Kisah Aqilah dan ladang buah tin - Utusan Malaysia

Kisah Aqilah dan ladang buah tin

NUR Aqilah Shabudin
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Jika 10 tahun yang lalu, mungkin tidak begitu ramai dalam kalangan kita yang mengetahui khasiat sebenar buah tin. Ia adalah satu daripada tujuh makanan sunah. Ini memandangkan tanamannya tidak begitu dikomersialkan di negara ini pada waktu itu.

Namun, dewasa ini, boleh dikatakan hampir setiap negeri ada pengusaha tanaman pokok tin itu sendiri. Bezanya mungkin, tanaman tersebut diusahakan sama ada untuk tujuan persendirian atau komersial.

Bagi seorang pengusaha tanaman pokok tin, Nur Aqilah Shabudin, 25, potensi yang ada pada tanaman itu membuatkan dia tertarik menceburkan diri secara sepenuh masa dalam bidang tersebut.

LULUSAN BIOTEKONOLOGI
Siswazah dalam bidang bioteknologi itu juga sanggup ‘berguru’ dengan rakan ibunya di Negeri Sembilan yang mahir dengan selok-belok penanaman buah tin selain mendalami sendiri ilmu tersebut menerusi pembacaan daripada buku dan internet.

“Alhamdulillah, sejak memulakan projek ini hampir empat tahun lalu, permintaan terhadap buah tin khususnya di negeri ini tidak pernah berkurang. Ini secara tidak langsung membuktikan bahawa orang ramai sudah menyedari kebaikan sebenar buah ini,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

BUAH Tin

Beroperasi di bawah jenama Fig Tree Garden (FTG) yang dibangunkan di atas tanah seluas 0.6 hektar di Pokok Tampang, Tasek Gelugor, Pulau Pinang, Nur Aqilah mengakui bahawa mengusahakan tanaman buah tin tidaklah sesukar mana.

Begitupun katanya, buah tersebut tidak boleh bertahan untuk tempoh yang lama selepas dipetik dan ia juga tidak boleh diperam sebelum dipos kerana sifatnya yang cepat masak.

“Justeru, kami tidak terlalu bergantung kepada penghasilan buah tin secara segar sahaja sebaliknya turut memberi tumpuan kepada produk hiliran berasaskan tanaman buah tin ini.

“Dengan adanya produk hiliran seperti kopi dan susu kambing dicampur dengan ekstrak buah tin ini, setidak-tidaknya kami boleh mempelbagaikan produk,” katanya.

Bagaimanapun, beliau mengakui perniagaannya terkesan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerana perlu menghabiskan buah tin yang telah dipetik bagi mengelakkan ia rosak atau dibuang begitu sahaja.

BUAH Tin segar yang siap dibungkus sedia untuk dimiliki.

Ujar Nur Aqilah, selain kopi dan susu kambing, FTG turut mengusahakan minuman dadih cikedut berasaskan buah tin dan sabun mandi.

“Setakat ini, dua produk kami yang mendapat permintaan tinggi ialah kopi dan susu kambing FTG yang kini dipasarkan ke seluruh negara menerusi agen-agen kami di beberapa tempat termasuk di Kuala Lumpur, Kelantan dan Johor,” katanya yang menyasarkan untuk menggandakan jumlah agen dalam tempoh beberapa bulan lagi berbanding 10 orang ketika ini.

Ingin tembusi pasaran global
Wanita kecil molek yang bersemangat besar itu juga tidak menolak kemungkinan meluaskan pasarannya hingga ke luar negara jika menerima permintaan yang tinggi dan sesuai.

Katanya, setakat ini, pasaran Indonesia dilihat paling ideal namun beberapa prosedur pengimportan perlu dipatuhi dan diambil kira sebelum impian tersebut boleh dilaksanakan.

Ketika ini juga katanya, FTG turut menerima kunjungan dan lawatan daripada pelbagai pihak termasuk rombongan sekolah serta pelancong luar negara yang tertarik dengan kaedah penanaman buah tin yang diusahakan oleh Nur Aqilah bersama dua orang pekerjanya.

“Walaupun kunjungan agak kurang dan terhad ketika PKP ini, kami masih menerima tetamu yang berminat mendapatkan buah segar atau anak pokok dan keratan batang pokok tin.

“Sekiranya pelanggan tidak berkelapangan datang ke sini, tak perlu bimbang kerana FTG juga menyediakan khidmat penghantaran hingga ke rumah jika perlu,” katanya.

Beliau memberitahu, pihaknya turut menganjurkan kelas ringkas berkaitan penanaman dan penjagaan pokok serta buah tin kepada mana-mana individu atau organisasi yang berminat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×