NAMANYA Pine Kitchen Bangi yang pasti ramai menyangka ada kaitan dengan pokok pain, Sebenarnya pine itu bermaksud pineapple iaitu buah nanas yang merupakan bahan utama dalam masakan di restoran ini.
Menyediakan lebih 150 menu, tidak sukar untuk restoran tersebut memperoleh nanas MD2 kerana buah tersebut didatangkan segar dari ladang miliknya di sekitar Bangi.
Diusaha oleh dua rakan niaga, Syuhirdy Mat Noor yang mempunyai pengalaman luas sebagai cef dan rakan, Mejar (B) Muhamad Zahiri Zainuddin, restoran ini dibina menggunakan 11 kontena terpakai.
Kata Syuhirdy atau dikenali sebagai Cef Ady, 41, restoran ini berkonsep santai dengan kebanyakan perabot dihasilkan sendiri (DIY) menggunakan bahan terpakai.
“Pine Kitchen Bangi bukan sekadar restoran untuk menjamu selera sebaliknya sebuah pusat sehenti untuk pelanggan relaks sambil makan dan berhibur menyaksikan persembahan kumpulan busker serta membeli belah di butik Mavi Jeans yang terdapat dalam restoran,” ujarnya.
Mula beroperasi pada 15 September tahun lalu, Cef Ady berkata, penyediaan menu adalah hasil kajian dan temu bual dengan warga sekitar tentang makanan dan minuman (F&B) yang mampu memenuhi selera mereka.
Maka rentetan itu terhasil menu makanan barat, nasi kandar Melayu, makanan oriental iaitu Melayu dan Cina dan makanan Itali serta Arab di Pine Kitchen Bangi.
Nasi Kandar Melayu merupakan menu yang terawal diperkenalkan ketika mula beroperasi, dihidangkan untuk makan tengah hari dengan membawa rasa asli nasi kandar dari Pulau Pinang sementelah Ady sendiri berasal dari negeri tersebut.
Bezanya lauk pauk tidak dicedok daripada talam lauk sebaliknya pelanggan boleh menikmati lauk pauk yang panas dicedok terus daripada kuali dan kawah seperti gulai daging batang pinang, daging masak hitam dan ayam yang digoreng panas-panas.
Kata Ady, istimewanya warga Bangi selepas kajian F&B dilakukan ialah mereka tidak boleh dipisahkan dengan makanan bersalai. Maka untuk memenuhi selera mereka, Pine Kitchen turut menyediakan masak lemak cili api daging, itik dan ayam salai.
Antara makanan signature ialah char broiled meltique beef cube roll, stik menggunakan daging lembu batang pinang dihidang bersama-sama kentang putar, salad dan nanas dipanggang serta sos lada hitam.
Shellout talam, makanan laut yang dihidang dalam talam turut mendapat permintaan ramai didatangkan dengan tujuh rasa iaitu kari, asam pedas, kam heong, rendang pedas, tomyam, baba dan nyonya serta minang (masak lemak cili api).
Yang menggemari nasi goreng boleh mencuba nasi goreng nanas iaitu nasi yang digoreng menggunakan jus buah nanas dan makanan laut seperti udang atau ketam, dihidang dalam buah nanas.
Sambil menanti menu utama dihidangkan, pelanggan boleh memesan pembuka selera colek empat serangkai yang menggabungkan daging lembu, kambing, itik dan ayam yang disalai dihidangkan bersama-sama pencecah tiga rasa iaitu sos thai, air asam dan sos pedas minang (masak lemak cili api).
Hidangan super mumbo jumbo terdiri daripada ayam dan daging kambing yang gril dan sosej jumbo bersama-sama spageti bolognese, bebola daging, salad, roti bawang putih, kentang putar, sayur-sayuran dan sos lada hitam termasuk nasi mentega turut menjadi kegemaran pelanggan yang berkeluarga.
Yang lebih suka makanan laut boleh mencuba ikan salmon gril yang dihidangkan bersama sos teriyaki pekat, kentang putar dan sayur-sayuran.
Pine Kitchen Bangi turut menawarkan hidangan gril dan stimbot `buffet’ untuk penggemarnya dengan hidangan ayam, kambing dan daging yang diperap dengan sos tersendiri seperti sate, kari dan rendang pada harga RM30 seorang.
Selain itu Pine Kitchen juga menyediakan sudut roti dengan roti yang diadun sendiri dan menariknya piza yang dihidangkan dibakar menggunakan kayu api dalam ovenwood.
Tidak lengkap jika tidak merasa air jus nanas MD2 gelas besar yang segar di Pine Kitchen Bangi.
Sambil menikmati hidangan yang bermula pada harga RM6.90 sehingga RM69.90, para pelanggan akan dihiburkan dengan alunan suara kumpulan busker melalui segmen busking bermula pukul 8.30 malam hingga 11.30 malam setiap Jumaat sehingga Ahad.











