'Finas, tolong ambil tindakan!' - Utusan Malaysia

‘Finas, tolong ambil tindakan!’

AYU Puteh bengang dengan sikap segelintir penerbit filem salahguna wang geran Finas.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Ini bukan kali pertama isu ini menjadi buah mulut rakyat. Pendedahan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) berhubung penyelewengan dana kerajaan sehingga RM30 juta benar menggemparkan industri. Bermakna, sehingga kini masih ada syarikat penerbitan yang menggunakan duit rakyat demi kepentingan peribadi.

Sebelum ini sekitar tahun 2018, bekas Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo meminta Finas segera mengambil tindakan terhadap syarikat penerbitan yang terlibat dalam penyelewengan wang dana mencecah RM25 juta. Namun tahun ini, angkanya bertambah sehingga RM30 juta.

Dana yang diminta bukan kepalang jumlahnya, namun hasilnya hanya habuk. Di mana integriti segelintir pemain industri yang menggunakan wang tersebut untuk kepentingan diri sendiri? Malah, bukan satu tetapi sebenarnya 44 syarikat menyeleweng duit dana itu demi keuntungan atas angin.

Bosan, meluat dan menyampah! Itu yang boleh disimpulkan tatkala penerbit popular, Datuk Ayu Puteh berbicara tentang isu panas ini. Seakan tiada kesudahan, jelas Ayu yang juga pemilik syarikat produksi Pencil Pictures & Records Sdn. Bhd. sudah acap kali mendengar isu yang sama.

Biarpun sudah beberapa kali Finas menukar pentadbiran, jelas Ayu, industri perfileman seakan tidak boleh lari daripada masalah penyelewengan dana. Apa yang lebih mendukacitakan, banyak syarikat produksi hanya ditubuhkan sekadar untuk menyeleweng wang dengan mudah.

“Sebut pasal dana hilang, diseleweng semua ini, saya dah bosan dan menyampah! Meluat! Drama banyak. Pihak yang ambil dan ‘makan’ duit itu semua diam sahaja. Syarikat yang dapat dana dan hasilkan filem pecah panggung boleh dikira. Selebihnya? Hampas, sekadar asal ada punya kerja.

“Dari dulu Finas telah banyak kali keluarkan kenyataan berkaitan duit hilang, kena sapu dan sebagainya. Tapi sehingga sekarang, kita tak nampak ada apa-apa tindakan yang diambil oleh agensi itu sendiri. Setiap kali pentadbiran baru, kenyataan seperti ini keluar lagi. Solusi? Jawapan? Ada ke?

“Kebanyakan syarikat produksi yang benar-benar menjalankan perniagaan ini, kurang mendapat peluang yang secukupnya. Sebab ada pihak yang tidak jujur dalam tangunggjawab! Siapa makan cili, rasalah pedas,” tegas penerbit filem Ada Apa Dengan Dosa ini.

Mahu tindakan sewajarnya terus diambil, Ayu mencadangkan agar Finas memaparkan penerima geran atau dana menggunakan duit rakyat itu dalam laman sesawang milik agensi tersebut seperti sebelum ini. Malah, tindakan menyenarai hitam penerima yang didapati menyeleweng juga perlu segera dilaksana.

“Finas perlu memberi geran secara telus dengan memaparkan senarai penerima geran atau duit rakyat di dalam laman sesawang rasmi seperti pernah dilakukan sebelum ini. Saya pelik kenapa tindakan itu diberhentikan. Rakyat perlu tahu.

“Sekiranya ada geran telah diselewang atau disapukan oleh penggiat industri yang tidak bertanggungjawab. Tindakan drastik perlu diambil. Jangan kambus kerana kroni atau ‘kawan-kawan’. Senarai hitam sahaja mereka!” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×