SEDIKIT pun tiada niat di hatinya untuk meraih simpati orang.
Apalagi, semua orang tahu, tugas menjaga ibu bapa tentulah sudah menjadi tanggungjawab setiap anak tanpa perlu untuk dicanang-canang.
Sanggup melupakan sebentar dunia seni, pulang ke kampung halamannya di Alor Setar, Kedah, ada kisah yang dipendam oleh pelakon Azman Ahmad selama tujuh tahun kebelakangan ini.
Nekad menjaga ibu, Aishah Abdul Hamid, 80, yang sudah tua dan menghidap pelbagai komplikasi penyakit, Azman biarpun mempunyai 10 adik-beradik, dia rela beralah sementelah satu-satunya anak lelaki dalam keluarga.
“Kali terakhir saya berlakon adalah pada tahun 2014 bersama pasukan Metrowealth, itu pun berulang-alik dari Kedah ke Kuala Lumpur sebab emak sakit.
“Tapi bila keadaan kesihatannya semakin teruk pada tahun 2017 dan nyanyuk, saya buat keputusan untuk terus tinggal dengannya sebab terlalu bimbang,” katanya.
Meninggalkan dunia seni adalah satu keputusan berat buat Azman kerana itu adalah cinta dan jiwanya.
Malah, apabila terpaksa bekerja di kampung dan melakukan pelbagai kerja bukan ‘jiwanya’, Azman bersabar kerana dia perlu mencari duit bagi menampung hidup, kos perubatan dan rawatan ibunya.
“Saya ada usahakan sebuah kafe di Universiti Utara Malaysia (UUM) tetapi sejak pandemik Covid-19 melanda, keadaan jadi sukar sebab tiada pelajar di kampus.

“Dugaan memang silih berganti. Malah sebelum ini juga pernah saya kena fitnah dan disantau orang gara-gara hasad dengki.
“Tetapi saya cuba bangkit juga demi mak. Apa pun dugaan, memang tak nak kembali ke ibu kota biarpun orang kata disitulah lubuk rezeki buat orang seni macam saya,” katanya.
Dedikasi kasih ibu dalam Petaka
Mengaku dirinya tidak sempurna, apalagi sewaktu kecil dan remaja, dia begitu nakal sehingga sering dipukul dan dimarahi ibu, Azman bagaimanapun sangat rapat dengan orang tuanya itu.
Menganggap ibu adalah segala-segalanya, pelakon ini ada ketika tidak mampu membayangkan jika wanita itu tiada suatu hari nanti.
“Sebab itulah saya mahu jaga dan sentiasa berada di sisinya. Bukan nak cakap diri bagus, tetapi membayangkan dia tiada juga sudah cukup membuatkan diri terasa sakit.
“Teringin nak dengar dia bercakap, ingat dan panggil nama saya Aman..setiap kali sebut hal ini, memang hati jadi sayu.
“Kalau boleh nak jaga mak sampai ke akhir hayat. Sentiasa diri ini berdoa, kalau jadi apa-apa pada dia, biar ia berlaku di depan mata,” katanya.
Jodoh? Tak tahulah
Pernah berkahwin dan bercerai, Azman bagaimanapun enggan mengungkit kisah lama dan mahu fokus pada kehidupannya sekarang.
Pun begitu, ketika ditanya sama ada dia terfikir untuk kembali berumah tangga dan mempunyai isteri, Azman ada alasannya.
“Siapa tak mahu ada isteri? Tak kisahlah anak dara ke, janda ke, soalannya siapa yang sanggup nak terima saya yang menjaga mak sepanjang masa?
“Susah nak cakap hal ini sebab tak semua orang mampu faham dan boleh terima keadaan ini,”katanya yang turut memuji adik-beradiknya kerana turut membantu walau jarang berpeluang pulang ke kampung.
Petaka buat penonton
Diberi peluang untuk menghasilkan supertele berjudul Petaka, Azman berbesar hati dapat berkerjasama dengan Arie Zahari sebagai penerbit bersama.
Pada awalnya dijadikan karya sambungan untuk telemovie Salam Dari Syurga, dia kemudian menerima cadangan Arie untuk mengangkat karya berat itu menjadi supertele kerana kualiti yang dimiliki.
“Petaka adalah kisah saya sendiri. Pengalaman susah, menjaga mak, pengorbanan dan kekeluargaan yang saya percaya mampu membuatkan penonton terkesan dengan jalan ceritanya.
“Sebenarnya, ada juga elemen komersial disuntik untuk naskhah ini bagi mencantikkan jalan cerita. Mungkin dalam 70 peratus daripadanya adalah kisah benar saya,” katanya.
Dalam pada itu, menurut pelakon ini, sekiranya Petaka mendapat sambutan yang tinggi, dia berhasrat menghasilkan sambungan cerita tersebut.
Selain Azman, filem ini dijayakan dengan baik oleh barisan pelakon berkredibiliti iaitu Wan Maimunah, Nabila Huda, Jaja Iliyes, Pu Azman, Coki dan Zali Shuhali.
Petaka akan ditayangkan pada awal Disember ini di platform Astro First.










