Artis jadi ‘duta’ antarabangsa - Utusan Malaysia

Artis jadi ‘duta’ antarabangsa

Figura ini harus diangkat untuk dijadikan aset negara.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Masih kenalkah kita dengan Tan Sri Michelle Yeoh? Tidak banggakah kita dengan pencapaian anak kelahiran Ipoh yang telah mencipta nama di Hollywood ini? Mengapa saya sering merasakan bahawa sosok seperti Michelle Yeoh ini sama sekali seperti tidak dihiraukan? Adakah ini sekadar perasaan saya atau ianya benar-benar berlaku?

Kerajaan seharusnya menggunakan kelebihan Michelle Yeoh ini secara maksima dalam membantu mempromosi negara kita di pentas antarabangsa dan sememangnya itulah cara sebetulnya untuk menghargai beliau. Bukan sekadar dengan kata-kata pujian dan pemberian pelbagai jenis anugerah yang tidak membantu pembangunan ekonomi negara.

Bayangkan, jutaan manusia di seluruh pelusuk dunia menyaksikan lakonan beliau dalam pentas panggung Hollywood namun saya yakin hampir 99 peratus daripada setiap penonton tersebut pasti menyangkakan bahawa Michelle Yeoh merupakan sama ada seorang warga China atau pun Hong Kong. Dari Malaysia? Jauh sama sekali! Entah-entah nama Malaysia pun mereka tak kenal.

Perkara ini sentiasa bermain di benak fikiran saya sewaktu habis menonton filem, Gunpowder Milkshake arahan Navot Papushado pada 2021. Dalam filem ini, Michelle Yeoh memegang watak sebagai Florence, salah seorang ahli dalam kumpulan pembunuh upahan wanita. Beliau turut bergandingan dengan pelakon tersohor dunia dari Scotland, Karen Gillan yang bermain sebagai watak utama.

Selain Amerika Syarikat, filem ini turut ditayangkan di pelbagai negara besar seperti Perancis, United Kingdom dan Jerman. Tak kisahlah filem ini mendapat sambutan atau tidak tapi apa yang pasti jutaan manusia dari pelbagai latar belakang menontonnya. Aspek-aspek penting ini harus diteliti dengan begitu cermat kerana ia dapat dijadikan sebagai antara faktor utama untuk menaikkan imej negara kita.

Daripada kita buang duit bayar orang luar untuk jadi Duta Pelancongan atau untuk mempromosi negara kita, lebih baik kita gunakan khidmat Michelle Yeoh. Saya pasti beliau akan mempromosi negara dengan semangat patriotik yang jitu memandangkan beliau adalah anak Malaysia.

BERI ALASAN MAHAL
Jangan sesekali kita beri alasan bayaran mahal untuk mendapatkan kerjasama Michelle Yeoh, kerana kita harus faham bahawa tahap beliau adalah antarabangsa bukan lagi Malaysia. Pada 2017, pemain bola sepak Uruguay, Luis Suarez pernah diambil menjadi duta pelancongan Malaysia dengan bayaran yang mahal. Jadi kita nak tahu, apakah kesannya terhadap sektor pelancongan negara kita? Berapa ramai pelancong asing yang sudah berjaya dibawa masuk ke Malaysia disebabkan Luis Suarez?

Panggil Michelle Yeoh pulang ke Malaysia dan duduklah semeja dengannya. Tanyakan pendapat dan pandangannya tentang cara untuk membantu mengangkat nama Malaysia di dunia.

Saya perhatikan yang Michelle Yeoh cukup suka dengan kerja-kerja kebajikan. Beliau sanggup turun ke Taman Sri Muda, Shah Alam sewaktu negara dilanda musibah banjir besar pada disember lepas semata-mata untuk membantu mangsa-mangsa banjir.

BERBAKAT & BERBUDI
Selain Michelle Yeoh, pelakon Crazy Rich Asian dan Shang-chi, Henry Golding bukan sahaja masyhur di dunia, beliau juga boleh dijadikan sebagai ikon kerja kebajikan dan penyatu masyarakat Malaysia yang berbilang kaum. Anak jati Betong, Sarawak, harus diambil perhatian. Pemuda berusia 35 tahun ini semakin mendapat tempat di hati peminat filem Hollywood di seluruh dunia. Lakonan berkualitinya dalam filem Snake Eyes (2021) telah membuka mata ramai pihak.

Shila Amzah mengharumkan nama negara di salah sebuah negara kuasa besar dunia, China. Bayangkan, seorang Melayu bertudung mampu bertutur dengan baik dalam Mandarin, mendapat sambutan hangat dari jutaan malah puluhan juta warga China. Ini sesuatu yang luar biasa!

Saya bukan nak tunjuk pandai, tapi saya nak memudahkan kerja dan membantu menyumbang dari segi perkongsian idea. Pada saya, tiga figura tanah air ini harus diangkat untuk dijadikan aset negara.

Negara kita sebenarnya dilimpahi rahmat dengan wujudnya ramai figura hebat namun sayangnya kita kurang arif dalam menggunakan kelebihan-kelebihan mereka. Saya boleh jamin 100 peratus, kalau kerajaan ambil khidmat mereka, negara kita pasti akan terbang lebih jauh dalam setiap aspek.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×