SHAH ALAM: Calon jawatan Ketua Wanita PKR, Rodziah Ismail yakin mempunyai pengaruh untuk memenangi jawatan tersebut dalam pemilihan PKR kali ini bagi menewaskan Ahli Dewan Negara, Senator Fadhlina Sidek.
Menurut Exco Perumahan, Kesejahteraan Bandar dan Pembangunan Usahawan Selangor itu, aspirasi yang dibawanya dilihat dapat diterima sebahagian besar penyokong partinya dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
“Ahad lalu, saya melawat 10 cabang PKR di Perak dan melihat majoriti ahli parti memberikan sokongan kepada saya.
“Apapun, saya menyerahkan segala keputusan kepada ahli parti dan akan menerima segala keputusan daripada pemilihan kali ini,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui, semalam.
Untuk rekod, Rodziah sebelum ini bertanding bagi jawatan tersebut namun tewas kepada bekas Ketua Wanita, Datuk Zuraida Kamaruddin (kini Bersatu) dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sementa, Dr. Daroyah Alwi.
Dalam pada itu, Rodziah menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dengan mana-mana ahli parti yang dipilih bagi menduduki kepimpinan tertinggi parti pada pemilihan kali ini.
Bagi ADUN Batu Tiga itu, pengukuhan dalam parti adalah lebih penting daripada pengaruh individu bagi kelestarian PKR untuk tahun-tahun mendatang.
“Saya harap kepimpin baharu parti serta Presiden dapat mencari jalan supaya semua ahli dapat menguatkan lagi PKR.
“Kepada yang kalah dalam pemilihan kali ini, saya harap anda terus memberi sokongan kepada kepimpinan baharu parti,” harapnya.
Dalam pada itu, Rodziah turut memberikan teguran kepada Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) supaya dapat menilai semula pengenalan sistem pengundian secara atas talian.
Katanya, majoriti ahli parti lebih memilih untuk mengundi secara fizikal berbanding secara atas talian.- UTUSAN











