SUNGAI PETANI 1 Sept. – Seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) pendengaran dan bisu maut setelah motosikal ditungganginya dirempuh oleh sebuah kereta di Persiaran Bandar Puteri Jaya di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Superintendan Adzli Abu Shah berkata, kemalangan berlaku kira-kira pukul 1.15 petang semasa mangsa, Mohd. Yusri Ibrahim, 44, menunggang motosikal jenis Honda Wave.
Berita berkaitan:
Katanya, mangsa dikatakan keluar dari satu persimpangan di situ dan disebabkan jarak yang terlalu dekat, sebuah kereta Perodua Myvi gagal mengelak lalu merempuh motosikal itu.
“Akibat kemalangan ini, mangsa yang bekerja sebagai pembantu kedai dan tinggal di Bandar Puteri Jaya di sini, maut akibat cedera parah di bahagian kepala, tambahan pula mangsa tidak memakai topi keledar,” katanya dalam satu kenyataan.
Kata beliau, pemandu kereta, Anas Ahmad, 50, dari Jalan Masjid Pantai Johor, Alor Setar, walau bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani untuk bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian,” katanya lagi.
Adzli menambah, kes itu disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – UTUSAN ONLINE











