PETALING JAYA: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengumumkan pembukaan cawangan baharunya di Kwasa Damansara.
Cawangan itu terletak di Menawa KWSP di Persiaran Kwasa Utama, Kwasa Damansara.
Menurut KWSP, pejabat baharu itu melengkapkan rangkaian di Shah Alam serta menawarkan perkhidmatan kepada ahli dan majikan bagi urusan berkaitan pendaftaran, penamaan, pengeluaran serta khidmat nasihat persaraan.
“Pejabat KWSP Cawangan Kwasa Damansara ini dibuka setiap Isnin sehingga Jumaat, bermula pukul 8 pagi hingga 5 petang. Waktu operasi kaunter di cawangan bermula dari 8.30 pagi hingga 4.30 petang, Isnin sehingga Jumaat,” katanya dalam kenyataan.
Dana persaraan itu memberitahu, pihaknya kini mengendalikan 68 cawangan di enam wilayah utama di Malaysia.
“Ahli dinasihatkan untuk menghubungi Pusat Pengurusan Perhubungan KWSP di talian 03-8922 6000 atau rujuk laman web KWSP di www.kwsp.gov.my, atau kunjungi manamana kaunter KWSP di seluruh negara untuk maklumat lanjut mengenai produk dan perkhidmatan KWSP,” jelasnya.
KWSP merupakan antara dana persaraan tertua di dunia. Ditubuhkan pada 1951, KWSP terus mendokong misi untuk melindungi simpanan ahli dan menyediakan perkhidmatan terbaik.
Terbaharu, selaras dengan visi untuk membantu ahli mencapai masa depan yang lebih baik, KWSP telah melebarkan fungsinya untuk merangkumi ekosistem kesejahteraan sosial yang menyeluruh.
KWSP terus komited kepada ahli melalui usaha-usaha tekal untuk mengemaskini dan menambah baik, agar dapat membina asas kukuh bagi menjamin kesejahteraan mampan, holistik dan saksama untuk semua rakyat Malaysia. – UTUSAN









