PETALING JAYA: Pelaksanaan dasar pengasingan kuasa antara Peguam Negara dan Pendakwa Raya yang dicadangkan Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai AntiRasuah (JKKMAR) tidak bermakna jika masih ada yang bersikap ‘Yes Bos, Yes Datuk, Yes YB’.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, bekas Peguam Negara, Tan Sri Abu Talib Othman berkata, ini ditambah individu yang gagal melaksanakan undang-undang dengan adil, malah usaha pengasingan itu memberi implikasi kewangan apabila perlu diwujudkan perjawatan baharu.
Menurut beliau, meskipun langkah tersebut bagus namun pelaksanaan bergantung kepada pihak yang melaksanakan kuasa pendakwaan tanpa dipengaruhi mana-mana pihak.
“Kalau masih bersikap Yes Bos, Yes Datuk, Yes YB, apa guna asing Peguam Negara dan Pendakwa Raya? Isunya berbalik kepada manusia itu sendiri,” katanya semalam.
Kelmarin, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan mesyuarat JKKMAR dipengerusikan beliau bersetuju supaya kajian pengasingan kuasa Pendakwa Raya dan Peguam Negara yang lebih mendalam dilakukan kerana ia melibatkan perlembagaan, undang-undang dan kewangan.
Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan memperincikan peranan Peguam Negara antaranya menasihati Yang di-Pertuan Agong atau Jemaah Menteri atau mana-mana Menteri mengenai apa-apa perkara undang-undang dan mempunyai kuasa menurut budi bicaranya untuk memulakan, menjalankan atau memberhentikan apa-apa prosiding bagi sesuatu kesalahan.
Abu Talib berkata, pengasingan kuasa jawatan itu tidak diperlukan sekiranya Peguam Negara melaksanakan tanggungjawab seperti mana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan tanpa campur tangan pihak tertentu.
“Jika ada asas undang-undang untuk mendakwa seseorang itu, ia perlu diteruskan pertuduhan ke mahkamah. Ini tonggak utama sebagai Peguam Negara,” katanya.
19 undang-undang
Dalam pada itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar ketika dihubungi berkata, selain Perlembagaan Persekutuan, terdapat 19 undang-undang yang perlu dipinda berhubung langkah pengasingan kuasa itu.
Semua undang-undang tersebut membabitkan peranan Peguam Negara bagi memulakan sebarang prosiding sesuatu kesalahan yang merangkumi siasatan kes seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Suruhanjaya Sekuriti (SC) serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
Beliau berkata, usaha pengasingan kuasa Peguam Negara dan Pendakwa Raya memerlukan kajian mendalam kerana langkah itu terlebih dahulu perlu mengambil kira aspek perundangan khususnya kuasa Peguam Negara seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Katanya, usaha tersebut tidak boleh dilakukan tergesa-gesa ataupun dilakukan secepat mungkin supaya tidak timbul masalah pada masa akan datang.
“Saya memahami hasrat ramai pihak yang mahu pengasingan kuasa antara kedua-dua jawatan itu supaya kuasa mendakwa diasingkan daripada Peguam Negara yang selama ini menasihati Yang di-Pertuan Agong atau Jemaah Menteri atau mana-mana Menteri mengenai apa-apa perkara undang-undang,” katanya. – UTUSAN










