Lapan tahun bukanlah angka yang singkat untuk membina jenama lebih lagi untuk bersaing dalam segmen fesyen iaitu tudung.
Namun Pengarah Urusan Tudungruffle, Hanis Arif, 32, tidak menghasilkan tudung biasa. Ramuan tudung dengan warna ceria, mudah pakai dan tidak mudah digosok antara formula berupaya memancing pembeli untuk kekal setia sepanjang lapan tahun membina jenama itu.
“Saya mulakan perniagaan dengan bermodalkan RM50. Saya mengambil keputusan untuk fokus jual tudung bila permintaan terhadap tudung saya kian meningkat,” katanya kepada Seri.
Hanis yang lebih dikenali sebagai Nonones berkata, penglibatan dalam industri fesyen menjadikan dirinya lebih berfikiran terbuka dan matang kerana berjumpa dengan ramai pelanggan daripada pelbagai latar usia dan ekonomi.
“Daripada situ jugalah saya banyak belajar. Ia menjadikan saya lebih matang dan berilmu dalam berdepan cabaran dalam berniaga.
“Bila di media sosial pula saya berpeluang berkongsi informasi mengenai produk dan cara penggayaan yang akan saya muat naik di media sosial. Semua itu saya lakukan sebagai promosi agar pembeli mudah untuk mengetahui dan membeli produk di tudungruffle. Suatu pengalaman baharu yang mengujakan bila saya kena selalu berfikir untuk mendapatkan bahan atau content.
“Begitupun saya algorithm media sosial ini sentiasa berubah-ubah. Kita perlu sentiasa menyesuaikan diri terhadap perubahan supaya sentiasa relevan,” katanya.

DARI JURUTERA KE PEREKA
Tidak rugikah dari jurutera menjadi pereka? Kata Hanis kecintaan terhadap bidang fesyen menyebabkan beliau sanggup meninggalkan kerjaya yang baharu dibina dalam bidang kejuruteraan dan menjadi seorang usahawan menjual tudung.
“Memanglah pada awalnya tidak mudah membina perniagaan namun setelah lapan tahun usaha itu berbaloi kerana semakin ramai mengenali jenama Tudungruffle,” katanya.
Mengimbau kisah, ibu kepada tiga cahaya mata ini memberitahu, usai pengajian dalam Ijazah Kejuruteraan Elektrik Kuasa, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) beliau berkhidmat sebagai jurutera selama tujuh bulan sebelum memberi fokus sepenuhnya kepada perniagaan dalam bidang fesyen yang sudah sebati dalam dirinya.
“Saya berhenti jadi jurutera sebab pada waktu itu sukar untuk saya buat bisnes secara sambilan kerana banyak masa dihabiskan di site. Saya mengambil keputusan untuk berhenti kerja setelah saya mempunyai cash reserve dan sale yang kukuh untuk saya fokus sepenuhnya dalam perniagaan.
“Minat saya dalam dunia fesyen sangat luas. Sejak kecil saya sukakan fesyen dan boleh menjahit. Berbekalkan bakat itu saya menjalankan perniagaan Tudungruffle ini secara suka-suka kerana rasa ingin mencuba kerana saya tiada pengalaman dan juga ilmu di dalam bidang fesyen mahupun perniagaan,” katanya.
Sebagai usahawan pastilah Hanis mengakui dirinya tidak dapat lari daripada menghadapi cabaran.
Namun beliau menganggap cabaran membantu perniagaan untuk menjadi lebih maju.
Katanya, sewaktu pandemik, syarikat berusaha sedaya upaya secara kreatif dan pelbagai idea menarik diketengahkan supaya perniagaan masih boleh berjalan walaupun dalam keadaan semuanya terkurung.
“Situasi itu mengajar saya untuk bertahan dan belajar selok-belok yang baru dalam dunia perniagaan. Pada permulaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kami agak berjuang. Fokus saya pada waktu itu hanyalah untuk cukupkan overhead agar gaji team saya mencukupi,” katanya.
PERANCANGAN MASA DEPAN
Mengulas mengenai perancangan masa depan, wanita jelita ini berhasrat membuka butik baharu menjelang akhir tahun ini.
Namun katanya semua itu bergantung pada ekonomi semasa.
“Walaupun butik mungkin orang nampak tidak praktikal sebab ramai berbelanja online, tetapi saya dapati kian hari orang mahu membeli belah seperti biasa iaitu offline. Malah saya mahu kembangkan jenama hingga ke pasaran luar negara seperti ke Indonesia,” katanya.Hampir sedekad bergelumang dalam dunia fesyen, Hanis masih dalam proses belajar untuk lebih mendalami selok-belok ilmu perniagaan.
Fokusnya adalah untuk terus memajukan perniagaan sehinggalah jenama yang diasaskannya itu mampu berdiri setanding dengan jenama-jenama besar dalam industri fesyen tanah air.
“Saya puas bila pelanggan berpuas hati dan kelihatan cantik apabila menggayakan produk saya,” katanya.
Hingga kini Tudungruffle dibuka di di pusat membeli-belah IOI City Mall Putrajaya.
Ia juga boleh didapati di www.tudungruffle.com serta di platform media sosial @tudungruffle.
Ibu muda ini mengakui kehebatan media sosial kerana medium percuma itu berupaya meningkatkan jualan tudungnya, membantu memperkenalkan bisnes, jenama dan diri beliau kepada masyarakat dan peminat fesyen.
‘Pengorbanan itu tanggungjawab dan perjuangan’
Melihatkan umat Islam menunaikan ibadah haji di Tanah Suci sedikit sebanyak membuat hati Hanis tidak sabar untuk mengerjakannya. Namun sehingga kini dalam keluarganya tidak ada lagi yang mendapat peluang untuk menunaikan ibadah haji.
“Saya harap anda semua mendoakan agar rezeki buat ibu dan keluarga saya dipercepatkan untuk menunaikan ibadah haji pada masa hadapan,” katanya penuh harapan.
Bercerita mengenai sambutan Aidiladha yang bakal diraikan tidak lama lagi, Hanis berkata beliau sekeluarga akan meraikannya secara sederhana sahaja.
“Kebiasaannya pada pagi hari raya ahli keluarga akan menunaikan solat sunat. Saya dan adik-beradik perempuan pula akan memasak bersama-sama menu hari raya.
“Berkaitan dengan ibadah korban, setiap kali hari raya haji, korban akan diuruskan oleh pihak lelaki dalam keluarga. Saya tidak banyak pengalaman kerana tidak terlibat dalam urusan korban. Apa yang saya tahu adalah hanya masak daging sahaja apabila daging korban itu sampai di rumah,” katanya.
Apa erti pengorbanan? Hanis berkata erti pengorbanan itu sendiri merupakan satu tanggungjawab, perjuangan, keikhlasan atau sesuatu yang kita sayang dan cinta.
“Pengorbanan datang dalam pelbagai warna. Warna-warna inilah yang mulai mengisi keindahan kehidupan manusia. Pengorbanan juga yang mampu push kita untuk ke depan dan berjaya,” katanya.









