MTIB sedia pinjaman mudah tanam buluh - Utusan Malaysia

MTIB sedia pinjaman mudah tanam buluh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN 21 Sept. – Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) menyediakan pinjaman mudah kepada mana-mana pihak yang berminat mengusahakan penanaman buluh.

Ketua Pengarahnya, Mohd. Kheiruddin Mohd. Rani berkata, MTIB telah diarahkan oleh Kementerian Industri Utama untuk mencari sumber baharu sebagai bahan mentah dalam industri perkayuan negara.

“Dalam aspek itu, kementerian memberikan penekanan kepada industri buluh, jadi MTIB menyediakan pinjaman mudah kepada sesiapa yang berminat menanam buluh.

Memuatkan artikel berkaitan…

“MTIB akan mencari pelabur asing yang berminat untuk melabur dalam industri buluh di negara ini dan kita juga akan berbincang dengan kerajaan-kerajaan negeri untuk memberikan tanah bagi kita membuat ladang buluh,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Pahang Wood and Lifestyle Fair di ruang legar Kuantan Parade di sini hari ini.

Yang hadir sama, Pengarah Bahagian Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera MTIB, Kamaruzaman Othman.

Mohd. Kheiruddin berkata, setakat ini, ada pelabur asing yang berminat untuk melabur dalam industri buluh di negara ini.

“Menteri Industri Utama, Teresa Kok akan Jepun pada bulan Januari tahun depan dan salah satu misinya kita akan mengadakan dialog untuk menarik pelabur dari Jepun untuk melabur dalam industri buluh di negara ini,” katanya.

Berhubung Wood and Lifestyle Fair, beliau berkata, program itu merupakan acara tahunan yang dilaksanakan MTIB sejak 2016.

“Melalui program ini, usahawan produk perkayuan terutama bumiputera dapat mempromosikan produk masing-masing dan seterusnya meningkatkan penyertaan dalam industri perkayuan terutama bagi sektor pembuatan perabot,” katanya.

Jelasnya, berdasarkan rekod MTIB, sepanjang pelaksanaan program itu sejak tiga tahun lalu telah meraih jualan berjumlah RM35 juta.

“Pencapaian ini adalah hampir 10 kali ganda daripada kos yang dibelanjakan untuk program pameran iaitu RM3.5 juta.

“Untuk Pahang Wood and Lifestyle Fair yang akan berlangsung selama 10 hari bermula semalam, kita sasarkan jumlah jualan sebanyak RM2 juta berbanding RM1.8 juta pada tahun lalu,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×