
PANDEMIK Covid-19 merubah secara mendadak rangkaian e-dagang termasuk logistik dan pengedaran produk di seluruh dunia dalam tempoh dua tahun lalu.
Walaupun kebangkitan platform e-dagang terbentuk lebih sedekad lepas, namun tidak dinafikan pandemik tersebut melonjak kepentingannya.
Dilaporkan pertumbuhan e-dagang Malaysia menduduki tempat pertama dalam kalangan negara anggota Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) dengan saiz pasaran berjumlah AS$6.3 bilion (RM27.72 bilion)
Begitu juga di sebalik pandemik Covid-19 yang semakin mereda di seluruh dunia, industri e-dagang kekal relevan sekali gus memberi pengaruh kuat ke atas organisasi yang menyediakan perkhidmatan pengurusan logistik, gudang dan rantaian bekalan.
Dalam mencapai pasaran matang bagi sektor ini seperti China, Singapura dan Jepun, Malaysia bukan sahaja perlu mengukuhkan perdagangan digital malah e-logistik secara efektif.
Kewujudan hub e-dagang melalui mod darat di Bukit Kayu Hitam, Kedah dengan nilai pelaburan lebih RM1 bilion oleh sebuah syarikat, KT Express Logistics Sdn. Bhd. (KT Express Logistic) yang terlibat aktiviti import dan eksport akan merancakkan lagi perniagaan tersebut pada masa hadapan.
Projek ini juga mendapat kerjasama daripada Invest Kedah Berhad yang merupakan anak syarikat Perbadanan Menteri Besar (Menteri Besar Incorporated).
Terminal antarabangsa menggunakan platform e-dagang terletak di gudang berkeluasan 5,574 meter persegi berdekatan sempadan Malaysia-Thailand itu dilancarkan baru-baru ini oleh Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor yang turut menyaksikan kehadiran Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed.
Terminal e-dagang dan logistik berkenaan akan melibatkan operasi aktiviti import dan eksport barangan, melalui jalan darat yang pertama di Malaysia iaitu melalui pintu masuk sempadan Malaysia-Thailand dengan menggunakan platform e-dagang.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif KT Express Logistics, Datuk Affendi Mohamed Zain, kerja pembangunan Terminal E-Dagang Fasa Pertama 1 itu bermula pada awal Januari dan siap sepenuhnya pada akhir Mac.
Beliau turut memberi jaminan, syarikat berkenaan akan terus memacu pembangunan projek berkenaan termasuk operasi terminal itu pada fasa kedua dan ketiga yang dijangka siap pada 2025.
“Itu untuk memastikan ia yang mempunyai teknologi tinggi iaitu bangunan yang dilengkapi dengan teknologi hijau, selain bangunan yang mengguna pakai teknologi solar, sistem robotik, sistem pemenuhan automatik dan sistem pengesanan canggih,” katanya.
Pembangunan fasa kedua dan ketiga terminal ini di tanah seluas 800 hektar akan dilakukan pada tahun depan sebagai pihak syarikat bercadang untuk membina Hub Perdagangan Digital Antarabangsa merangkumi pusat data, perdagangan e-dagang dan platform digital.
Sesuatu yang menarik tentang hub ini adalah fasa ketiga terminal ini yang dijangka siap pada 2025 akan melibatkan pembangunan sebuah gudang berkonsepkan pusat penyimpanan automatik bagi membantu perindustrian kecil sederhana (IKS) di negara ini untuk menyimpan dan mengeksport produk atau barangan mereka.
Tidak dapat dinafikan peningkatan perusahaan mikro-multinasional menjadi pemacu utama di sebalik perdagangan digital di rantau Asia Pasifik dan dengan sokongan prasarana digital di terminal ini akan memperkukuhkan e-dagang merentas sempadan ini.
Sebagai permulaan antara kawasan yang menjadi fokus utama hub e-dagang ini adalah Malaysia, Singapura, Thailand, Laos, Myanmar dan China sebelum diperluaskan ke negara lain.
KT Express Logistics menyasarkan apabila siap sepenuhnya kelak anggaran kapasiti bungkusan yang mampu dikendalikan hub ini adalah sehingga 90 juta setahun.
Bagi negeri Jelapang Padi negara ini, pembangunan projek itu turut melakarkan sejarah sendiri yang akan membuka lembaran baharu ekonomi negeri dalam memperkasakan ekonominya.
Selain itu, pembangunan terminal e-dagang itu juga menawarkan peluang pekerjaan kepada 2,500 penduduk dalam tempoh lima tahun pembangunannya. – UTUSAN










