Di sebalik rimbunan hutan di tanah tinggi Lojing, Kelantan, tersembunyi sebuah perkampungan orang Asli suku Temiar di Pos Tuel yang masih terpelihara keindahan alam semulajadinya.
Biarpun lima gugusan utama perkampungan yang dihuni oleh lebih 1200 penduduk itu diancam dengan kerakusan manusia menebang pokok untuk mendapatkan balak dan dijadikan kebun menanam sayur, Pos Tuel umpama ‘permata’ yang tersembunyi di celah Banjaran Titiwangsa.
Terletak kira-kira 45 minit daripada pintu masuk di Simpang Air Panas, Pos Hendrop, perjalanan ke Pos Tuel kini lebih mudah dengan jalan bertar walaupun agak sempit. Kebanyakan yang masuk ke kawasan itu menggunakan kenderaan berat seperti kenderaan pacuan empat roda dan lori satu tan untuk mengangkut sayur serta barang-barang keperluan lain.
Mungkin ini antara punca mengapa beberapa jalan yang asalnya untuk mengangkut balak, berlubang besar dan perlu berhati-hati ketika melaluinya terutama apabila terdapat tebing di tepi jalan yang runtuh.
Memandu masuk ke kawasan perkampungan ini menggunakan kenderaan kecil, lebih mencabar disebabkan ada keadaan jalan yang tinggi serta rendah selain menempuhi selekoh tajam.
Sepanjang perjalanan, pengunjung akan melalui empat kampung iaitu Tersoh, Ber, Hanir dan Kerbuk sebelum tiba ke perkampungan Tuel dan Plug.
Letih hilang sebaik tiba di Kampung Tuel dan menatap pemandangan indah banjaran Titiwangsa yang membahagikan tiga negeri iaitu Perak, Pahang dan Kelantan.
Udara bukit yang dingin mula menerpa wajah sebaik memasuki perkampungan ini. Keunikan seni bina dan struktur rumah penduduk suku Temiar cukup menarik perhatian.
Desiran air sungai di lembah umpama siulan menyambut kedatangan pengunjung di sepanjang jalan. Kanak-kanak berlari menanti di tepi jalan atau di depan rumah apabila mendengar bunyi kenderaan sambil melambai mesra.
Di sebelah pagi, berjalan ke Kampung Plug sambil menyedut udara pagi Banjaran Titiwangsa. Kampung Plug adalah kampung paling tinggi dan paling hujung di Pos Tuel. Pokok keladi yang tumbuh meliar di sepanjang jalan ke kampung ini menghasilkan landskap menarik.
Setakat ini, hanya terdapat sebuah chalet kecil dibina di tepi Sungai Tuel dan terdapat pondok kecil daripada buluh dibina di tepi sungai untuk berteduh yang terletak di kampung itu.
Jeram dengan air deras yang mengalir di celah batu-batu besar membentuk jakuzi semula jadi yang memberi kesan urutan melegakan belakang tubuh.
Biarpun sekadar mencelupkan kaki di dalam air yang dingin sambil duduk di atas batu, bunyi deras air mengalir atau berjalan di atas batu-batu sungai, sudah cukup melenyapkan segala tekanan.
Tepat jam 8 pagi, beberapa wanita kelihatan memanjat belakang lori kecil yang membawa mereka bekerja di kebun sayur yang terletak kira-kira lebih dua kilometer di hujung kampung.
Mereka dibayar gaji sebanyak RM40 sehari untuk memetik cili dan tomato.
Kebun berkenaan terletak di atas kawasan air terjun Ber yang dikatakan air terjun tertinggi di Kelantan. Sekiranya bernasib baik, pengunjung boleh melawat ke kebun sayur dan membeli sayur segar di situ.
Namun, keadaan jalan tanah merah yang tidak rata serta berbonggol-bonggol, memerlukan pengunjung menaiki kenderaan pacuan empat roda untuk sampai ke kawasan air terjun dan kebun sayur.
Perjalanan juga amat mencabar kemahiran mengendalikan kenderaan untuk mendaki bukit dan melalui selekoh sempit dengan tebing curam terutama pada musim hujan apabila jalan menjadi berlopak.
Namun kesabaran membuahkan hasil sebaik mendengar deruan air terjun dari ketinggian lebih 5 meter itu. Letih terus bertukar teruja.
Tak sabar nak mandi selepas ‘dihempas’ sepanjang perjalanan tadi.
Mata air panas
Kolam mata air panas di Pos Hendrop terletak di Simpang Air Panas menawarkan keunikan tersendiri.
Unik sebab ia ia mengalir menerusi denai kecil sebelum masuk ke sungai berhampiran.
Ada beberapa kolam air panas kecil dan pondok untuk berehat sambil menikmati kehijauan fauna di situ.
Kawasan tarikan pelancongan ini sedikit cacat bila ia dicemari sampah yang dibuang merata-rata oleh pengunjung selain tidak diselenggara dengan baik.
Lemang daun lerek
Saya berkesempatan menyaksikan beberapa penduduk lelaki Temiar memasak lemang daun lerek, antara hidangan istimewa hari raya penduduk di perkarangan Masjid Saidina Abu Bakar As Siddiq Pos Tuel (MSABAPT).
Usai program zakat anjuran Masjid Saidina Abu Bakar As Siddiq (MSABA) Bangsar, beberapa remaja lelaki kelihatan sibuk membasuh daun lerek dan buluh dan dibawa ke laman masjid.
Dalam kedinginan malam yang mencengkam, beberapa lelaki sudah bersedia dengan beras pulut yang sudah direndam di dalam besen besar. Yang lain, sibuk menghidupkan bara api dan membuat palang membakar lemang.
Daun lerek digulung dengan bilah buluh sebelum dimasukkan ke dalam buluh lemang diikuti pulut dan santan. Percikan bara dan aroma lemang yang dibakar membuatkan perut terus berkeroncong minta di isi.
Sekumpulan lelaki lain kelihatan memerap ayam dengan bawang yang dikisar, kunyit, serai dan garam.
Aroma ayam bakar yang dicucuk dengan bilah buluh menusuk ke hidung, membangkitkan selera apabila dimakan dengan lemang.
Pos Tuel sememangnya berpotensi menjadi destinasi pelancongan untuk mereka yang mencari kedamaian alam dan lari daripada kesibukan kota.
Sekiranya ingin bermalam di situ, pastikan anda membawa baju tebal, beg tidur atau selimut tebal kerana suhu lebih sejuk di tengah malam terutama apabila hujan.










