PULAU PINANG 5 Sept. – Kerajaan negeri perlu segera campur tangan bagi menghentikan amalan pemaju projek perumahan yang didakwa mengekploitasi pembeli rumah kos rendah dan sederhana rendah menerusi pakej ubah suai serta lot parkir kenderaan.
Pemangku Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Mohideen Abdul Kader berkata, CAP menerima aduan bahawa pembeli di empat kawasan iaitu di Tanjung Bunga, Sungai Ara, Jalan Perak dan Jelutong telah terperangkap dengan tawaran pemaju yang menawarkan rumah kos rendah dan sederhana rendah menerusi pakej berkenaan.
Menurutnya, pembeli ditawarkan untuk membeli rumah kos sederhana rendah pada harga RM72,500 daripada kerajaan negeri namun mereka sebenarnya perlu membayar pada harga hampir dua kali ganda lebih mahal apabila dikenakan pakej ubah suai dan parkir oleh pemaju.
“Ada pembeli ditawarkan rumah kos sederhana rendah pada harga RM72,500 tetapi pemaju perumahan mengenakan pakej ubah suai dan parkir sehingga menyebabkan pembeli terpaksa membayar sehingga RM165,000.
“Kerajaan negeri menyerahkan kepada pemaju untuk melakukan penjualan unit dan terus menutup mata kepada hakikat bahawa pemaju tidak menjual unit ini pada harga yang ditetapkan,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Sebelum ini pada 31 Julai lalu, lebih 50 pembeli projek perumahan kos sederhana rendah di Tanjung Tokong di sini tampil meluahkan kekecewaan kerana perlu membayar pada harga hampir dua kali ganda lebih mahal untuk unit kediaman mereka selepas dikenakan pakej ubah suai dan parkir oleh pemaju.
Menurut Mohideen CAP bimbang lebih ramai pembeli akan teraniaya dan terperangkap dengan helah pemaju jika kerajaan negeri terus berdiam diri.
“Kerajaan negeri perlu berhenti daripada mempertahankan pemaju dengan mendakwa pakej ubah suai dan lot parkir kereta adalah pilihan sebaliknya mereka wajar tampil dengan polisi perumahan yang menyebelahi pembeli,” katanya.
Dalam pada itu, seorang pembeli, Mohd. Hirwan Mokhtar, 32, berkata, dia ditawarkan unit rumah kos rendah di kawasan Tanjung Bunga selepas dua tahun mengemukakan permohonan kepada kerajaan negeri.
Katanya, pada mulanya pemaju menawarkan unit pada harga RM72,500 tetapi unit tersebut datang dengan pakej ubah suai dan lot parkir sehingga unit berkenaan menjangkau harga lebih RM130,000.
“Kami yang tidak punya pilihan terpaksa tandatangan perjanjian jual beli kerana tidak mahu terlepas peluang mendapat rumah kos sederhana rendah.
“Namun kini kami rasa seperti ditipu kerajaan negeri dan pemaju perumahan kerana terpaksa membayar rumah pada kos yang lebih tinggi,” katanya. – UTUSAN ONLINE











