Mukadimah
MASALAH kesesakan lalu lintas dan kecekapan perkhidmatan pengangkutan awam di negara ini sering kali dilihat sebagai isu berkait rapat yang sehingga kini tiada jalan penyelesaian.
Malah, isu yang menyentuh kepenggunaan dalam sektor pengangkutan turut timbul satu persatu sehingga banyak pihak mempersoalkan kredibiliti pihak Kementerian Pengangkutan.
Wartawan Mingguan Malaysia, MOHAMAD HAFIZ YUSOFF BAKRI menemu bual Menterinya, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong bagi mendapatkan penjelasannya terhadap beberapa isu yang timbul. Turut dibantu jurufoto AMIR KHALID.
MINGGUAN MALAYSIA: Kesesakan lalu lintas semakin teruk terutama di Lembah Klang sehingga ada yang menyalahkan sistem pengangkutan awam yang disifatkan tidak efisien. Komen Datuk Seri?
WEE KA SIONG: Saya melihat isu ini daripada dua sudut. Pertama daripada segi pemilikan kereta. Kita perlu ingat jumlah kereta berdaftar di negara ini sudah mencecah 33 juta iaitu hampir bersamaan dengan jumlah rakyat di negara ini dan ia tertinggi di Asia Tenggara. Dalam masa sama bandar raya kita berkembang pesat tapi jalan raya tidak banyak bertambah, kesesakan terus berlaku.
Ia ditambah pula dengan sistem pengangkutan yang masih terhad dan ada yang dalam peringkat pembinaan. Apa yang kita amat perlukan sekarang untuk sistem pengangkutan awam adalah mahu menghubungkan setiap kawasan dengan satu kawasan lain. Sistem rel yang ada sekarang ada kosong di tengah-tengahnya.
Maknanya ada jajaran yang tidak boleh pergi terus ke satu-satu tempat. Sebab itu, perlunya Projek Transit Aliran Massa 3 (MRT 3 ) untuk menghubungkan antara bandar.
Yang kedua, selepas pandemik kita kembali semula sebagaimana pra pandemik. Ramai yang sudah mula kembali kerja dan ia tanda ekonomi beransur pulih.
Masalahnya infrastruktur jalan tidak berkembang selari dengan pertambahan kenderaan. Jika di negara lain mereka bergerak seiring dan ada pelan perhubungan lebih meluas disamping mempunyai jalan raya dua lapisan.
Tapi di sini, kita tertakluk kepada kewangan. Selain itu, ada beberapa kawasan dalam pembinaan sehingga menyebabkan peralihan trafik. Ini antara sebab yang kita lihat.
Mengapa orang tidak mahu naik pengangkutan awam? Ini kerana kecenderungan mereka untuk jamin sampai tepat pada tempat yang mereka tuju. Kerana itu orang suka naik kereta sendiri. Jika naik bas pula, mereka masih perlu menghadapi kesesakan jalan.
Adakah terdapat mekanisme lain untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas seperti penggiliran kenderaan yang masuk ke dalam bandar?
Dulu kita pernah buat buat perkongsian kereta, tapi kita tak berjaya. Untuk pelan jangka panjang, kita mungkin perlu urus trafik di tengah bandar dengan cara berlainan sedikit. Ada negara yang melaksanakan kadar parkir yang cukup tinggi. Dan dasar itu menyebabkan orang tidak masuk ke bandar. Kalau kita buat, kita perlu pastikan pengangkutan kita mencukupi. Kita tidak boleh salahkan rakyat semata-mata sebab ada yang memerlukan kereta untuk masuk ke bandar.
Ada berpandangan yang mahu projek Keretapi Berkelajuan Tinggi (HSR ) diganti projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dengan membuat sambungan baharu dari Kota Bahru ke Rantau Panjang dan seterusnya Thailand bagi menjimatkan kos. Apa pandangan Datuk Seri?
Kita perlu melihat daripada pelbagai sudut. Apabila projek ini dilaksanakan, ia tidak bermaksud akan terhenti di situ dan tidak disambung. Buat masa ini biar pakej A dan B yang sudah dipersetujui ‘jalan’ dulu. Lagipun kita mengambil kira semua pandangan sewaktu mahu dibina dulu.
Tapi itu tidak bererti kita tidak sambung ke tempat lain. HSR ini bukan satu sahaja. Kita akan bentuk satu jaringan pengangkutan. Contohnya kita bermula di Jalan Kastam sehingga ke Pelabuhan Klang dengan kapasiti penumpang lebih kurang 30 peratus dan selebihnya kargo. Sebab itu, perlu diwujudkan kawasan perindustrian di kawasan jajaran ini. Kita mahu sampai ke satu tahap perindustrian di Selatan Thailand boleh guna pelabuhan kita dengan adanya jaringan sistem rel yang baik.
Contoh lain, kalau kita buat kilang di Bentong barangan boleh terus ke pelabuhan. Malah Bentong boleh dijadikan gudang. Walau apa pun perkara utama siapkan dulu projek yang telah ditandatangani berdasarkan kemampuan kewangan semasa sehingga 2021. Ada perancangan lebih baik untuk 20 tahun akan datang.
Tiket penerbangan mahal. Mengapa tidak diberikan lebih banyak lesen agar diwujudkan lebih banyak syarikat penerbangan tambang murah?
Syarikat penerbangan yang biasa kita tahu Malaysia Airlines, AirAsia dan Batik Air. Tapi kita ada bagi lesen banyak lagi kepada beberapa pihak. Sektor penerbangan awam kita sebenarnya agak rancak. Mavcom telah luluskan beberapa jenis lesen perkhidmatan penerbangan termasuk Lesen Perkhidmatan Udara (ASL) kepada MYAirline Sdn. Bhd. (MYAirline) pada tahun ini. Ia menunjukkan perkembangan baik kepada industri.
Untuk MASwings pula kita boleh bagi subsidi sebab ia satu keperluan seperti di Kudat atau kawasan yang terpaksa gunakan perkhidmatan ini.
Kalau kita lihat kadar tambang ini ada dua faktor kenaikan iaitu kos bahan api dan kos tetap disebabkan peningkatan harga tambang seluruh dunia. Di samping itu, syarikat juga berada dalam fasa pemulihan. Malah mereka belum beroperasi penuh dan memerlukan kerja penyelenggaran.
Selain itu, tambang naik sebab pandemik. Sebagai contoh laluan antara Sabah dan Sarawak banyak permintaan. Jadi kita suruh batalkan laluan ke Manila dan beri laluan untuk ke Sabah serta Sarawak. Kadar minyak sekarang pun mencecah AS$150. Selain itu, syarikat berdepan risiko sekiranya ada yang terkena jangkitan Covid-19 sehingga menyebabkan penerbangan digantung dua minggu.
Kita sebenarnya tidak kawal harga tiket penerbangan kerana penetapan adalah berdasarkan rasionalisasi sektor perkhidmatan domestik tahun 2006. Kementerian memutuskan syarikat yang menyediakan perkhidmatan diberi kebebasan dalam meliputi kawasan liputan berdasarkan permintaan. Ramai yang ingat semua tiket boleh ditetapkan macam harga tiket bas. Satu dunia tidak buat kerana harga tiket mengalami naik turun.
Isu AirAsia tangguh penerbangan
Banyak mengeluh isu penangguhan dan kelewatan penerbangan AirAsia. Adakah kementerian sedar ?
Ini adalah bidang kuasa Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom). Saya sudah nyatakan kepada Mavcom, sebarang aduan daripada penumpang perlu dapatkan penjelasan syarikat dalam tempoh sebulan. Mavcom boleh kawal selia dan melindungi pengguna. Ia bukan di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan ia untuk penumpang penerbangan.
Selain itu, Mavcom boleh mengambil tindakan jika syarikat didapati tidak mematuhi peraturan.Kita juga dalam masa sama telah meminta syarikat penerbangan supaya wujudkan inisiatif mempertingkatkan komunikasi dengan pengguna.
Bagaimanapun, ada aspek lain yang perlu kita lihat mengapa penerbangan ditangguh. Aspek teknikal antara faktornya. Jika kapal terbang tidak mematuhi syarat, mereka tidak dibenarkan berlepas. Ia sesuatu yang tidak boleh dikompromi sebab ini berkait rapat dengan keselamatan dan tanggungjawab utama kita.
Kos selenggara naik, tambang naik?
Dengan berlaku peningkatan beberapa kos penyelenggaraan, adakah tambang pengangkutan untuk sektor tertentu turut dinaikkan?
Ia perkara lazim termasuk feri bas ekspres dan bas henti-henti. Kita lihat banyak rayuan daripada syarikat. Namun kita benarkan semasa musim perayaan. Sebab apa? Ini kerana jika pergi (pergerakan bas ke satu-satu destinasi) penuh, biasanya balik akan kurang. Sebab itu, ada kenaikan 10 peratus ketika musim perayaan. Kali ini kalau ada permintaan untuk kenaikan harga tambang, kita pertimbangkan bagi perkhidmatan yang sudah 15 tahun mengenakan harga lama.
Cuma kita perlu lihat berapa banyak kenaikan itu. Tambahan pula dengan peningkatan harga minyak pada masa kini, ada industri terjejas sehingga menghentikan operasi.
Setakat ini, saya tidak mahu umumkan dahulu (peningkatan harga) dan ia akan dibuat dalam tempoh terdekat.
Kita dengar rintihan pengusaha dan turut meninjau kewajaran kenaikan kerana ia melibatkan golongan berpendapatan rendah (B40). Paling penting mengimbangi permintaan pengusaha dan tanggungan masyarakat.
Peningkatan harga e-hailing. Mengapa seolah-olah kerajaan amal favouritism antara operator e-hailing dan pemandu teksi?
Gig ekonomi tak sama dengan ekonomi konvensional. Kita tidak kawal tambang, tapi kita ada garis panduan. Jika sur caj dikenakan, hanya dua kali ganda sahaja kita benarkan.
Baru-baru ini syarikat e-hailing kata, pemandu tidak cukup. Kita katakan pada mereka perlu tambah pemandu. Ada syarikat yang minta kita supaya tidak perlu mengambil lesen kenderaan pengangkutan awam (PSV). Masalahnya mereka bawa penumpang.
Saya katakan kita boleh mudahkan cara sahaja iaitu syarikat boleh menguruskan sendiri bagi mereka yang mahu mengambil PSV. Selepas itu saya ada berjumpa dan berpeluang bertemu pemandu teksi. Mereka katakan pendapatan meningkat dan ini peluang untuk bersaing.
Syarikat e-hailing sama ada dasar atau peraturan, kita yang tetapkan. Kalau mereka berleluasa mengenakan caj lebih kita ambil tindakan. Kita perlu lindungi rakyat jika ia membebankan walaupun kita tahu ia berteraskan permintaan dan penawaran
Kita juga dalam masa sama tambah permit kereta sewa. Lebih 13,000 permohonan dibuka bulan lalu. Pemandu teksi kata pendapatan mereka bertambah. Jadi ia dalam masa sama mewujudkan persaingan.
WASPADA VIRUS MONKEYPOX
Jangkaan untuk sektor pengangkutan tahun ini?
Kita jangkakan pemulihan sektor penerbangan lebih awal sedikit daripada jangkaan awal. Namun kita berwaspada dengan virus Monkeypox dan sentiasa memantau perkembangan dari semasa ke semasa. Kita juga akan mengikut garis panduan daripada Kementerian Kesihatan.
POLITIK
Kemampuan Barisan Nasional untuk bertanding solo dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) nanti?
Saya rasa berdasarkan apa yang berlaku di Johor, kita perlu bersiap sedia. Jika keadaan terdesak, kita akan pergi sendiri (bertanding solo). Sudah tentu ada orang nak sokong kita. Tapi dalam politik ia tidak datang secara semula jadi. Persediaan perlu berlandaskan pada BN. Apa-apa yang ada itu adalah bonus.
Berapa kerusi sasaran MCA untuk PRU -15 nanti?
Kita belum bincang dan saya memang tidak suka berbicara berkenaan kerusi.
MCA akan pertahankan kerusi sedia ada?
Kerusi MCA kita perlu pertahankanlah dengan semangat BN. Semangat di Johor sewaktu Pilihan Raya Negeri (PRN) saya kagum.
Di Johor, UMNO, MCA dan MIC apabila sedang ‘berperang’, kita bekerja kuat. Saya lihat ada ruang lagi untuk memperkukuhkan hubungan.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook dilihat lebih
sederhana dan sedikit sebanyak mungkin meraih lebih banyak sokongan terutama orang Melayu. Pandangan Datuk Seri?
Asas parti perlu dilihat dan bukan hanya pada pemimpin semata-mata. Siapa sebenarnya yang berpengaruh? Paling penting lihat pada DNA parti. Namun begitu, kita anggap satu cabaran dan kita akan buat yang terbaik dalam PRU-15 nanti. – Mingguan Malaysia











