ASEAN perlukan jati diri watan - Utusan Malaysia

ASEAN perlukan jati diri watan

ASEAN memerlukan sesuatu yang watan sifatnya dalam komunikasi rasminya di rantau ini dan juga di peringkat antarabangsa.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ASEAN adalah kesatuan politik dan ekonomi yang terdiri daripada 10 negara Asia Tenggara. Ia menganjurkan kerjasama antara kerajaan, selain menjayakan integrasi sosiobudaya dalam kalangan negara anggota serta dengan negara lain di Asia dan dunia.

Sesungguhnya ASEAN telah berkembang pesat dan kini bergerak dalam acuan Kesatuan Eropah dengan penubuhan tiga tonggak, iaitu komuniti keselamatan, ekonomi dan sosiobudaya.

Cara ASEAN bekerja ialah melalui kaedah penyelesaian masalah yang tidak sesekali membelakangkan norma budaya Asia Tenggara. Dengan ini, gaya bekerjanya adalah melalui proses yang selalu mengambil kira kompromi, konsensus dan konsultasi dalam membuat sesuatu ketetapan untuk kebaikan bersama.

Dengan kata lain, ASEAN mengutamakan keputusan yang dicapai itu dibuat setelah adanya permuafakatan. Pada kebanyakan masanya, diplomasi senyap diguna pakai agar perbincangan tentang sesuatu isu itu tidak diuar-uarkan kepada umum.

Seperkara lain tentang ASEAN ialah negara anggota cuba sedaya upaya untuk tidak sesekali mengaibkan yang lain sehingga boleh mencetuskan konflik. Ini penting agar cara timur kita tetap terpelihara, iaitu mementingkan budaya kolektivisme.

Ia menekankan pandangan, kehendak, dan matlamat kelompok terbanyak berbanding dengan yang daripada hanya diri sendiri atau satu pihak tertentu.

Sehubungan ini, ia cara hidup yang menganjurkan kesediaan untuk bekerjasama dan tidak sesekali persaingan seperti yang dianjurkan budaya individualisme.

Pendekatan ASEAN ini, iaitu bekerjasama dan dengan mangkus (mujarab) pula, hendaklah diguna pakai dalam soal bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi kedua pertubuhan itu.

Ia antaranya boleh diusahakan pada tonggak komuniti sosiobudaya itu. Sebelum ini, negara anggota ASEAN didapati banyak bekerjasama bukan sahaja untuk membina, tetapi mempromosi jari diri ASEAN, selain menyatupadukan rantau ini.

Untuk ini, pelbagai projek dan kegiatan dilakukan dalam bidang budaya khususnya, antaranya mencipta lagu rasmi ASEAN. Bagi pendidikan, sukan dan penulisan, ia wujud dalam bentuk ASEAN University Network, South East Asian (SEA) Games dan SEA Write Awards.

Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi kedua ASEAN boleh menjadi satu lagi usaha ini. Ia berasas sekali dan tidak boleh sesekali dikesampingkan tanpa dibincangkan secara mendalam oleh negara anggota ASEAN.

Ia bukan sahaja baik untuk jati diri ASEAN, ia sebetulnya adalah jati diri ASEAN yang sebenarnya. Ini kerana ASEAN memerlukan sesuatu yang watan sifatnya dalam komunikasi rasminya di rantau ini dan juga di peringkat antarabangsa.

Melalui pengambilan bahasa Melayu untuk urusan rasminya, ASEAN sesungguhnya mempunyai jati diri linguistik yang bukan sahaja primordial sifatnya dalam pengertian sudah wujud pada masa dahulu kerana bahasa Melayu pernah mendominasi landskap budaya Asia Tenggara selama beberapa abad.

KETERIKATAN

Ia juga bersifat semasa, yakni moden kerana bahasa Melayu adalah bahasa dunia dari perhitungan sejagat tertentu. Dengan penutur watannya di Alam Melayu sekitar tidak kurang daripada 300 juta, ia bahasa kelima terbesar dari segi demografi itu.

Selain jumlah ini yang lebih tepat digunakan untuk memperlihat keperkasaannya agar tidak mudah pupus, bahasa Melayu sebenarnya mempunyai peranan rasmi di empat negara di dunia, iaitu Malaysia, Indonesia, Singapura dan Brunei.

Ini penting sekali untuk memperlihat bukan sahaja keberadaannya yang formal di rantau ini, lebih penting lagi ia juga merupakan wadah kemajuan yang boleh ikut membangunkan ASEAN dengan jayanya.

Bahasa Melayu yang kini tidak dapat dinafikan tersebar luas ke merata tempat di seluruh dunia adalah satu lagi penanda kepentingannya di luar tanah watannya di Alam Melayu.

Walaupun ia belum merupakan bahasa antarabangsa dalam pengertian sebenarnya, bahasa Melayu tidak dapat disangkal memang mempunyai nilai keantarabangsaan luar biasa sehingga diminati ramai sebagai bahasa asing di ratusan institusi pendidikan tinggi di seluruh dunia.

Walaupun ASEAN berikhtiar untuk mengekalkan keperluan kepelbagaian negara anggotanya menerusi proses yang menghormati kedaulatan, keutuhan wilayah dan identiti nasional setiap negara anggota, ia sangat memerlukan satu identiti Asia Tenggara yang boleh menonjolkan jati diri sendiri agar seiring dengan motonya, iaitu satu visi, satu identiti, satu komuniti.

Oleh itu, pengambilan bahasa Melayu selaku bahasa rasmi keduanya bukan sahaja boleh memupuk identiti ASEAN itu, ia juga dapat menyediakan ASEAN untuk mendepani cabaran sosiobudaya baharu melalui penggunaan bahasa watan Asia Tenggara sendiri sebagai satu komuniti.

Sehubungan identiti ASEAN ini, ia tidak lain tidak bukan adalah perimbangan antara nilai binaan, yakni gagasan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi ASEAN yang diterima, dengan nilai warisan, iaitu penghormatan terhadap identiti nasional masing-masing yang dikekalkan.

Sesungguhnya, gabungan dua nilai ini akan terus memperkasa komuniti ASEAN, khususnya untuk memacu kemajuan sosial serta pembangunan budaya, selain pertumbuhan ekonomi.

Itulah sebenarnya visi ASEAN, yakni dinamika 10 negara yang senantiasa bekerjasama untuk memastikan keutuhan wilayah Asia Tenggara dengan kedaulatan yang menyerlahkan keagungan watan untuk sekitar 600 juta warga ASEAN.

Sehubungan ini, jati diri ASEAN yang dikongsi bersama ekoran penyatuan linguistik melalui bahasa Melayu ini memang bersifat watan kerana ia sebagai bahasa asal Asia Tenggara lebih mampu memberi rasa keterikatan kepada warga ASEAN berbanding bahasa asing yang diguna pakai kini. – UTUSAN

PROFESOR Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong ialah Felow Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Majlis Profesor Negara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×