ALMARHUM Sultan Azlan Shah pernah bertitah dalam satu multaqa (himpunan): “Sering disebut-sebut bahawa badan kehakiman adalah pengawal yang sebenar bagi keadilan. Maka sebarang kelemahan fungsinya berbanding badan-badan lain tentulah akan menjejaskan neraca keadilan.
“Begitu juga sebarang penurunan keyakinan masyarakat terhadap kebebasan badan kehakiman, lumrahnya akan mewujudkan ketidakstabilan yang lazimnya memakan masa lama dan sulit untuk dipulihkan.”
Mutiara kata bekas Ketua Hakim Negara itu amat sesuai diguna pakai dalam memaknai pertikaian perundangan yang timbul baru-baru ini apabila Ketua Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali terpalit dengan tuduhan terdapat konflik kepentingan sewaktu beliau mengadili satu kes rayuan melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam artikel terbitan blog tempatan.
Lebih mengejutkan apabila Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan kemudian mengeluarkan satu kenyataan akhbar menyelar dakwaan itu dan menyatakan pengarang artikel tersebut telah mengganggu sistem keadilan dan institusi kehakiman di samping berniat jahat untuk menjatuhkan kredibiliti seorang hakim.
Jika diperhatikan, sesetengah segmen masyarakat telah mengguna pakai peruntukan dalam Perkara 125 Perlembagaan Persekutuan sebagai salah satu hujah asas bahawa tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan ke atas Mohd. Nazlan sebagai tidak berperlembagaan asbab peruntukan tersebut telah menetapkan suatu mekanisme khusus untuk menangani aduan atau laporan salah laku hakim.
Perkara 125 Fasal (3) secara terperinci menetapkan bahawa Yang di-Pertuan Agong perlu melantik suatu tribunal dan boleh atas cadangan tribunal itu memecat seseorang hakim daripada jawatan sekiranya hakim tersebut melakukan pelanggaran mana-mana peruntukan kod etika yang ditetapkan di bawah Fasal (3B) atau atas alasan tidak berdaya untuk menjalankan tugas, antara lain.
Bagaimanapun, keseluruhan 10 fasal dalam peruntukan perlembagaan itu tidak menyentuh apa-apa berkaitan kesalahan jenayah yang dilakukan oleh mana-mana hakim.
Oleh kerana perlembagaan tidak spesifikkan di mana, bagaimana dan apa kaedah sesuai sekiranya seorang hakim dilaporkan menerima dan memberi suapan atau didakwa atas jenayah kolar putih, logik akal saya beranggapan bahawa kita perlu merujuk pula kepada bidang kuasa badan berautoriti seperti Suruhanjaya Percegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan selanjutnya.
Bersesuaian dengan isu konflik kepentingan dan dakwaan mengambil wang haram, SPRM jelas mempunyai bidang kuasa perundangan yang sah untuk menyiasat kesalahan jenayah yang dilakukan oleh mana-mana pegawai badan awam di negara ini.
Seksyen 3 Akta SPRM 2009 mendefinisikan pegawai badan awam sebagai ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri termasuk Hakim Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan atau Mahkamah Persekutuan, antara lain.
BERAT SEBELAH
Justeru, tindakan agensi kerajaan ini membuka kertas siasatan setelah menerima aduan rasmi mengenai hakim yang didakwa terlibat dengan rasuah wajar dipertahankan.
Kenyataan berat sebelah beberapa pihak bahawa tindakan SPRM sebagai tidak berperlembagaan adalah suatu kenyataan yang malangnya boleh memakan diri dan organisasi dianggotai.
Saya pasti sekiranya terdapat dakwaan amalan rasuah dalam kalangan penjawat awam atau individu-individu berprofil tinggi yang tidak berpihak kepada mereka, kumpulan sama sudah tentu akan membiarkan agensi berwajib menjalankan kerja sehabis baik tanpa sebarang helah mahupun kata nista.
Selain itu, siasatan yang telus dan jujur terhadap hakim adalah bertepatan dengan fungsi doktrin pengasingan kuasa, di mana akan wujudnya suatu penyusunan kuasa melalui pentadbiran negara serta semak imbang antara cabang kerajaan seperti badan legislatif, badan eksekutif dan badan kehakiman.
Apabila seseorang bercakap mengenai prinsip pengasingan kuasa, mereka perlu peka bahawa para pesuruhjaya kehakiman hatta Hakim Mahkamah Persekutuan sendiri tidak boleh lari daripada aduan dan siasatan jenayah yang dilaksanakan oleh badan-badan berkuasa sepertimana termaktub di dalam undang-undang yang diluluskan oleh Parlimen, seiring lunas perlembagaan.
Selanjutnya, pihak pentadbiran kehakiman perlu mengambil kedudukan berkecuali dan tidak masuk campur dalam polemik yang digembar-gemburkan demi membangkitkan pertelingkahan tidak wajar antara kedua-dua badan kehakiman dan badan yang bebas pengaruh kuasa eksekutif.
Rakyat sepatutnya dihidangkan dengan kebenaran dan kebenaran yang tertulis sejak dahulu ialah tiada siapa boleh duduk lebih tinggi dan agung daripada undang-undang atau terlepas daripada implikasi perundangan sekiranya melakukan sebarang jenayah.
Bahkan insan terulung, Nabi Muhammad SAW lebih awal lagi telah berpegang dengan prinsip rule of law apabila baginda bersabda, “Demi Allah, seandainya Fatimah binti Muhammad (iaitu puteri baginda sendiri) mencuri, nescaya aku akan memotong tangannya.”
Maka, adalah lebih baik dan progresif sekiranya SPRM diberi peluang dan ruang untuk menyempurnakan dapatan siasatan mereka tanpa ada ugutan-ugutan liar yang boleh mengganggu-gugat peranan asal mereka untuk mencegah rasuah. – UTUSAN
PENULIS ialah pengamal undang-undang; Ketua Biro Belia & Media Pertubuhan Ikatan Wanita Antarabangsa bagi Institusi Keluarga dan Pendidikan Berkualiti (WAFIQ); Ahli Jawatankuasa Pusat Gabungan Pertubuhan Masyarakat Sivil Malaysia (MACSA).










