UTUSAN: Apa penyebab Dr. ingin membuat come back dalam dunia politik?
MOHAMAD KHIR: UMNO adalah sebuah parti yang baik. Cuma persepsi dan tanggapan pada UMNO itu agak buruk kerana isu-isu tertentu. Walaupun saya dijemput oleh macam-macam parti, saya tetap dengan UMNO.
Kita kena berusaha balikkan UMNO dan saya rasa UMNO boleh membina sebuah kerajaan stabil. Jadi sebab itu saya masih dengan UMNO. Parti baharu banyak dibina atas rasa tidak puas hati dan ia tidak lama terutamanya parti-parti yang keluar daripada UMNO. Dia ambil apa yang UMNO buat, dia nak buat juga.
PKR bertahan lama kerana konsep berbeza daripada UMNO. Kalau guna konsep UMNO juga, tidak kekal lama. Begitu juga parti yang berpecah daripada Pas, Berjasa dan sebagainya.
Selagi dia gunakan apa yang Pas perjuangkan, dia takkan lama. Jadi buat apa kita nak banyakkan parti orang Melayu sehingga akhirnya kita jadi kurang dominan dan tidak dihormati oleh orang lain.
Bagaimana ingin membersihkan nama UMNO jika Dr. sendiri mempunyai rekod lampau?
Saya rasa benda sudah berlaku. Selagi saya tak pernah ambil duit rakyat, saya tak rasa bersalah kerana dalam kes saya semua orang tahu saya tak ambil duit rakyat. Saya beli rumah murah sahaja. Kes seperti Lim Guan Eng, kes boleh dibuang macam itu sahaja kan?
Jadi bagi saya soal itu tak ada masalah. Soal-soal yang lain saya rasa kita kena menghadapi dengan jujurlah. Kita semua buat silap. Kita kena betulkan kesilapan itu.
Bagi saya, pemimpin yang pernah buat silap dan tahu kesilapannya lebih baik daripada yang tak pernah buat. Ini kerana dia tak akan mengulangi lagi.
Masyarakat akan bertanya kenapa beri peluang kepada individu yang ada rekod lampau?
Kita lihat pemimpin-pemimpin lain pun ada kes juga, Guan Eng pun pernah masuk dalam penjara, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan lain-lain. Sekarang ini, soalnya bagaimana kita membetulkan diri kita.
Rakyat kena faham bahawa setiap daripada kita ada buat kesilapan dan bagi saya, pemimpin yang sedar kesilapan, itu lebih baik. Pengalaman itu mematangkan diri kita, saya pernah duduk di atas, pernah di bawah, jadi saya lebih memahami apa yang diperlukan.
PARLIMEN SUNGAI BESAR
Sudahkah menyatakan hasrat kepada Presiden untuk bertanding di Parlimen Sungai Besar?
Saya tak bercakap lagilah. Saya rasa, bagi peluang pada Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi untuk menentukan yang terbaiklah. Cuma sekarang yang penting adalah macam mana nak dapatkan balik kerusi. Dan saya tengok Presiden, dia sangat fokus dalam apa yang dia nak untuk parti pada pilihan raya ini.
Beliau Presiden yang baik sebab tiada jawatan dalam kerajaan, dia bawa kemenangan banyak pilihan raya kecil. Melaka menang dua pertiga. Johor menang dua pertiga, tanpa sebarang jawatan. Bukan sebab nak puji dia.
Dulu UMNO dalam longkang. Semua tak nak UMNO. Semua takut dengan UMNO ini. Sekarang orang masuk dengan UMNO balik. Yang dah keluar ini, semua nak masuk balik. Jadi you nak salahkan Datuk Seri Zahid macam mana? Kita komen dengan prestasi dia.
Noh ada mengingatkan jangan cuba melobi untuk menjadi calon pada PRU15?
Saya tidak melobi. Saya hanya jumpa rakyat. Bagi saya, soal calon ini soalan kedua. Soalnya kita kena menang balik. Tiga kali Selangor ini kalah. Saya minta maaflah.
Kita tak ada manifesto yang kita boleh gerakkan dari awal dan kita bergantung kepada Kerajaan Persekutuan. Tak boleh. UMNO Selangor ini, kita negeri yang maju suatu ketika dulu. Kita kena bergerak lebih ke depan.
Dr. tidak kisah jika nama tidak tersenarai menjadi calon?
Kalau jadi calon, tetapi kalah nak buat apa? Malu dapat, duit habis, betul. Sebab itu orang pun kena fikir hari ini. Jangan tahu nak jadi calon tapi kalah.
Sebenarnya kita kena tahu diri kita, sama ada boleh menang atau tak boleh menang. Paling penting kayu ukurnya adalah menang atau kalah. Tiada gunanya, bertanding kalah. Malu dapat. Jadi, apa kita nak berebut ugut? Saya pun, kalau rasa saya boleh menang, calonlah.
KAEDAH LAMA
Kenapa orang muda kurang minat dengan UMNO?
Sebab UMNO masih menggunakan kaedah lama. UMNO kata mereka dah buat itu, sudah buat ini. Sekarang orang tak nak tengok apa UMNO sudah buat. Orang cuma nak tengok apa faedah yang mereka dapat.
Jadi kalau kita cerita kebaikan UMNO yang sudah dibuat sejak dulu dan kalau sekarang tak pilih UMNO nanti akan jadi itu dan ini, ia akan menakut-nakutkan orang muda.
Saya menyeru kepada semua pemimpin UMNO yang tinggalkan parti. Soal jawatan, soal calon ini kita kena ketepikan sebagai agenda yang kedualah. Saya merayu kepada mereka, jangan bila ada madu, kita dekat. Bila ada sepah kita buang.
Apa yang perlu kerajaan buat untuk orang muda hari ini?
Antara isu orang muda hari ini ialah mereka nak bekerja, jadi kerajaan kena ada satu polisi lengkap yang boleh mewujudkan pekerjaan yang baik.
Jadi masalah sekarang ini, bila kerajaan tak stabil, kita tengok apa pelaburan yang masuk? Akhirnya orang muda susah dapat kerja. Ini ada yang menyatakan mereka merasakan selalu ditipu.
Jadi, saya insya-Allah lah ada pengalaman sikit dari negeri. Dulu saya pimpin negeri Selangor pun dalam keadaan yang agak susah juga sampailah dapat negeri yang maju, diiktiraf oleh dunia ketika itu. Saya boleh lihat apa cara yang boleh digunakan untuk menarik pelabur.
Bukan saya kata saya baik. Tapi ini sejarah. Daripada RM4 bilion pelaburan sampai RM12 bilion saya dapat ketika itu. Pelaburan sampai lapan tahun saya pegang.
Kenapa tidak kita beri peluang kepada orang baharu mentadbir negara?
Bila orang baharu dalam kerajaan, tak ada pengalaman, jadi macam Pakatan Harapan (PH). Bermakna, kalau UMNO hari ini nak ambil semua orang baharu, okey. Tapi akan jadi macam PH lah, sebab itu kita perlu ada orang yang berpengalaman supaya tak berulang masalah bila duduk dalam Kabinet.
Dalam keadaan rakyat bermasalah, mereka yang baharu ini tidak ada pengalaman padahal banyak benda boleh dibuat hari ini.
Kita kena ada masa untuk berjumpa dengan orang kampung. Tetapi pegawai hari ini masih lagi dengan pakai suit, tali leher. Kenapa? Sebab jarang turun ke bawah. Sebab itu kita perlukan kombinasi yang baharu dan lama. – UTUSAN











