MIRI 30 Ogos – Polis menahan empat wanita warga asing bekerja sebagai tukang urut, kerana dipercayai terlibat dalam aktiviti pelacuran di sebuah premis refleksologi, di Jalan North Yu Seng malam tadi.
Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Lim Meng Seah berkata, empat wanita yang berumur 25 dan 48 tahun itu ditahan di dalam serbuan pada pukul 11.50 malam, setelah polis menerima maklumat berkenaan kegiatan pelacuran ditawarkan di dalam premis tersebut.
“Polis turut merampas sebotol pelincir jenama Durex, satu buku paspot milik warga China dan tiga keping kad permit kerja,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Meng Seah memberitahu, kesemua suspek yang ditahan akan disiasat di bawah Seksyen 372B Kanun Keseksaan kerana terlibat dalam kegiatan pelacuran.
Tambahnya, mereka yang ditahan turut disiasat di bawah seksyen 39b Peraturan-peraturan Imigresen 1959/63 kerana menyalahgunakan paspot dan permit kerja yang telah dikeluarkan. – BERNAMA











