Satu Dua Tiga, Jom! bertaraf antarabangsa - Utusan Malaysia

Satu Dua Tiga, Jom! bertaraf antarabangsa

Tiara mengakui seorang yang tegas ketika bekerja bagi memberikan sebuah hasil tangan yang berkualiti kepada penonton.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Puan Seri Tiara Jacquelina, antara salah seorang anak seni yang saya amat kagumi dalam industri seni tempatan.

Sentiasa mahukan yang terbaik, kreatif dalam menghasilkan buah tangan. Kecintaan dan jiwa terhadap seni juga besar.

Sentuhan terbaharunya iaitu video demo keselamatan Malaysia Airlines (MAS) berjudul Satu Dua Tiga, Jom! berjaya mencuri perhatian warganet, baru-baru ini.

Apa yang saya boleh katakan, video terbitan syarikatnya, Enfiniti dan arahan skrin oleh Tiara dengan kerjasama MAS ini sememangnya mengagumkan.

Hasil berborak lama bersama figura ini, dapat juga sedikit sebanyak input mengenai penghasilan video yang masih menjadi bualan warganet.

“Sekitar Oktober tahun lalu, ada seorang individu daripada MAS hubungi saya untuk menghasilkan sebuah video demo, sebelum pesawat berlepas.

“Ketika saya bercakap dengannya, jika mahu memanggil saya untuk mengarah janganlah beri board yang biasa-biasa kerana staff mereka pun boleh lakukannya.

“Kemudian, apabila dia inginkan sesuatu yang berbeza, ya saya terus on. Sekarang juga saya sudah boleh bayangkan bagaimana pelbagai idea yang menarik,” katanya.

Dedah penerbit teater Ola Bola The Musical itu, antara faktor utama dia mahu melibatkan diri dalam projek ini adalah menghasilkan sesuatu yang dapat meningkatkan semangat rakyat Malaysia semula.

Selepas majoriti masyarakat terkesan dengan penularan virus Covid-19 terutama apabila kerajaan terpaksa melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Jadi, apabila MAS mahu untuk membuat sesuatu yang berbeza dan pembaharuan, itu yang terhasilnya idea bertemakan musikal. Pada pendapat saya, jika dilihat iklan mereka yang sebelum ini, orang tidak perasan pun. Pada masa sama, ketika itu virus Covid-19 sedang memuncak.

“Saya pun rasa, apa kata kita membuat sesuatu untuk memberi semangat semula rakyat Malaysia. Ia kerana, waktu itu ramai yang mengalami depresi, kemurungan, kehilangan pekerjaan dan sebagainya. Jika seseorang sudah tiada semangat, ekonomi teruk pun teruklah. Kita pun sudah tidak larat,” tuturnya.

Tambahnya lagi, idea untuk turut sama berkolaborasi dengan syarikat tersebut juga tercetus apabila kedua-dua industri itu paling terkesan semasa pandemik.

“Maka, dari ceruk kami dalam industri hiburan tempatan, inilah kita boleh lakukan untuk Malaysia.
“Antara industri terkesan pada ketika itu adalah industri seni dan industri penerbangan. Jadi, kami semua terkesan maka marilah buat sesuatu. Jadi, itulah tercetusnya idea ini,” kongsinya lagi.

Bukan sebab wang
Menampilkan lebih 150 kru dan pelakon, video keselamatan tersebut juga mengangkat industri seni persembahan dengan penampilan bakat-bakat bidang berkenaan.

Antara nama besar yang membintangi termasuklah ikon kemanusiaan, Tan Sri Dr. Jemilah Mahmood, Miss Universe Malaysia 2020, Francisca Luhong James, ahli fizik, Tan Sri Mazlan Othman, pereka fesyen, Syomir Izwa Gupta dan atlet gimnastik negara, Farah Ann Hadi.

Tiara dan pengarah terkenal, Yusry Abdul Halim turut sama menyerikan video itu, selain pelakon Diana Danielle, Ida Mariana, Azman Naim, Datin Lisa Surihani, Sangeeta Krishnasamy, kru kabin MAS serta ramai lagi.

“Idea saya pun menggabungkan kesemua ikon Malaysia yang kita mahu dunia lihat. Antaranya atlet sukan gimnastik, para pelakon yang pernah memenangi anugerah, para pasukan perubatan, insan yang mencipta program angkasawan dan sebagainya.

“Kita turut menampilkan orang biasa seperti penari-penari dan pelakon yang lain. Jadi itulah yang saya mahu tampilkan untuk memberi semangat kepada orang ramai. Orang ramai tidak tahu semua ini.

“Jadi, saya ketengahkan ia untuk memberi dunia lihat mereka inilah ikon yang mengharumkan nama negara. Signifikan utama pemilihan ikon ini adalah untuk memupuk rakyat Malaysia bangga. Seperti Mat Kilau dan Hang Tuah, bila rakyat kita sendiri lihat, dia pun turut berasa bangga dan boleh dibanggakan,” katanya.

Proses pembikinan video berkenaan mengambil masa empat hari di studio dan keseluruhannya bermula sejak bulan Oktober lalu.

Mengulas mengenai cabaran, kata Tiara antara dihadapi ialah hightlight berikutan kekurangan bajet bagi mengeluarkan video yang berkualiti sebegitu rupa.

“Pengambaran sewaktu Ramadan pun cabaran juga. Ditambah pula aksi melompat, menyanyi serta terkinja-kinja. Berbuka dan sambung semula sehingga sahur dan sambung semula.

“Cabaran lain ialah bajet. Jika diikutkan, visi saya besar seperti apa yang telah dikeluarkan. Tetapi, MAS kekurangan bajet kerana sedia maklum syarikat ini juga terkesan dengan pandemik.

“Kalau nak diikutkan nilai apa yang kita telah lakukan ini, 10 kali ganda. Tetapi oleh kerana semua yang terlibat ini lakukan kerana kasih sayang terhadap MAS dan negara. Kita lakukan sebaiknya,” kongsinya.

Namun, apa yang dapat dibanggakan adalah wang bukan keutamaan setiap kru dan barisan pelakon untuk melibatkan diri menerusi projek ini. Sebaliknya kerana atas dasar kecintaan terhadap tanah air.

“Kalau nak diikutkan bajet boleh menelan berjuta ringgit. Jika kita lihat kualitinya, memang tidak boleh dengan bajet yang kita ada yang terlalu kecil. Yang tidak boleh membayar harga pelakon.

“Dua ke tiga orang pun tidak mampu untuk membayar, jika diikutkan harga profesional. Namun, semua yang terlibat lakukan projek ini bukan kerana wang malah kerana kecintaan terhadap negara,” jelasnya lagi.

‘Saya cerewet & tegas’
Tiara Jacquelina turut menzahirkan kesyukuran apabila hasil sentuhan kreatifnya mendapat respon positif penonton.

“Puas sudah tentu puas. Alhamdulillah, sebelum ini saya tidak pernah melakukan apa sahaja yang tular. Dan ini pertama kali, hah saya terkejut juga. Tak kan lah pada hari itu juga tular. Wow, tidak sangka.

“Ia kerana, kita sibuk ingin menghasilkan sahaja. Fikir bagaimana nak menghasilkan sesuatu yang terbaik. Saya bersyukur kerana diterima dan penonton seronok malah menerima maklum balas yang positif.

“Apabila saya menghasilkan sesuatu projek, harapan saya adalah untuk lakukan dan menerima maklum balas yang baik,” tuturnya bernada gembira.

Kata Pelakon Terbaik, Festival Filem Malaysia (FFM) pada 1995 dan Festival Filem Asia Pasifik (2004) itu, dia akui selepas ini dirinya perlu lebih bekerja keras lagi dalam menghasilkan sebuah video yang lebih berkualiti.

“Jadi jika seperti ini, saya perlu ‘push’ lagi untuk projek yang akan datang pula untuk menghasilkan kualiti yang lebih bagus. Tidaklah nanti orang kata ‘alah, sekali itu sahaja dia buat bagus’. Saya pula bukan jenis melakukan sesuatu dengan ‘cincai’, tidak pernah.

“Lebih baik saya tolak atau tidak buat daripada saya terus lakukan. Jadi, jika ada lagi peluang sudah semestinya saya akan lakukan yang lagi bagus dan harus, walaupun akan ada cabaran dan tekanan tersendiri,” ujarnya.

Mengakui dirinya seorang penerbit dan pengarah yang tegas dan cerewat dalam bekerja namun sifat itu menghasilkan buah tangan berkualiti.

“Istilah sambil lewa tidak pernah ada dalam kamus hidup saya. Saya orang yang paling cerewet sampaikan detail pun saya akan ambil tahu.

“Saya juga tegas sewaktu bekerja. Anda boleh tanya sesiapa yang pernah bekerjasama dengan saya terutama yang membintangi projek ini. Boleh tanya mereka cara kerja saya bagaimana,” kongsinya panjang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×