‘Tudung , emas sama istimewa’ - Utusan Malaysia

‘Tudung , emas sama istimewa’

Mawar sangat teruja jual emas.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Terus tabah mengharungi ujian mendatang, Mawar Abdul Karim tidak menjadikan kisah silam sebagai halangan untuknya melakukan yang terbaik dalam perniagaan dibina.

Masih terlibat dalam perniagaan tudung Fareeda milik ibu tersayang, Mawar menjelaskan dia mahu mengembangkan bisnes yang ada ke cabang baharu demi masa depan keluarga.

Optimis mampu berjaya, wanita berusia 33 tahun ini tanpa berselindung mengakui mengusahakan Mawar Jewelry secara kecil-kecilan dan masih mempelajari selok-belok industri barangan kemas.

“Jual tudung tahu tetapi terus terang pengalaman dalam perniagaan aksesori emas ini tiada. Sedar ilmu itu penting, saya mengambil keputusan belajar dalam talian di Arts London, Jewellery Course,” katanya kepada Seri.

Ujarnya produk emas 916 itu dijual secara dalam talian sahaja buat masa ini.

“Mawar Jewelry ini sangat simbolik dan unik. Ia menjadi identiti saya, simple tetapi bergaya,” katanya.

Pembabitan dalam peniagaan emas dilakukan berikutan ingin menambah cabang perniagaan.

Pada masa sama beliau mengakui pandemik Covid-19 turut memberi kesan pada perniagaan tudungnya.

Tambah Mawar, beliau mendapat inspirasi untuk mengusahakan perniagaan emas bukan sahaja kerana berdasarkan pengalaman hidupya yang pernah menyaksikan nilai produk tersebut dalam jangka masa panjang.

Beliau mendapat ilham daripada pelanggan setia Fareeda dan sedar emas adalah pelengkap gaya wanita.

“Bila dunia mengalami pandemik Covid-19, banyak sektor yang terkesan termasuk bidang fesyen iaiatu tudung. Jadi ini adalah masa untuk saya kembangkan perniagaan yang ada. Saya memilih emas kerana emas berfungsi empat dalam satu iaitu sebagai perhiasan, simpanan, pelaburan dan perniagaan,” katanya.

Dedah Mawar beliau sebelum ini turut terpaksa menjual koleksi emas miliknya selepas dihimpit kesukaran hidup.

Pun begitu, dia tetap mahu meneruskan legasi jenama tudung Fareeda yang merupakan hasil tangan dan rekaan ibunya, Faridah Zakaria.

Perjalanan Fareeda hampir 17 tahun lalu mengingatkan Mawar jatuh bangun ibu membina jenama.

“Pesanan ibu apa pun permulaan berniaga mula dari kecil-kecilan. Sentiasa beringat dari mana kita mula,” katanya.

Teruskan legasi
Satu ketika dulu, penggemar tudung Fareeda sanggup beratur panjang sebelum butik Fareeda memulakan operasi. Ada yang sanggup bermalam depan butik semata-mata mendapatkan nombor giliran bagi mendapatkan rekaan diinginkan. Ini merupakan senario yang sinonim dengan Fareeda setiap kali mengadakan promosi dan jualan rekaan baharu.

Bermula dua mesin jahit terpakai dibeli bapanya, Mawar tidak menyangka, tudung sentuhan ibunya itu mampu menghasilkan rekaan tudung cantik, unik dan eksklusif.

“Saya masih ingat, pada pertengahan tahun 2006 ibu mula berjinak-jinak menjahit tudung di rumah kami yang terletak di Permatang Pauh, Pulau Pinang.

“Pada mulanya ibu memulakan perniagaan menjahit tudung yang ditempah kawan-kawan dan saudara mara. Tudung tersebut menggunakan jenama Maisara yang mempunyai awning sahaja, dijual dengan harga agak rendah walaupun menggunakan kain sifon berkualiti dan margin keuntungan sangat kecil sebagai percubaan memperkenalkannya di pasaran,” katanya.

Segalanya-galanya berubah apabila bapanya berpindah ke Bangi, Selangor kerana bertugas di ibu pejabat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) pada 2007.

“Kami menyewa rumah di Bangi dan ibu mahu meneruskan perniagaannya. Walaupun ibu tidak biasa dengan keadaan seperti mencari benang dan kain di Bangi, beliau usahakan juga mencari material diperlukan,” katanya.

Tudung air mata
Fenomena pelanggan beratur dan bermalam sebelum promosi diadakan perkara biasa berlaku di butik Fareeda. Ia akan meniti di bibir penggemar tudung Fareeda sebelum hari jualan.

“Fenomena ini bermula pada hujung 2010. Pada peringkat permulaan, kita menjahit tudung dan terus jual, menggunakan sistem bernombor dan tidak menetapkan jumlah dihadkan bagi setiap pelanggan.

“Segelintir pelanggan beli banyak tudung untuk menjualnya semula. Ia menyebabkan ada pelanggan tidak boleh masuk beli tudung kerana habis stok,” katanya.

Menurutnya, akibat pelanggan terlalu ramai menunggu giliran masuk ke dalam butik Fareeda, maka 20 minit sahaja terpaksa diberikan untuk setiap kumpulan yang terdiri daripada 20 orang dan had seorang sehelai tudung sahaja.

“Pelbagai insiden berlaku antaranya pelanggan tidak beratur terus terjah masuk, bergaduh dan keadaan tidak terkawal. Kebiasaannya, pelanggan terlalu ramai pada musim perayaan,” katanya.

Mawar berkata, ada rekaan tudung Fareeda digelar tudung ‘air mata’ iaitu tudung Aisya bercorak harimau kumbang kerana ia terhad 100 helai, tetapi ramai yang mahu mendapatkannya.

Pun begitu, Mawar mengakui pandemik Covid-19 memberi kesan kepada perniagaan Fareeda apabila butik terpaksa ditutup akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Kami mengalami kerugian melebihi 70 peratus pada awal-awal PKP. Kami tumpuan kepada jualan dalam talian dan terpaksa mengurangkan pekerja. Alhamdulillah, norma baharu dalam perniagaan seperti memberi fokus dalam talian membantu kami bertahan,” ujarnya.

Hubungan kami istimewa
Mengenai kehidupannya selepas berpisah dengan bekas suami, Fizo Omar, pada 10 Julai 2019, Mawar memberitahu fokus kini tertumpu kepada bisnes yang diusahakan selain menjaga anak tunggalnya, Wan Maryam Wan Hafizol, 5.

“Saya teruskan kehidupan seperti biasa. Pada masa sama, saya kini lebih fokus pada bisnes dan anak yang masih lagi kecil. Kiranya, keutamaan kepada dua perkara itu,” jelas Mawar yang turut akui anaknya yang mesra disapa Cik Yam itu ibarat mengerti situasi yang dilaluinya ketika ini.

Ditanya sama ada sudah nampak ruang dan peluang untuk sekali lagi menggalas status sebagai isteri, Mawar tidak menolak perkara tersebut.

“Insya-Allah dan kita pun belajar daripada pengalaman. Jangan buat kesilapan sama. Tak bermakna awal kita tak bagus dan pengakhiran kita juga begitu. Itu yang kita kena betulkan lagi.

“Sejak akhir tahun orang sibuk cakap saya dah kahwin tapi sebenarnya tak. Jadi sekarang saya jujur cakap sedang mengenali seseorang dan hubungan kami memang serius.

“Anak pun dah usia lima tahun. Sampai masa, saya perlukan teman atau senang cerita, soulmate untuk mulakan hidup baharu. Saya selesa dengan orang ini dan kami ada chemistry. Dia faham keadaan saya yang mempunyai anak,” katanya.

Mawar turut mendedahkan dirinya kerap menerima mesej dari wanita yang sedang melalui masalah rumah tangga.

Menurut wajah kepada jenama hijab Fareeda itu, kebanyakan wanita yang mengirimkan mesej kepadanya sedang melalui proses perceraian dan bertanyakan soal kehidupan sebagai ibu tunggal.

“Mereka meminta nasihat, ada kalanya saya balas. Saya memahami situasi terjadi tetapi saya tekankan kepada mereka, apa yang menjadi keutamaan mestilah kepentingan anak-anak.

“Mereka bertanya, bagaimana saya kelihatan sangat tenang di laman sosial biarpun menjalani kehidupan sebagai ibu tunggal. Bagi saya, tak semua perkara harus dikongsi.

“Alhamdulillah, saya meneruskan kehidupan seperti biasa dan saya meletakkan anak sebagai fokus utama. Semuanya demi anak,” kata Mawar.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×