ALOR SETAR – Bekas penasihat peribadi dan kewangan kepada usahawan terkenal, Datuk Dr. Che Rozmey Che Din dihukum penjara 15 tahun dan denda RM90,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan pecah amanah berjumlah RM246,600 sejak lima tahun lalu.
Hakim Azman Abu Hassan menjatuhkan hukuman itu ke atas tertuduh, Abdullah Sani Ismail, 64, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah ke atas tiga pertuduhan tersebut di akhir kes pembelaan.
Abdullah Sani kemudian disabitkan bersalah sebelum dijatuhkan hukuman penjara lima tahun dan denda RM30,000, tidak bayar lapan bulan penjara bagi setiap pertuduhan dihadapinya.
Mahkamah memerintahkan hukuman penjara berjalan serentak bermula hari ini selain membenarkan permohonan peguam tertuduh, Badrol Hisham Abdullah untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara sehingga selesai rayuan.
Mengikut pertuduhan, Abdullah Sani selaku penasihat peribadi dan kewangan di syarikat Herba Prima Marketing didakwa melakukan pecah amanah dengan mengambil wang sewaan bangunan di Taman Bayu Mutiara, Bukit Mertajam, Pulau Pinang milik Che Rozmey, masing-masing berjumlah RM97,000, RM88,000 dan RM61,600.
Dia didakwa melakukan semua kesalahan itu di syarikat Herba Prima Marketing di Bandar Darulaman Jaya, Jitra dekat sini antara September 2014 hingga 8 Julai 2016.
Bagi setiap pertuduhan, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Sementara itu, Che Rozmey yang turut berada di pekarangan Kompleks Mahkamah Alor Setar berkata, dia bersyukur dan berpuas hati dengan keputusan mahkamah tersebut. – K! ONLINE











