TOPIK mengenai Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) semakin bergema. Ramai yang menyebutnya di mana-mana. Petanda rutin lima tahun sekali dalam sistem kenegaraan Malaysia itu hampir tiba.
Eloklah, rakyat tentu tertunggu-tunggu untuk ‘memperbetulkan’ kedudukan politik negara. Mereka mahu politik negara ini lebih stabil, bertenaga.
Proses pilihan rakyat bagi menegakkan sistem demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan itu sudah dilalui kira-kira tiga-suku abad. Sudah banyak pengalaman yang dapat dilihat dan dirasai. Justeru, rakyat semakin faham dan matang mengenali keadaan. Tidak perlu disogok kempen berlebihan.
Kehadiran pilihan raya umum sering membawa pelbagai wajah. Bersamanya ada suasana meriah, resah, kecewa serta bimbang bercampur harapan.
Meriah kerana masing-masing jentera pilihan raya parti-parti bertanding sibuk ke sana ke mari menjalankan kempen mencari sokongan. Ada yang menjelajah ke setiap rumah untuk kempen bersemuka, diadakan juga ceramah secara berkelompok, selain mengadakan rapat umum berkempen di pentas secara terbuka.
Resah menghantui rakyat apabila terdapat cara berkempen yang dijalankan membawa unsur-unsur menyerang dan bermusuhan. Cenderung memburuk-burukkan peribadi, mengeluarkan kata-kata kesat dan cacian yang keterlaluan terhadap lawan. Turut meresahkan apabila tersentuh juga unsur-unsur sensitiviti agama dan sentimen perkauman.
Penggunaan bahasa dalam ucapan dan pertuturan kempen kadang-kadang langsung tidak melambangkan sesuatu yang boleh diteladani oleh golongan generasi muda.
Semacam arah haluannya bukan menjurus kepada mencari harmoni atau memupuk perpaduan sesama seagama, sebangsa atau senegara.
‘Kebimbangan’ pula timbul apabila ada kesangsian terhadap kata manis di bibir kalangan pemimpin parti, menjanjikan sesuatu di luar kemampuan yang akhirnya mengecewakan rakyat. Kerap sudah tertipu, tetapi kemungkinan tertipu lagi disebabkan gaya percakapan dan lenggok ucapan yang boleh memikat memperdayakan umum.
Ada kala rakyat kecewa dengan prestasi calon yang dipilih. Bercakap sahaja pandai, amanah dan tanggungjawab sering terabai. Lalu, tinggalkan rakyat dengan hajat yang tidak sampai. Lebih mengecewakan apabila ada calon yang dipilih sewenang-wenang beralih parti.
Paling dibimbangi, jika parti yang tidak digemari tiba-tiba muncul berupaya memerintah negara atau negeri. Lain yang diharap, lain pula yang menjadi kenyataan. Waktu itu sudah terlewat untuk menukar pilihan, melainkan akur dengan segala keputusan. Persoalan sama ada rakyat tersalah pilih atau tersilap pangkah? Apa jawapan pun sudah tidak lagi bermakna dan berharga.
SINAR BAHARU
Pilihan raya umum juga hadirnya bersama harapan. Moga-moga membawa sinar baharu dalam urus tadbir negara yang lebih mampu, gagah bertenaga serta berwibawa.
Kesan daripadanya kebajikan rakyat terbela, menjanjikan kemajuan dan pembangunan negara berjaya terlaksana. Diharap jua, sektor politik, ekonomi dan sosial menjadi stabil dan meyakinkan semua.
Rakyat mengharapkan proses pilihan raya membawa rumusan yang realistik dan praktikal. Segala janji perlu ditepati. Dan rakyat tidak mampu atau bersedia menerima sebarang alasan jika mana-mana parti yang diberi mandat menerajui negeri atau negara gagal menunaikan amanah dan tanggungjawab yang disandarkan.
Mengambil kira segala senario dan keperluan yang tercatat ini, dicadangkan musim pilihan raya umum atau mana-mana proses pilihan raya kembali menyusuri semangat Rukun Negara, tonggak acuan lengkap berprinsip, menjanjikan damai makmur maju sejahtera rakyat dan negara. Rukun Negara mampu memberi jawapan: “Pilihan raya, matlamatnya apa? Bukankah untuk kebaikan semua?”
Jangan remehkan Rukun Negara. Lima prinsip yang terkandung di dalamnya cukup membawa rakyat Malaysia kembali ke dasar untuk damai dan bahagia. Rukun Negara memandu kehidupan ke arah menyubur dan menyegarkan sistem nilai bersalut santun, budi dan peradaban. Konsep demokrasi mudah untuk tegak berdiri.
Rukun Negara bermanfaat dihayati bagi menjamin perpaduan dan keharmonian. Kesan jangka panjangnya menentukan perjalanan hidup lebih teratur, tersusun serta saling menerima dan menghormati. Malaysia berpaksikan struktur yang lengkap berdaulat.
Menghormati semangat Rukun Negara bermakna menerima dan setia menghormati struktur kenegaraan sedia ada. Hasilnya, kehidupan rakyat tanpa mengira agama, kaum dan perbezaan latar belakang budaya sentiasa harmoni damai sentosa. Justeru, ada yang seolah-olah ‘mencabar’ mana-mana parti politik memasukkan elemen menyemarakkan semangat Rukun Negara dalam manifesto pilihan raya mereka.
Hidup bukan semata-mata mengejar kemenangan sementara atau kekayaan material. Dalam erti kata mudah, hidup memerlukan sistem yang boleh memandu arah ke jalan kebaikan dalam segenap sudut baik bagi jangka pendek atau panjang. Bagi umat Islam, mereka berpegang teguh kepada prinsip mensyukuri nikmat Allah sambil mencari sejahtera di dunia dan bahagia di akhirat.
Mengetepikan prinsip, menolak peraturan selalunya kecundang menemui kegagalan. Kejayaan bukan untuk dinikmati sehari dua sebaliknya biarlah kekal sehingga bila-bila. Jika hidup mencari cahaya, jangan dipadam pelita yang ada. – UTUSAN
DATUK SAYUTI MUKHTAR ialah penganalisis sosiopolitik tanah air.











