Drama 'Hati Yang Tersakiti' terima reaksi luar biasa - Utusan Malaysia

Drama ‘Hati Yang Tersakiti’ terima reaksi luar biasa

Drama Hati Yang Tersakiti (HYT) siaran TV3 melabuhkan tirainya minggu lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DRAMA Hati Yang Tersakiti (HYT) telah pun melabuhkan tirainya minggu lalu. Tetapi jangan tidak tahu, dek kuatnya penangan drama itu, bukan sahaja barisan pelakon terkena tempias emosi penonton dan warga net, penerbit drama tersebut juga turut terkesan.

Kata penerbit produksi Art Ornament Sdn. Bhd., Aida Othman, dia terkejut menerima reaksi luar biasa daripada penonton HYT dengan ada sesetengahnya dilihat seakan terobses dengan karektor termasuk jalan cerita drama tersebut.

Dalam mendakap rasa bangga, Aida bagaimanapun turut merasa khuatir sekiranya dia telah melakukan kesilapan dengan menjentik hati kaum wanita untuk ‘membenci’ golongan suami.

“Saya menerima banyak komen dan mesej peribadi dalam media sosial dengan rata-rata melahirkan rasa sedih, kecewa, marah dan ada yang mengaku terheret dengan kenangan hitam zaman silam diperlakukan suami cara itu.

“Jujur, saya dan penulis skrip drama ini, Azril Hamzah, tiba-tiba terasa bersalah. Adakah kami telah menyakitkan hati mereka? Kalau ada, minta maaf sangat-sangat sebab bukan niat kami untuk menghentam kaum lelaki khususnya para suami. Adakah kami salah kerana menghasilkan drama ini? Semua pertanyaan jadi campur-baur dan membuatkan saya terpanggil untuk memberi penjelasan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menurut Aida, dia dan Azril menghasilkan drama itu dengan meletakkan isu kemasyarakatan dan antaranya isu kecurangan pasangan. Mesej utama kami ialah agar suami atau isteri sama-sama menghargai pasangan masing-masing termasuk menghargai orang sekeliling.

“Tak dinafikan naskhah ini dekat dengan masyarakat sehingga ada yang melihat diri mereka dalam karektor drama. Mungkin kerana lakonan mantap barisan pelakon berjaya menzahirkan lakonan secara spontan dan mengesankan,” katanya.

Sekatan karya

Berbicara mengenai senario pembikinan drama lokal yang sering dianggap mempunyai jalan cerita sama dan boleh dijangkakan, Aida ada pandangan tersendiri.

Dari sudut pandang sebagai seorang penerbit, dia mengaku pada kebanyakan masa, pengkarya seni terhad dalam penghasilan sesuatu naskhah kerana terikat dengan batas dan sensitiviti masyarakat.

Perlu bekerja dalam garis panduan yang ditetapkan, kebarangkalian untuk pengkarya seni mempunyai idea yang sama itu ada, tetapi yang membezakannya adalah penyampaian jalan cerita buat penonton.

“Ada ketika kami perlu berhati-hati ketika menyampai sesuatu naskah. Kalau nak diikutkan kepala dan idea masing-masing, macam-macam yang orang seni seperti kami nak buat.

“Audiens juga bermacam cara penerimaan. Ada sesetengah boleh menerima, ada yang sebaliknya. Kalau menyajikan karya yang memerlukan mereka berfikir berat pun, ada waktu macam tidak kena.

“Sebab ada yang cuma nak tontonan santai dan hiburan sahaja. Bagi saya, idea yang bagus dan menarik itu penting walau kelihatan klise, tetapi pastikan ada pengajaran diselitkan dalam setiap naskhah,” katanya.

 

Lakonan mantap pelakon HYT berjaya mengusik emosi penonton.

‘Poster sahaja nampak macam sama’

Mengulas mengenai drama berkenaan didakwa meniru drama dari Korea Selatan berjudul The World of The Married, Aida menafikannya.
Katanya kekeliruan itu timbul kerana poster drama itu kebetulan sama dengan drama Korea berkenaan.

“Poster sahaja nampak macam sama. Itu pun kerana ada warganet yang memotong seorang pelakon dalam poster itu. Poster asal drama itu memaparkan gambar empat orang pelakon. Bagi menampakkan poster itu seolah-olah ditiru, ada yang bertindak macam yang saya katakan,” katanya.

Begitupun, kata Aida, memang mereka berniat menghasilkan drama ini dengan mirip cerita Korea, tetapi tidaklah sampai tergamak meniru idea orang.

“Jalan cerita pun berbezalah,” katanya.

Tegas Aida, ketika isu itu timbul, pihaknya sudah memberi maklum balas dan menjelaskan pada pihak stesen televisyen dan perkara itu dianggap sudah selesai.

Berdasarkan sambutan hangat penonton termasuk cadangan banyak pihak, Aida berkata produksinya kini sedang mempertimbang hasrat untuk menghasilkan sambungan karya 15 episod itu buat musim kedua.

Drama HYT mengisahkan kecurangan suami dengan sahabat baiknya sendiri. Ia dibintangi Remy Ishak sebagai Haris, Nad Zainal sebagai Mona dan Mimi Lana sebagai Farah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×