju
Untuk nusa dan bangsa.

Itulah bait-bait lirik lagu Suara Keramat yang menjadi lagu rasmi Utusan yang diperdengarkan buat pertama kali pada majlis Makan Malam Keluarga Utusan Melayu sempena menyambut Ulang Tahun Utusan Melayu yang ke-44 pada 19 Jun 1983.

Memuatkan artikel berkaitan…

Lagu perjuangan Utusan itu amat dekat di hati penciptanya, Datuk Seri Dr. Ahmad Nawab Khan dan penulis lirik, Ketua Pengarang Utusan ketika itu, Tan Sri Zainuddin Maidin yang sentiasa membawa memori Utusan dulu dan selamanya.

Utusan Malaysia bertarikh 17 September 2013 memuatkan berita bertajuk ‘Datuk Ahmad Nawab – Terlalu dekat dengan saya’, jasa akhbar Utusan Malaysia (dulu dikenali Utusan Me­layu) kepada perjuangan se­ninya terlalu besar dan percaya kegemilangan akhbar ini akan kekal sampai bila-bila.

“Hubungan saya dengan Utusan sangat rapat dan sukar digambarkan bagaimana sa­yangnya saya dengan akhbar ini.

“Saya tahu kalau mahu membalas segala jasa pengarang dan wartawan Utusan memang tidak ternilai dengan wang ringgit. Sebab itu saya bangga apabila diberi peluang untuk menggubah lagu Suara Keramat bersama rakan saya, Zainuddin Maidin yang juga mantan Ketua Pengarang Utusan,”katanya.

Laporan itu memetik, Ahmad Nawab berharap akhbar Utusan Malaysia akan terus menjadi nadi perjuangan khususnya orang Melayu, baginya sebagai antara pejuang seni beliau mahu akhbar ini terus memartabatkan golongan se­pertinya.

“Kalau ikutkan masih ramai lagi rakan-rakan saya di sana (Utusan) hari ini. Sebagai seorang anak seni hubungan saya dengan Utusan tidak akan pernah putus. Saya tahu saat ini apa yang mampu saya lakukan adalah terus menyokong perjuangan Utusan. Tiada apa yang mampu saya katakan selain selamat maju jaya Utusan dan te­rus berada di landasan,”katanya.

Antara pencapaian terbesar Ahmad Nawab sepanjang penglibatannya dalam dunia seni tanah air apabila diiktiraf tokoh seni pertama kategori bidang muzik yang diangkat sebagai Seniman Negara Ke-7 pada Anugerah Seni Negara 2006 yang dianjurkan oleh Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (KeKKWa) di Kuala Lumpur pada 22 November 2006.

Anugerah itu merupakan pengiktirafan tertinggi kerajaan buat insan seni yang banyak menyumbang jasa serta pe­ngorbanan dalam bidang diceburinya.

Sejak anugerah itu diper­kenalkan pada 1993, enam tokoh daripada pelbagai cabang seni telah menerima anugerah berprestij tersebut.

Mereka terdiri daripada Hamzah Awang Amat penerima anugerah seniman negara pertama kerana sumbangannya dalam persembahan wa­yang kulit, Datuk Syed Ahmad Jamal (1995 – lukisan), Wan Su Othman (1997 – ukiran), Khadijah Awang (1999 – Mak Yong), Datuk Syed Alwi Syed Hassan (2002 – teater) dan Rahman B (2004 – bangsawan).

Ahmad Nawab yang mula berkecimpung dalam arena muzik lebih lima dekad lalu dan merupakan anak kelahiran Jalan Trafer, Pulau Pinang itu sudah mencipta lebih 2,000 lagu.

Selain itu, Ahmad Nawab mempunyai ratusan koleksi piring hitam yang pernah diterbitkan selain anugerah-anugerah dimenanginya.

Atas kejayaan dan jasanya itu, Ahmad Nawab dikenang oleh Utusan dan dianugerahkan Anugerah Jasamu Dikenang sempena Majlis Hari Raya Kelab Veteran Utusan Melayu (KVUM) di Kuala Lumpur pada 12 Janua­ri 2001.

Pengiktirafan itu diberi atas komitmen tinggi Ahmad Nawab sehingga berjaya melahirkan penyanyi terkenal tanah air seperti Jamal Abdillah, Sharifah Aini, Sudirman Arshad, Uji Rashid, Ramlah Ram dan ramai lagi.

Anugerah itu disampaikan oleh Timbalan Perdana Menteri ketika itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini