Isu buli merupakan antara permasalahan yang sudah cukup lama membelenggu masyarakat terutamanya pelajar sekolah dan penghuni asrama.
Ia sering berlaku kerana perasaan tidak puas hati mahupun ingin tunjuk hebat kepada rakan-rakan yang lain.
Namun, Pensyarah Kanan Jabatan Psikologi dan Kaunseling Fakulti Pembangunan Manusia, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr. Nor Sayyidatina Che Rozubi berkata, daripada sudut psikologi individu yang terlibat sebagai pembuli mempunyai gangguan dari segi personaliti yang bersifat anti-sosial.
Golongan itu biasanya tidak mempunyai rasa bersalah apabila melakukan sesuatu yang menyakitkan dan mencederakan orang lain.
“Selain itu, individu yang menjadi pembuli sebenarnya inginkan perhatian dan merasakan diri dihargai.
“Mereka sebenarnya lemah, mempunyai gangguan emosi sehingga gagal menguruskan diri dan mempunyai penghargaan kendiri yang rendah.
“Oleh itu melalui tindakan agreasif seperti mengejek, memeras ugut, mencedera, memukul serta mengambil kesempatan pada kelemahan orang lain memberi kepuasan kepada dirinya,” katanya.
Mengulas lanjut, Dr. Sayyidatina berkata, perbuatan membuli juga berkait dengan gaya keibubapaan atau cara didikan yang diterapkan ibu bapa atau keluarga terhadap anak- anak.
Sekiranya pendidikan awal diterima daripada keluarga adalah dalam bentuk kekerasan seperti pengalaman sering dipukul, melihat ibubapa sering bertengkar dan keluarga bercelaru maka individu tersebut cenderung bersifat kasar dan keras seterusnya boleh menjadi pembuli.
“Peniruan dan contoh dilihat daripada ibu bapa sangat mempengaruhi anak- anak sehingga mengukuhkan tingkahlaku agresif dan anti-sosial. Remaja ini melihat buli sebagai perkara biasa, tidak salah dan menyeronokkan.
“Masalah di rumah seperti faktor ekonomi (desakan kewangan) turut mendorong individu menjadi pembuli untuk melepaskan beban emosi yang ditanggung dalam memenuhi keinginan diri,” katanya.
Remaja dibesarkan dalam persekitaran harmoni, toleransi, kasih sayang dan prihatin akan mempunyai sahsiah dan tingkah laku terpuji serta boleh mengurus emosi dengan baik.
“Ibu bapa disaran memerhatikan personaliti anak-anak sejak kecil. Jika anak berkelakuan seakan pembuli, tindakan segera perlu diambil dengan menerangkan tingkahlaku membuli adalah salah.
Hentikan dengan cara bijaksana, bukannya menggunakan kekerasan.
“Ini kerana terdapat pembuli yang bermula daripada kanak- kanak meningkat remaja dengan personaliti pembuli disebabkan tidak dikawal dan dibentuk bahawa buli itu sesuatu yang tidak baik.
Mereka akan membesar dengan pemahaman bahawa buli itu adalah biasa.
“Namun terdapat kes kanak- kanak yang menjadi pembuli disebabkan isu kecelaruan emosi, contohnya hyperaktif atau kecerdasan yang melampau sehinggakan sering membuli kanak- kanak lain serta tidak memahami perasaan orang lain.
“Sebagai ibubapa segeralah merujuk kepada kaunselor atau ahli psikologi apabila menyedari kelainan dalam tingkahlaku anak-anak,” katanya.










