‘Terserah pada Bersatu, saya buat kerja saja’

‘Terserah pada Bersatu, saya buat kerja saja’

ZURAIDA KAMARUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH

SETELAH 11 pimpinan dipecat daripada PKR termasuk DATUK ZURAIDA KAMARUDDIN susulan ‘Langkah Sheraton’ sehingga menyebabkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) tumbang selepas 22 bulan memerintah, beliau lebih banyak berdiam diri daripada bercakap mengenai hal politik.

Pada masa sama, Zuraida meneruskan tugas sebagai seorang menteri dan kini bernaung di bawah Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Kedudukannya dalam Bersatu juga menjadi tanda tanya apabila desas-desus mengatakan beliau kini aktif dalam Parti Bangsa Malaysia (PBM).

Ikuti temu bual wartawan Utusan Malaysia, ASLINDA NASIR dan jurufoto, FAIZ ALIF AHMAD ZUBIR bersama Zuraida di pejabatnya di Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Putrajaya, baru-baru ini.

NEGARA PERLU PERUBAHAN

UTUSAN: Apa yang Datuk lihat dalam dunia politik hari ini?
ZURAIDA: Saya inginkan negara berada dalam keadaan yang selamat. Kalau kita tidak lakukan perubahan, negara ini 30 tahun lagi akan ke belakang. Kalau semua menteri buat kerja, cuba bayangkan keadaannya?

Cuma kita kena faham, kebanyakan ahli politik ada ‘orang’ di atas mereka. Dia ada political master yang terpaksa dia nak ikut. Jadi, yang tua-tua ni get out (lepaskan jawatan), bagi yang muda-muda. Itu yang perlu kita buat, barulah rakyat ada semangat nak keluar mengundi. Selagi yang tua-tua ini bergaduh nak jadi Perdana Menteri, selagi itulah negara ini takkan maju. Jadi, saya salah seorang yang nakkan perubahan.

PKR TAK BAGI SATU SEN

Sebelum ini Datuk adalah Ketua Wanita PKR dan kini berada dalam Bersatu. Bagaimana survival politik Datuk selepas ini?
Insya-Allah, saya boleh survive. 20 tahun saya dalam reformasi, survive from zero, tiada siapa beri saya duit. Parti Anwar (Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim) tak pernah bagi saya duit. Jadi Ketua Wanita pun saya jalan guna duit sendiri.

Macam mana kita bangunkan PKR? Wanita (PKR) begitu kuat sewaktu saya menjadi Ketua Wanita. Tapi sekarang kita tidak dengar tentang Wanita. Pemimpin Pakatan Harapan (PH) tiada wanita, pemimpin Perikatan Nasional (PN) punya wanita? Tak dengar bunyi. Barisan Nasional (BN)? Tak dengar bunyi juga. Kalau tidak ada duit pun boleh bergerak, tetapi tiada kepimpinan.

Jadi, saya tengok memang lumpuh kepimpinan Wanita dalam politik. BN pun tak nampak, PN pun tak nampak, PH pun tak nampak. Saya masih membawa agenda women empowerment dalam kementerian dengan 40 peratus dilantik di peringkat agensi, lembaga, pengerusi dan sebagainya.

Selain Bersatu menarik diri daripada kerajaan PH, Datuk juga antara 11 pimpinan PKR yang menyebabkan kerajaan PH tidak stabil. Boleh jelaskan?
Saya dipecat ketika ada krisis dalaman, iaitu krisis pemerintahan. Ketika itu, Tun Dr. Mahathir Mohamad nak letak jawatan dan sebagainya dan selepas itu Tan Sri Muhyiddin Yassin menawarkan diri sebagai Perdana Menteri. Jadi, saya dalam keadaan yang baru dipecat, jadi saya kena cari platform baharu. Oleh itu, saya berikan sokongan kepada Muhyiddin untuk menjadi Perdana Menteri, itu sahaja.

Dan saya keluar, bukan lompat parti, saya Bebas. Ini antara isu-isu Akta Anti Lompat Parti kena lihat perkara ini kerana bila kita dipecat untuk sebab-sebab tertentu dan siapa yang nak menghakimi sebab-sebab itu, sama ada boleh diterima sebagai lompat parti atau tidak.

Datuk setuju dengan Akta Anti Lompat Parti?
Saya okey. Definisi lompat parti itu saya rasa tidak mudah, ada yang dipecat, ada yang Bebas, ada yang mungkin tak setuju dengan kepimpinan itu kerana soal peribadi, polisi, cara dia, takkan orang itu nak duduk di situ sampai bila-bila? Jadi, anda akan mengekang kebebasan demokrasi, kebebasan untuk berpersatuan, kebebasan untuk kita nak bergabung dengan siapa.

Tapi kalau kira dari segi mandat rakyat, itu saya setuju. Kalau ada mereka yang keluar parti kerana bila dia bertanding, guna parti itu kerana saya pun bertanding bukan parti Bersatu. Jadi, kalau ada yang mengatakan akta ini adalah referendum pilihan raya, kalau kita keluar parti itu waktu kita bertanding, jadi dia kena kosongkan kerusi, kena buat pilihan raya. Jadi, kalau dia yakin, dia masuklah lagi sekali. Kalau menang, menang. Kalau tidak menang, tidak menanglah. Itu saya setuju.

HUBUNGAN DENGAN AZMIN

Bagaimana hubungan Datuk dengan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali? Dengarnya Datuk ‘dingin’ dengan Azmin?
Biasa sahaja sebab kita kawan. Saya dari dahulu memang menyokong beliau. Sekarang juga saya menyokong beliau kerana dalam Bersatu. Dan cuma sekarang, sibuk buat kerja kementerian. Dia pun sibuk buat kerja kementerian. Dah kenapa nak dingin-dingin pula?

Datuk dan Azmin adalah mastermind Penggerak Komuniti Negara?
Bila waktu kita tinggalkan PKR, ada hampir 400,00 ahli yang ikut. Jadi, saya nak fikir bagaimana ada platform untuk mereka berkhidmat kepada rakyat. Jadi, saya tubuhkan Penggerak Komuniti Negara yang mana ketika itu merupakan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di mana mereka memang sudah terlatih untuk kerja-kerja menyelesaikan masalah rakyat. Jadi, saya adakan platform ini untuk mereka terus buat kerja-kerja berkhidmat.

TIDAK BANTU BERSATU?

Ada yang mendakwa Datuk dapat kedudukan sekarang sebagai menteri atas tiket Bersatu tetapi Datuk tidak bantu parti. Komen?
Saya pun nak kata membantu, ia adalah perkara subjektif. Ada banyak lagi orang mungkin tidak membantu. Kenapa saya juga yang nak dipertikaikan?

Mengapa Datuk tidak turun bantu berkempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor lalu?
Saya ingat, ketika itu saya buat lawatan ke luar negara. Dalam dua setengah bulan, saya ke 10 negara berhubung isu kelapa sawit. Perancangan sudah dibuat lebih awal, tidak dapat dielakkan.

Tetapi kita sokong dengan cara lain. Tidak semestinya sokongan bukan secara fizikal bermaksud kita tidak menyokong, bukan? Contohnya, kita bantu dari segi idea dan lain-lain yang tidak perlu disebutkan di sini.

Komen tentang Bersatu?
Politik yang ada di negara ini semuanya harus memikirkan bagaimana untuk memulihkan ekonomi, harus memikirkan tentang bagaimana nak buat kebaikan untuk rakyat dan negara. Selagi dalam pemikiran kita untuk membantu rakyat, membantu negara nak memulihkan ekonomi agar Malaysia terus maju, tak jadi masalah parti apa pun.

Bersatukah, pembangkangkah dan sebagainya, semua harus ke arah hala yang sama. Jadi, tidak perlulah harus fokus pada isu-isu politik saja.

Bergaduh sana bergaduh sini tetapi akhirnya rakyat dan negara terjejas. Dalam keadaan pascapandemik, satu dunia sedang berusaha nak pulihkan ekonomi, itu isu dia.

Nasihat kepada semua parti politik?
Saya lebih menyentuh kepada semua parti. Kalau nak jadi kerajaan, kenalah tunjukkan yang anda berkhidmat untuk rakyat. Anda kena fikir tentang rakyat, bukan tentang jawatan, kedudukan, kekayaan dan sebagainya. Ini peringatan kepada semua ahli politik.

SURVIVAL PRU15

Datuk akan terus pertahankan (Parlimen) Ampang?
Sudah tentu sebab saya merupakan Ahli Parlimen Ampang dan saya akan teruskan berkhidmat di Parlimen ini. NGO yang saya buat itu masih diteruskan. Jadi, saya perlu bersedialah.

Adakah Datuk akan bertanding atas kapasiti Bersatu?
Jiwa saya ini, jenis orang yang suka buat kerja. Yang saya tahu, saya buat kerja saya sahaja. Tentang nak bertanding ini, semua ini belum dibincang, dan perbincangan mengenai perkara ini pun belum sampai ke tahap itu. Jadi, mudah pada saya, terpulang kepada partilah. Kalau nak letak, letaklah. Untuk ketika ini, ya, dengan parti Bersatu.

SAINGAN SAWIT DUNIA

Memandangkan Indonesia menyekat minyak sawit mereka, adakah Malaysia dapat menampung pasaran global?
Kita memang pengeksport kedua terbesar dalam industri sawit, tetapi dari segi nisbah eksport itu, kita lebih tinggi berbanding keperluan lokal. Jadi, peratusan kita lebih tinggi untuk eksport berbanding kegunaan dalam negara. Berbanding 300 juta rakyat di Indonesia, sudah tentu penggunaan tempatan adalah lebih kepada Indonesia berbanding kita.

Memandangkan peperangan Ukraine dan Russia sedang berlaku, mereka adalah pengeluar terbesar untuk minyak masak yang lain. Jadi, di situ ada kekurangan permintaan minyak kelapa sawit.

Faktor kedua adalah Indonesia. Mereka sudah sekat minyak sawit kerana nak fokus kepada penggunaan tempatan dan projek biodiesel mereka. Di Malaysia, kita tiada masalah dari segi bekalanj, kita ada akses yang mana kita boleh eksport. Dari segi keperluan untuk kita bergerak aktif atau memberi keutamaan kepada biodiesel pun tiada keperluan. Jadi, kita boleh slow down dengan keadaan negara dunia sekarang di mana keperluan minyak masak sebagai sumber keperluan makanan.

Dan kenapa kita kata Malaysia mesti manfaatkan dalam hal ini, Malaysia kena ambil kesempatan dan berkemampuan untuk menambah lagi pengeluaran kita bagi menampung keperluan antarabangsa berikutan kekurangan yang diakibatkan Indonesia.

Apa langkah yang diambil?
Kita sudah buka sempadan dan ia akan meninggkatkan produktiviti. Selain itu, pekebun sawit juga sudah mula bekerja kuat bagi memenuhi pasaran sawit dengan harga tinggi. Dan juga banyak ladang yang tidak diurus dengan cekap kerana pekebun kecil adalah orang kampung, tiada pekerja, nak tuai pun ikut masa. Sekarang, mereka mulai serius. Ini juga akan meningkatkan produktiviti.

Melihat kepada pasaran dunia, walaupun dari segi perkiraan, Indonesia eksport 40 juta (tan), Malaysia nak tambah lagi 40 peratus menjadikan lima ke enam juta (tan) penambahan, Ada faktor lain yang menyukarkan keadaan. Ini kerana terdapat keperluan beberapa negara yang akan melepaskan minyak soya pada waktu ini. China akan mengeluarkan stok minyak soya mereka, ada juga negara yang mengeluarkan simpanan minyak sawit untuk menampung keperluan buat masa kini.

Sasaran pengeluaran kita adalah sebanyak 17 juta (tan) pada 2021, tetapi kita dapat hasilkan 15 juta, kurang lima peratus sebab Covid-19. Kalau dalam keadaan Covid-19 pun mereka boleh bekerja untuk dapatkan hasil, jadi apa sahaja datang pada waktu sekarang, mereka boleh mengatasinya.

Dalam keadaan sekarang, pekerja sudah masuk ke negara kita, mereka mampu jalankan tugas dengan lebih baik dan kita boleh tingkatkan pengeluaran 20 ke 30 peratus.

Apa usaha kerajaan untuk ‘mengikat’ negara luar supaya terus bergantung dengan minyak sawit Malaysia berbanding Indonesia setelah sekatan dibuka semula kelak?
Kita ada melakukan misi lawatan teknikal dan promosi sawit dalam masa dua bulan setengah. Kita sudah kenal pasti negara yang kita sasar untuk mereka import sawit memandangkan negara-negara itu mempunyai populasi tinggi. Jadi, oleh kerana negara-negara seperti Pakistan, Iran, Bangladesh, rakyatnya mempunyai cara makan yang sama dengan memerlukan minyak sawit, jadi kita boleh minta mereka meningkatkan import ini untuk menyesuaikan dengan populasi mereka.

Ketika ini, kegunaan sawit kita adalah tinggi di beberapa sektor seperti restoran, pembuatan kek dan sekarang kita berkempen untuk meningkatkan lagi pasaran dalam penggunaan kosmetik dan sebagainya. Kita galakkan membina kilang-kilang hiliran untuk menghasilkan produk bukan makanan yang berasaskan minyak sawit seperti kosmetik dan pasaran sebegini adalah sangat berpotensi.

Jadi, dengan cara ini, ia bukan sahaja akan memberikan satu kesan kepada negara-negara Eropah yang kononnya menyekat minyak sawit kita. Negara-negara seperti Qatar, Mesir Iran dan Arab Saudi adalah negara yang menyokong kegunaan sawit dan bila mereka tingkatkan import, jadi kita boleh tunjukkan kepada pasaran Amerika Syarikat yang minyak sawit ini mendapat permintaan tinggi daripada negara luar.

Adakah industri sawit Malaysia akan terkesan sekiranya Indonesia kembali membuka kembali sekatan?
Waktu Indonesia belum sekat, harga industri sawit Malaysia mencecah 8700, ini bermakna sudah pasti ia tidak akan memberi kesan. Tetapi dengan pengeluaran kita yang tinggi nanti, ketika Covid-19 itu memandangkan bekalan sikit, permintaan besar, harga naik. Bila sudah dapat bekalan tinggi, logiknya harga turun. Jadi, saya tidak khuatir sangat kerana ia akan berlaku nanti pada hujung tahun. Kalau turun pun ia tidak sehingga 2500, masih berada tahap yang tinggi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×