Rahsia kehebatan penghasilan angklung - Utusan Malaysia

Rahsia kehebatan penghasilan angklung

TUMIAN Muridan bermain set angklung solo yang mengandungi 37 unit angklung di rumahnya di Kampung Sepakat Baru, Skudai, Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ANGKLUNG adalah antara alat muzik yang mudah untuk dimainkan kerana si pemain hanya perlu menggoyangkan alat tersebut bagi menghasilkan bunyi.

Bunyi terhasil daripada hantukan atau perlanggaran buluh-buluh yang bergetar dalam susunan nada dua, tiga hingga empat nada dalam setiap ukuran sama ada besar atau kecil.

Mungkin ramai yang biasa menyaksikan pemuzik bermain angklung secara solo atau berkumpulan tanpa mengetahui bagaimana arangka-rangka buluh itu dibuat.

Tahukah anda terdapat seorang lelaki yang mahir membuat alat muzik angklung yang jarang ditemukan di mana-mana tempat.

Pembuat alat muzik tersebut ialah Tumian Muridan, 65, atau lebih mesra dipanggil Abang Joe di kalangan penduduk Kampung Jaya Sepakat Baru, Batu 13 Skudai, Johor.

Bekas kakitangan Jabatan Belia dan Sukan Johor itu mengakui membuat angklung tidak semudah memainkan alat muzik tersebut.

BATANG buluh dipotong sebelum dibuat angklung.

Justeru, bagi orang yang tidak pernah melihat cara pembuatan angklung pastinya tertanya-tanya apa relevannya mini keyboard dengan buluh yang diraut-raut.

“Ramai yang tanya soalan setiap kali saya meniup mini keybord sambil meraut lubang buluh dan kemudian mengetuk buluh tersebut sambil tangan kiri saya bermain mini keyboard.

“Saya perlu berbuat begitu kerana itulah caranya saya menentukan bunyi angklung sama dengan bunyi yang dikeluarkan pada mini keyboard mengikut key yang tepat,’’ katanya kepada Utusan Malaysia di kediamannya di Kampung Jaya Sepakat Baru.

Menurutnya, dengan cara begitu, telinga perlu tajam untuk mendengar ketukan buluh itu sama ada ia senada atau tidak dengan petikan mini keyboard.

Abang Joe berkata, ketika menentukan bunyi, dia perlu berada dalam keadaan tenang kerana kemuncak menghasilkan angklung adalah ketika mencari bunyi yang tepat.

“Kalau bermain gitar kita hanya perlu memusingkan tali gitar untuk menghasilkan bunyi atau key yang sedap didengar, tetapi angklung setiap batang buluh mestilah diraut dengan tepat bagi menghasilkan key yang betul,” tambahnya.

Menceritakan penglibatannya dalam dunia angklung, ia bermula dengan bapa angkatnya Allahyarham Margono Sitir di Batu Pahat seawal umur 20-an.

Dari situ minatnya kepada muzik tradisional angklung ini semakin diminati sehinggalah mampu membuat angklung tanpa bantuan dari sesiapa.

Bapa kepada tiga anak ini berkata, sebelum dibuat angklung, dia perlu masa selama enam bulan untuk mengeringkan buluh yang telah ditebang.

Selepas ditebang buluh-buluh tersebut perlu diletakkan untuk jemuran ditempat redup dan kemudian direndam dengan soda selama seminggu.
Buluh yang digunakan untuk membuat angklung jenis buluh hitam manis, semantan, buluh tali atau minyak.

Hingga kini Abang Joe tidak pernah putus bekalan buluh kerana mendapat bekalan dari Batu Pahat selain menanam buluh di belakang rumahnya.

Abang Joe pernah menyertai kumpulan angklung Maya Puspita pada tahun 70an sebagai konduktor muzik dan pernah bekerja di Taman Seni Budaya selama empat tahun.

Menurutnya, satu set lapan unit angklung berharga RM280, untuk kumpulan koir 28 unit angklung berharga RM2,000 sementara satu set solo 37 unit angklung berharga RM4000.

Walaupun permainan angklung jarang dimainkan tetapi dia tetap menerima tempahan terutama dari Selangor dan sehingga kini masih menerima tempahan dan membaiki angklung jika rosak.

Peminat seni muzik angklung yang ingin mendapatkan khidmat nasihat dan membeli angklung boleh menghubungi beliau di telefon bimbitnya 017-7079915.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×