AWAN langit industri hiburan Indonesia berarak mendung apabila seniman veteran, Rima Melati, 84, menghembuskan nafas terakhir akibat serangan jantung di Hospital Gatot Soebroto, Jakarta, pukul 3.25 petang, 23 Jun lalu.
Perginya sebutir permata yang pernah membintangi ratusan filem Indonesia selepas lebih 60 tahun berkecimpung sebagai anak seni.
Antara filem yang pernah dijayakannya adalah Kupu-Kupu Putih, Cinta Silver dan Ayah, Mengapa Aku Berbeda? sehingga meraih Anugerah Piala Citra pada 1973 menerusi lakonan dalam filem Intan Berduri bersama Benyamin Sueb.
Berdarah kacukan Belanda dan Minahasa, Rima mengikut jejak langkah ibunya, Non Kawilarang yang juga perintis dunia peragaan di Indonesia.
Pemilik nama sebenar Marjolein Tambayong turut dikenali sebagai Lientje Tambajong yang aktif dalam bidang seni sejak 1950an.
Memulakan karier seni sebagai pelakon ketika membintangi Djuara Sepatu Roda, 1958.
Dia yang lebih dikenali dengan nama pentas Rima Melati, berasal dari Tondano, Sulawesi Utara turut menempa nama sebagai model, penyanyi, pelakon dan pengarah.
Selain berlakon di layar perak, Rima turut menyumbangkan bakat seninya dalam sinetron seperti Wulan, Kabus Sutera Ungu dan Puan Socialite.
Dia juga pernah mengarahkan beberapa siri televisyen seperti Fire of Love (1997).
Nama Rima Melati merupakan pemberian dari Presiden Indonesia pertama, Soekarno yang memerintah negara dari 1945 hingga 1967.
Difahamkan, Soekarno kerap menukar nama seseorang personaliti jika nama asal dirasakan terlalu berbunyi kebaratan.
Rima mempertahankan nama pemberian itu sepanjang kariernya.
Lakonan hebat tiada galang ganti membuatkan dirinya terkenal sekelip mata dan digelar sebagai legenda sepanjang zaman.
UJIAN HIDUP
Dilahirkan pada 22 Ogos 1937, Rima berkahwin dengan pelakon Frans Tumbuan pada 3 Disember 1973 dan dikurniakan tujuh anak.
Namun, suaminya meninggal dunia pada 23 Mac 2015, selepas 42 tahun mereka berumahtangga.
Rima meninggal kerana sakit. Sebelum ini, dia pernah mendapatkan rawatan intensif akibat komplikasi di bahagian paru-paru dan ginjal selepas mengalami jangkitan di bahagian punggung.
Kerosakan pada ginjal menyebabkan dia perlu menjalani rawatan cuci darah selama tujuh kali ketika dirawat di hospital.
Rima turut menjalani rawatan penyakit Ulkus Dekubitus disebabkan luka pada kulit akibat tekanan berpanjangan selepas lama berbaring.
Detik-detik terakhirnya, keadaan Rima kembali stabil dan sempat berkomunikasi bersama anaknya.
Namun, tidak lama selepas itu, doktor di unit rawatan rapi memaklumkan jantung Rima gagal berfungsi.
Petugas perubatan berupaya menyelamatkan nyawa pelakon itu, namun Tuhan lebih menyayanginya dan Rima menghembuskan nafas terakhir, dua minggu lalu. – AGENSI










