KUALA LUMPUR: SkyWorld merangkul dua anugerah menerusi pembangunan SkyAwani 3 Residences.
Pertama, SkyAwani 3 Residencesnya, sebuah projek perumahan mampu milik di Setapak siap tepat pada masanya dan SkyBridge yang terletak di tingkat 52 telah dianugerahkan dengan gelaran SkyBridge Kediaman Tertinggi di Malaysia oleh The Malaysia Book of Records (MBOR).
Ketua Pegawai Eksekutif SkyWorld, Lee Chee Seng berkata, pihaknya bukan sahaja menyediakan kediaman yang selesa tetapi juga meningkatkan gaya hidup mereka yang tinggal di kediaman itu.
“Dengan komitmen dalam mutu kerja berkualiti dan kemudahan yang komprehensif, pembeli rumah kami akan mengalami pengalaman hidup di langit yang menyeronokkan di SkyAwani 3,” katanya dalam kenyataan.
SkyAwani 3 SkyBridge berketinggian 170.55 meter (m) dan terletak di tingkat 52 kediaman tersebut.
Jambatan langit 550m ini menghubungkan semua tiga menara, di mana penduduk boleh menikmati pemandangan latar langit bandar Kuala Lumpur secara eksklusif tanpa halangan.
Selain pemandangan bandar yang indah, terdapat kemudahan lain seperti trek joging, permainan catur, kecergasan luar dan ruang yang luas untuk menggalakkan interaksi sosial yang sihat.
SkyAwani 3 Residences ialah projek Residensi Wilayah Keluarga Malaysia yang mematuhi mutu kerja Qlassic (Sistem Penilaian Kualiti dalam Pembinaan).
Pembangunan itu terdiri daripada 1,905 unit dan menawarkan kawalan keselamatan tiga peringkat 24 jam di sekelilingnya, selain mempunyai 22 kemudahan aktif dan rekreasi yang sesuai untuk semua generasi seperti kolam renang dengan jakuzi jet gelembung, bilik permainan, gelanggang bola keranjang dan gimnasium.
Unit tiga bilik tidur dan dua bilik air dengan saiz binaan 800 kaki persegi ini berharga RM300,000 dan telah dibeli dengan pantas sebaik sahaja ia dilancarkan.
SkyWorld menyokong penuh inisiatif kerajaan untuk menyediakan satu juta unit rumah mampu milik menjelang 2029.
Sehingga kini, SkyWorld telah melancarkan 6,236 unit rumah mampu milik dan merupakan salah satu penyumbang terbesar Residensi Wilayah Keluarga Malaysia.
Selain itu, SkyWorld merancang untuk melancarkan empat projek di Kuala Lumpur tahun ini di pelbagai lokasi strategik di Setapak, Cheras, Taman Melawati dan Setiawangsa. – UTUSAN










