DARI 24 ke 28 Mei lalu, saya telah berpeluang mengiringi Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan rombongan membuat lawatan ke Jepun dengan dua tujuan utama iaitu mengadakan perbincangan dua hala dengan Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida dan menyampaikan ucaptama di Persidangan Nikkei Ke-27.
Sejak menjadi Perdana Menteri pada 21 Ogos lalu, beliau terus mengekalkan hubungan erat antara Malaysia dan Jepun. Walaupun sebelum ini tidak bersua, tetapi beliau telah dua kali berbual melalui telefon dengan Perdana Menteri Jepun bagi membincangkan hal-hal yang menjadi kepentingan bersama kedua negara.
Tahun ini adalah amat bermakna sekali kerana kita meraikan ulang tahun ke-65 hubungan diplomatik antara Malaysia dan Jepun. Tahun 2022 juga merupakan ulang tahun ke-40 Dasar Pandang ke Timur (DPT) yang telah dilancarkan pada 1982.
Kedua-dua negara berjaya menikmati banyak pencapaian daripada pendekatan dan kerjasama di bawah DPT. Kita telah melihat kerjasama rapat Malaysia-Jepun dalam pembangunan modal insan (pendidikan dan latihan); perdagangan, pelaburan dan perkongsian teknologi tinggi; pembangunan sosioekonomi (bina upaya) dan hubungan antara rakyat (pertukaran belia, kebudayaan).
Semasa perbincangan dua hala, Perdana Menteri menyatakan Malaysia terus komited dengan DPT dan pelaksanaannya selain berharap Perdana Menteri Jepun dan kerajaan negara itu akan terus memberi sokongan padu kepada DPT.
Pada 2015, hubungan antara Malaysia dan Jepun telah dinaik taraf daripada enhanced partnership (perkongsian yang dipertingkatkan) kepada strategic partnership (perkongsian strategik). Perdana Menteri percaya Malaysia dan Jepun dapat sama-sama menetapkan hala tuju hubungan ini ke tahap yang lebih komprehensif – seperti perkongsian strategik komprehensif (CSP).
Perdana Menteri amat mengalu-alukan lawatan Perdana Menteri Jepun ke Malaysia dalam masa terdekat. Sekiranya dipersetujui oleh pihak Jepun, Perdana Menteri menyatakan kedua-dua pihak boleh mula menetapkan rangka kerja dan pelan tindakan bagi CSP Malaysia-Jepun dengan harapan pelancaran CSP ini boleh dibuat mungkin semasa lawatan Perdana Menteri Jepun ke Malaysia nanti.
Dalam konteks menangani Covid-19, Perdana Menteri mengambil peluang untuk merakamkan penghargaan Malaysia di atas sumbangan bantuan dari Jepun. Pada masa sama, Perdana Menteri menyatakan Malaysia mengalu-alukan kerjasama pemindahan teknologi vaksin Covid-19 antara Institut Penyakit Berjangkit Kebangsaan, Malaysia (NIID) dan Agensi Farmaseutikal dan Peralatan Perubatan (PMDA) Jepun melalui Agensi Pengawalseliaan Farmaseutikal Kebangsaan Malaysia (NPRA).
Selain itu, Malaysia juga berminat mengadakan latihan teknikal bersama Jepun dengan fokus kepada ujian identiti, potensi dan integriti untuk pembangunan vaksin Covid-19.
Dalam bidang perdagangan, Perdana Menteri menyatakan kepuasan hati beliau dengan peningkatan kerjasama perdagangan Malaysia-Jepun. Dalam tempoh tujuh tahun sejak 2015, Jepun merupakan rakan dagang keempat terbesar Malaysia. Meskipun berdepan pandemik Covid-19, jumlah dagangan meningkat 20 peratus dengan nilai AS$36 bilion pada 2021, berbanding AS$30 bilion pada 2020.
Perdana Menteri juga mengalu-alukan pelaburan dari Jepun yang meliputi industri baharu muncul yang mana syarikat negara itu memang terkenal mempunyai kepakaran seperti teknologi kecerdasan buatan (AI), internet kebendaan (IoT), robotik, pembuatan pintar, bandar pintar, trend automotif yang baharu muncul dan tenaga boleh diperbaharui.
PEJUANG ASIA
Perdana Menteri juga menyatakan minat Malaysia untuk meningkatkan kerjasama dalam bidang inovasi digital dan hab keusahawanan yang Jepun diiktiraf sebagai peneraju utama dunia.
Malaysia kini mempunyai Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia 2021-2030 (MyDIGITAL). Sejak 2018, Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) telah menjalinkan kerjasama dengan Japan External Trade Organisation (JETRO) bagi pembangunan syarikat-syarikat pemula antara Malaysia dan Jepun.
Perdana Menteri juga menyatakan Malaysia terus komited untuk mempercepatkan proses penubuhan Kampus Cawangan Universiti Tsukuba di Malaysia. Beliau juga menyatakan kegembiraan kerana hasil lawatan ini Malaysia dan Jepun dapat memeterai tiga memorandum kerjasama (MoC) yang membuka ruang kerjasama baharu membabitkan penghantaran pekerja mahir Malaysia ke Jepun, bidang belia dan sukan serta industri pesawat.
Dalam ucaptama bertajuk Mentakrif Semula Peranan Asia Dalam Dunia Yang Berbelah Pendirian di Persidangan Nikkei Ke-27 pula, Perdana Menteri memberi jaminan bahawa sebagai sebuah negara yang kaya dengan pelbagai budaya dan adat resam, Malaysia akan terus memperjuangkan toleransi dan kesederhanaan selain mengamalkan perdagangan yang bebas dan terbuka bagi mencapai masa depan yang makmur, inklusif dan mampan.
Beliau kemudiannya menyentuh tiga perkara utama yang membolehkan Asia memainkan peranan dalam menerajui dunia yang berbelah pendirian iaitu pertama, memperkasakan integrasi ekonomi serantau; kedua, mengukuhkan kerjasama dan mekanisme perundingan dan ketiga, bermuafakat dalam menangani cabaran perubahan iklim.
Sesungguhnya, ucaptama ini mengangkat martabat Perdana Menteri ke peringkat pejuang Asia melalui penegasan beliau bahawa kerjasama ekonomi dan integrasi yang ingin kita bangunkan ini seharusnya perlulah bersifat berkecuali serta tidak lagi memihak berdasarkan kepentingan geopolitik seperti dilakukan kuasa-kuasa besar sepanjang lebih sedekad lalu.
Lebih membanggakan, Perdana Menteri juga berucap sepenuhnya di dalam bahasa kebangsaan, bahasa Melayu di persidangan itu dan di majlis-majlis lain. – UTUSAN
DATUK Nor Nazimah Hashim ialah Ketua Setiausaha Sulit Perdana Menteri.










