Henti beri alasan tak tahu berbahasa Melayu

Henti beri alasan tak tahu berbahasa Melayu

SIKAP orang ramai khususnya masyarakat Cina yang kurang memberi kerjasama merupakan cabaran utama sepanjang gerakan banci penduduk dan perumahan. – GAMBAR HIASAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ASAS utama pembinaan negara adalah pendidikan. Penghalang terbesar dalam pembinaan negara adalah sistem pendidikan berasaskan kaum yang mempunyai hasrat membina negara dalam negara. Pendidikan sepatutnya menyatukan, bukan memisahkan.

Malangnya dalam konteks negara kita, pendidikan bersifat memisah bukan menyatu. Kewujudan sekolah pelbagai aliran dari peringkat asas hingga pengajian tinggi begitu ketara pemisahannya. Tidak ada penguatkuasaan, bahasa Melayu tidak didaulatkan.

Pada 2010, menurut Pesuruhjaya Banci dan Ketua Perangkawan Malaysia ketika itu, sikap orang ramai khususnya masyarakat Cina merupakan cabaran utama pembanci sepanjang gerakan Banci Penduduk dan Perumahan 2010.

Mereka tidak tahu berbahasa Melayu dan Inggeris. Mereka hanya tahu bahasa ibunda. Katanya, ia tidak harus terjadi kerana sebagai rakyat dan penduduk Malaysia sejak merdeka sudah pasti tahu menggunakan salah satu bahasa itu.

Dalam Fasa I Banci 2010, 70 peratus daripada mereka yang tidak memberikan respons adalah masyarakat Cina. Jabatan Perangkaan terpaksa mendapatkan kerjasama media berbahasa Cina, petugas jabatan berbangsa Cina dan persatuan mewakili masyarakat itu.

Masyarakat Cina tidak boleh mengatakan tidak memahami soalan disediakan kerana kebanyakan mereka tinggal di bandar dan mendapat akses kemudahan pendidikan.

Paling dikesalkan, mereka sanggup melepaskan beberapa ekor anjing bagi menghalang pembanci mendekati rumah.

Berdasarkan kepada insiden ini, cuba buat kajian menyeluruh, berapa ramai bukan Melayu boleh berbahasa Melayu dengan baik? Berapa ramai pelajar Cina mendapat markah cemerlang dalam subjek Bahasa Melayu? Berapa ramai pula yang gagal Bahasa Melayu? Kenapa lima Sekolah Wawasan pada zaman Tun Dr. Mahathir Mohamad yang menempatkan semua aliran sekolah kebangsaan (SK) dan sekolah jenis kebangsaan (SJK) di bawah satu bumbung gagal?

Pakar perlembagaan, Profesor Dr. Shad Faruqi pernah berkata, orang Cina ada hak untuk belajar bahasa Cina, itu memang dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan, tetapi bukan hak untuk belajar dalam bahasa Cina.

Pakar sejarah negara, mendiang Profesor Tan Sri Khoo Kay Kim pernah berkata, British hanya membenarkan sekolah Cina beroperasi ketika zaman penjajah jika mereka berhasrat untuk kembali ke negara asal iaitu China dan tidak mahu menetap di Tanah Melayu. Namun, jika orang Cina mengambil keputusan untuk menetap di Tanah Melayu, maka sekolah Cina mesti dirobohkan, orang Cina mesti belajar dalam aliran kebangsaan.

Ternyata penjajah British sangat memahami dalam kehidupan membina negara. Memberikan hak kepada yang berhak. Malangnya, perkara ini tidak difahami sebegitu oleh sebahagian rakyat. Mereka merasakan semua adalah hak mereka. Sampai ke tahap hak yang diminta melampau-lampau.

JAWI

Inilah bentuk pembinaan negara dalam negara yang menjadi ancaman kepada pembinaan negara bangsa dalam memartabatkan agenda hidup bernegara. Sekolah dibiayai kerajaan tetapi kelihatan kerajaan tidak ada kuasa untuk mengubahnya disebabkan desakan kuat daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Lebih malang lagi, kerajaan tunduk kepada desakan dan kepentingan politik seolah-olah ia boleh dijual beli. Ada perkiraan undi, untung dan rugi. Ada unsur percaturan kuasa, tawar-menawar. Sedangkan pembinaan negara memerlukan kepada penegasan.

Contohnya, isu Kementerian Pendidikan mahu kuatkuasakan pembelajaran tulisan Jawi sebanyak enam muka surat di SK dan sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) yang ditentang habis-habisan. Sedangkan sarjana Korea Selatan sendiri mencadangkan perjuangan mendaulatkan bahasa Melayu perlu disekalikan dengan pembelajaran tulisan Jawi.

Akibat penentangan ini, kerajaan bersetuju mengurangkan pembelajaran tulisan Jawi kepada tiga muka surat. Malangnya, tiga muka surat pun tidak dapat dilaksanakan.

Kumpulan ini mahu ia dihapuskan terus.

Golongan minoriti (bukan bumiputera) mesti belajar memahami bahasa majoriti (bumiputera) demi mencapai matlamat pembinaan negara bangsa. Amat sukar untuk diterima perancangan kerajaan harus gagal setiap kali ditentang oleh NGO ini. Lebih malang lagi, kerajaan terpaksa tunduk sedangkan NGO ini langsung tidak ada legitimasi, apatah lagi berdaulat.

Dalam kata lain, empat perkara pokok berikut mesti diterima oleh rakyat dalam pembinaan negara bangsa bagi mengelak wujud pembinaan negara dalam negara, iaitu kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi; kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan; kedudukan hak istimewa orang Melayu dan bumiputera Sabah dan Sarawak; dan kedudukan Raja-raja Melayu.

Jika perkara ini tidak dapat diterima, amat jelas sekali bahaya gerakan membina negara dalam negara.

Kalau nak perkasa bahasa Melayu,
Jangan diperjudi dengan undi,
Ingatlah wahai saudaraku,
Laksana bahasa jiwa bangsa tanpa kompromi.

Bahasa Melayu bahasa indah,
Sayang penuturnya rasa gundah,
Akibatnya ia dipandang rendah,
Rakyatnya sendiri buat tak kisah.

Kini sudah tiba masanya,
Bahasa Melayu mesti dikuat kuasa,
Jadikan bahasa syarat utama,
Untuk menjadi warganegara.

Kesimpulannya, perlu diadakan ujian lisan dan bertulis bagi membuktikan penguasaan bahasa Melayu sebagai syarat untuk menjadi warganegara, baharulah menunjukkan keseriusan kerajaan memartabat bahasa Melayu. – UTUSAN

DR. Mohd. Ridhuan Tee Abdullah ialah Profesor di Pusat Pengajian Teras, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×