PETALING JAYA: Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) mengumumkan empat pelantikan kanan baharu bagi membantu ia membina pasaran modal yang lebih relevan, cekap dan pelbagai.
Pelantikan tersebut ialah Datin Azalina Adham sebagai Pengarah Eksekutif, Strategi dan Dasar iaitu kumpulan perniagaan yang baru ditubuhkan. Turut dilantik Datuk Seri Abdul Jalil Hamid sebagai Pengarah Eksekutif, Komunikasi Strategik dan Pejabat Pengerusi.
Dua lantikan lagi ialah Dr. Wong Huei Ching yang dinaikkan pangkat sebagai Pengarah Eksekutif, Strategi Digital dan Inovasi, serta Budiman Lutfi Mohamed sebagai Pengarah Penguatkuasaan. Beliau akan menyelia Jabatan Perancangan & Pengurusan Penguatkuasaan; Penyiasatan; dan Pendakwaan & Penguatkuasaan Awam SC.
Pelantikan itu diumumkan oleh Pengerusi SC, Datuk Seri Dr. Awang Adek Hussin.
“Gabungan pengetahuan dan pengalaman luas mereka daripada sektor awam dan swasta akan mengukuhkan lagi keupayaan dan keberkesanan SC untuk menggalakkan pertumbuhan pasaran dan integriti dalam persekitaran yang berkembang pesat yang merangkumi kemampanan, persaingan dan inovasi,” katanya dalam kenyataan.
Awang Adek berkata, dengan pengalaman luas beliau dalam kewangan dan pasaran modal, Azalina akan membantu memacu hala tuju strategik SC dalam beberapa bidang kritikal termasuk perancangan korporat, pengurusan risiko dan hubungan antarabangsa untuk membangunkan lagi pasaran modal.
Pelantikan Huei Ching pula katanya, bertujuan memajukan lagi potensi digital dan inovasi ke arah membentuk pasaran modal yang lebih inklusif dan mampan untuk perniagaan dan pelabur.
“Huei Ching menyertai SC pada 2017 dan telah mengetuai beberapa fungsi utama SC seperti perancangan dan strategi korporat. Beliau telah memainkan peranan penting dalam pembangunan Pelan Induk Pasaran Modal 3,” katanya.
Dalam pada itu, Awang Adek turut memaklumkan pelantikan Yew Yee Tee dan Shamsul Bahriah Shamsudin sebagai Ketua Kaunsel dan Penagrah, Pengawasan Pengantara dan Dana SC.
“Yee Tee akan memimpin bahagian dasar, perundangan dan menyediakan sokongan khidmat nasihat strategik bagi perkara berkaitan undang-undang dalaman dan luaran yang melibatkan SC.
“Sementara itu, Shamsul Bahriah akan bertanggungjawab ke atas pemberian kebenaran dan pelesenan, dan penyeliaan pengantara pasaran. Semua pelantikan akan berkuat kuasa pada 1 Julai 2022,” katanya. – UTUSAN










