Bahasa Melayu penguat negara bangsa

Bahasa Melayu penguat negara bangsa

MOHD. Zuki Ali berucap merasmikan majlis penutupan Simposium Pengantarabangsaan Bahasa Melayu di Kuala Lumpur pada 24 Mei lalu. – UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAHASA merupakan alat komunikasi penting bagi setiap makhluk ciptaan Tuhan. Manusia dapat memindahkan pelbagai maklumat, saling memberi maklum balas serta membuat perkongsian dalam urusan sehariannya tanpa batasan melalui bahasa sama ada sesama manusia atau dengan hidupan lain.

Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) mentakrifkan bahasa antaranya sebagai sistem lambang bunyi suara yang digunakan sebagai alat perhubungan dalam sesuatu kelompok manusia untuk melahirkan perasaan dan fikiran. Bahasa juga ditakrifkan sebagai kata-kata yang digunakan oleh seseorang dalam percakapan atau tulisan.

Secara umumnya, bahasa tidak terhad kepada pertuturan dan tulisan. Terdapat juga bahasa isyarat yang memanfaatkan anggota badan mahupun apa jua alat seperti tanda, lambang, asap, bendera dan bunyi di persekitarannya.

Bangsa bertamadun mempunyai bahasa pertuturan dan tulisan mantap yang digunakan secara meluas tidak terhad kepada ahli kumpulannya sahaja. Keupayaan suatu kaum, kumpulan etnik dan masyarakat yang berkembang menjadi satu bangsa untuk terus hidup sehingga hari ini tidaklah mudah.

Banyak kumpulan etnik dianggap pupus ditelan zaman kerana tewas dalam pelbagai bentuk persaingan.  Antara pengenalan atau jati diri yang menyerlahkan suatu kumpulan etnik dan bangsa ialah bahasa dan tulisan yang dimilikinya.

Hanya bangsa berdaulat yang masih mengekal atau berupaya mencipta ketamadunan, memanfaatkan sumber kekayaan, khazanah ilmu, kepakaran dan secara umumnya keistimewaan tertentu akan terus dihormati oleh dunia luar.

Bangsa itu juga tidak pupus sekiranya ia masih mengekalkan jati diri watannya. Nilai watan sesebuah negara menjadi teras untuk menguruskan kepelbagaian dari aspek agama, bahasa, budaya, perkauman, keturunan dan semangat kedaerahan bagi pembinaan negara bangsa yang sejahtera. Seorang warganegara perlu berbangga dengan jati diri tanah airnya sendiri.

Keupayaan untuk melestari serta menjelmakan negara bangsa sendiri di mata dunia merupakan mercu tanda ketamadunan anak bangsanya. Negara bangsa ialah sebuah negara yang mendukung sistem politik, perundangan, adat, nilai hidup dan budaya berevolusi daripada unsur jati diri bangsa asal serta tidak bercanggah dengan prinsip kedaulatan yang terpasak dalam perlembagaannya. Itulah teras kepada watan sebuah negara.

Perkongsian nilai berteraskan asimilasi bahasa dan tulisan serta akomodasi unsur jati diri yang lain berlandaskan prinsip perlembagaan sebuah negara mampu membangkitkan daya juang untuk terus membangun, mempertahan dan melestarikan jati diri negara bangsa mendepani cabaran unsur luar yang berpotensi menggugat kesejahteraan dalam negara.

Tiada pihak yang wajar menggunakan premis hak kebebasan asasi untuk menghalang asimilasi bahasa Melayu selaras dengan kedudukannya sebagai bahasa kebangsaan menurut Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan.

Di mana-mana bahagian dunia sekalipun, status bahasa kebangsaan sesebuah negara berdaulat dihormati bukan sahaja oleh warganegaranya, malah pihak yang berurusan dengannya.

INTEGRITI

Meskipun kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan sudah terpasak kemas dalam Perlembagaan Persekutuan, setiap kelahiran baharu anak bangsa Malaysia perlu dibajai dengan semangat patriotisme untuk mempertahankan amalannya.

Bahasa merupakan jiwa bangsa maka di sini letaknya kepentingan bahasa Melayu sebagai wadah kesatuan yang tidak membezakan antara warganegara Malaysia. Dalam pembelajaran bahasa Melayu, setiap warganegara dapat memahami asal usul negara serta jati dirinya melalui mata pelajaran Kesusasteraan selain Sejarah dan Ketamadunan Melayu.

Kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu bertaraf dunia perlu dikembalikan. Tiada seorang yang boleh menafikan fakta bagaimana Barat hadir di Semenanjung Tanah Melayu bermula dengan Portugis memunggah dan membawa balik khazanah ilmu yang berkembang pesat ketika zaman Kesultanan Melayu Melaka.

Barat mewujudkan pusat pengajian oriental seawal zaman keagungan Islam di Baghdad untuk mencipta ketamadunan bersifat lebih kontemporari di samping persepsi kononnya mereka ialah pengasasnya.
Orang yang celik sejarah akan lebih menghargai bahasa Melayu.

Belum terlewat bagi setiap warganegara Malaysia untuk mengambil tindakan proaktif mengembalikan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu sekali gus mendukung wawasan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam pemartabatannya sebagai bahasa kedua ASEAN.

Komitmen Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd. Zuki Ali seperti disampaikan ketika Majlis Penutupan Simposium Pengantarabangsaan Bahasa Melayu pada 24 Mei lalu perlu disanjung tinggi.

Tiada cacat cela sedikit pun apabila KSN menegaskan bahawa pengantarabangsaan bahasa Melayu adalah untuk memastikan bahasa tersebut digunakan secara betul dan berkesan dalam perkhidmatan awam tanpa mengabaikan bahasa Inggeris.

Bahasa Inggeris terus digunakan sebagai bahasa perniagaan di samping memperkasakan penggunaan bahasa Melayu dalam ucapan dan tugasan rasmi pentadbiran. Tegas beliau lagi, pengantarabangsaan bukan bermaksud mengurangkan penggunaan bahasa Inggeris bahkan pengunaannya dalam penarikan pelaburan tetap dilaksanakan seperti biasa.

Kesimpulannya, seorang yang sudah menguasai satu bahasa tidak sukar untuk menguasai bahasa lain. Setiap bahasa ada tempat duduknya menurut Perlembagaan Persekutuan. Seorang warganegara yang berintegriti tidak akan memutarbelitkan usaha murni kerajaan untuk meletakkan bahasa kebangsaan ke tempat sewajarnya.

Dalam pada itu, semua pihak wajib berganding bahu untuk mengembalikan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu bertaraf dunia. – UTUSAN

PROFESOR Madya Datuk Dr. Wan Ahmad Fauzi Wan Husain yang juga Pengasas Jurisprudens Watan berkhidmat di Fakulti Pengurusan Industri, Universiti Malaysia Pahang (UMP).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×