‘Dari kasihan timbul sayang’ - Utusan Malaysia

‘Dari kasihan timbul sayang’

Kebolehan dirinya pernah diragui hanya kerana usia muda.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Biarpun masih belum berkahwin apatah lagi mempunyai zuriat sendiri, namun Ameera Shafira Hassan atau lebih mesra disapa sebagai cikgu Ameera mengakui sangat menyukai kanak-kanak.

Sejak dari zaman remaja, dia dengan rela hati akan menawarkan diri untuk membantu ibu saudaranya untuk menjaga anak-anak mereka yang masih kecil.

Naluri itu jugalah yang mendorongnya untuk menceburkan diri dalam bidang pendidikan kanak-kanak dengan menjadi guru ganti sekolah pendidikan khas.

Malah dirinya juga tidak lokek untuk meluangkan masa menyertai program-program kesukarelawanan membabitkan anak-anak istimewa sejak tahun 2013 lagi.

Pada usia 31 tahun lulusan Ijazah Psikologi dari Open University Malaysia (OUM) berupaya membuka dua cawangan sekolah berkenaan yang memuatkan 43 murid di Cheras dan Ampang, Kuala Lumpur.

“Dari kecil boleh dikatakan saya sangat menyukai kanak-kanak. Sejak sambung belajar pula saya semakin aktif mengikuti program membabitkan kanak-kanak.

“Saya ada mengikuti program rumah kebajikan anak-anak istimewa. Apabila jumpa mereka, rasa sayang dan juga kasihan kepada golongan anak-anak itu semakin menebal membuatkan saya tekad mahu buka pusat terapi untuk bantu mereka,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Impian jadi kenyataan
Selepas berhempas-pulas selama tiga tahun sebagai pekerja bebas (freelancer) akhirnya anak kelahiran Kemaman, Terengganu ini berjaya mengumpul modal sebanyak RM40,000 bagi membangunkan Pusat Intervensi dan Terapi bagi kanak-kanak Down Syndrome, Autisme, Speech Delay dan juga Attention Deficit Hyperactive Disorder (ADHD).

“Memang impian yang menjadi kenyataan apabila saya berjaya membuka pusat terapi saya sendiri sejak tiga tahun lalu di Cheras dan satu cawangan lagi yang baru beroperasi di Ampang.

“Saya bukan fikirkan nak untung atau perniagaan semata-mata, tetapi saya mahu membantu anak-anak yang istimewa ini untuk hidup seperti orang biasa kerana mereka juga ada hak itu.

“Bagi saya, jika saya dapat bantu mereka untuk tingkatkan keupayaan diri, ia bagaikan satu kepuasan untuk diri saya sendiri,” katanya lagi.

Bagaimanapun, anak keenam daripada tujuh beradik itu juga tidak menafikan doa dan sokongan daripada kedua ibu bapanya turut menjadi faktor penyumbang kepada kejayaannya ketika ini.

Katanya, keberanian dan kekuatan dirinya untuk memulakan perniagaan tercetus daripada orang tuanya yang tidak pernah lelah menyokong dirinya sejak awal pembabitan dalam bidang yang diminati itu.

Usaha Diragui
Namun, tidak ada laluan kejayaan yang mudah bagi setiap insan.

Setiap perkara yang dilakukan pastinya mendapat tanggapan negatif daripada segelintir pihak.

Begitu juga dengan Cikgu Ameera.

Menjalankan perniagaan pusat terapi pada usia hujung 20-an membuatkan dia sering menerima keraguan daripada ibu bapa yang mahu menghantar anak ke pusat terapi miliknya.

“Banyak juga yang saya dengar bila mereka (ibu bapa murid) tahu saya pemilik pusat itu, mereka akan mula was-was sama ada ia benar-benar berkesan atau tidak.

“Saya faham dengan usia sebegitu sudah tentu mereka risau sama ada saya boleh mendidik anak dengan baik atau tidak. Tetapi, tidak perlu risau kerana umur bukan penentu sama ada saya bagus atau tidak.

“Paling penting saya hendak bantu anak-anak istimewa ini dengan mendekati dan memahami dengan cara yang mereka perlukan. Ini juga adalah salah satu tiket saya untuk ke syurga nanti,” ujarnya tersenyum.

Membuktikan bahawa usia bukan penghalang untuk melakukan yang terbaik, Ameera berkata, kepercayaan daripada ibu bapa pelajar hanya dapat diraih melalui hasil yang ditunjukkan.

Melihatkan kepada perkembangan anak yang semakin positif setiap hari, keraguan itu beransur hilang dan digantikan kepercayaan untuk mendidik anak-anak berkenaan.

Berjiwa kental
Mengakui tidak mudah untuk mendidik anak-anak istimewa yang memiliki sifat dan pemikiran yang sedikit berbeza daripada kebiasaan, namun sifat sabar dan kental yang telah lama ditanam di dalam diri memberikan hasil yang baik.

Tegasnya, kekuatan mental dan fizikal, memainkan peranan penting untuk terus bertahan dalam bidang pendidikan khas yang diusahakannya itu.

“Saya banyak mengamalkan konsep tenang dalam pengurusan anak-anak di sekolah. Dengan tenang sahaja barulah kita boleh menguruskan mereka dengan mudah.

“Anak-anak ini hanya mahu kita faham keadaan mereka, itu sahaja. Mereka perlu difahami terlebih dahulu dan barulah mereka juga akan percaya dan ikut arahan yang diberikan,” katanya yang menguruskan pusat berkenaan bersama enam orang guru termasuk di bahagian pengurusan.

Malah katanya, perkara paling penting diterapkan dalam kalangan guru-guru di situ adalah untuk sentiasa cergas dan tangkas mengendalikan karenah pelbagai anak-anak.

Ia bagi mengelakkan kejadian-kejadian yang tidak diingini daripada berlaku, memandangkan anak-anak berkenaan ada yang mempunyai masalah agresif dan hiperaktif.

“Itu yang paling saya takutkan. Saya tidak mahu berlaku sebarang kecederaan kepada anak-anak asuhan, sebab itu saya selalu pesan kepada staff malah kepada diri sendiri supaya sentiasa cergas untuk memantau anak-anak,” tambahnya lagi.

Jumlah kian bertambah
Mengenai jumlah kemasukan murid setiap tahun, Ameera berkata berlaku peningkatan daripada segi kemasukan murid.

Bahkan permohonan diterima terlalu banyak sehingga terpaksa ditolak berikutan kekurangan kakitangan.

Disebabkan itu, beliau kini dalam usaha menambah jumlah pekerja supaya dapat menampung permintaan yang semakin tinggi.

Jumlah kemasukan yang semakin meningkat itu, sekaligus membuktikan bahawa semakin ramai anak-anak yang mengalami masalah perkembangan dan pembelajaran di negara ini.

“Saya kira situasi ini berlaku berikutan persekitaran gaya hidup kita yang semakin berubah.

“Saya tidak menyalahkan ibu bapa sepenuhnya, namun saya percaya anak yang kurang didedahkan dengan gajet mungkin kurang berisiko mengalami masalah perkembangan,” katanya.

Nasihatnya kepada ibu bapa muda khususnya untuk mengurangkan pendedahan gajet kepada bayi dan kanak-kanak. Sebaliknya biarkan mereka meneroka dunia dengan cara mereka sendiri terutamanya ketika anak berusia kosong hingga tiga tahun. Waktu itu perkembangan otak mereka sedang pantas.

Bagaimanapun, gajet bukanlah satu-satunya punca anak mengalami masalah berkaitan autisme. Banyak faktor lain mempengaruhi antaranya emosi ibu semasa mengandung.

“Jangan takut membiarkan anak merangkak sebab risau jatuh dan sebagainya. Biarkan mereka membesar langkah demi langkah kerana merangkak juga salah satu proses perkembangan otak yang baik kepada mereka,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×