Hutan Pembelajaran Universiti Teknologi Mara ( UiTM) Cawangan Pahang Kampus Khazanah Alam Jengka menerajui dan pendokong usaha pemeliharaan dan pemuliharaan kelestarian hutan di negara ini.
Kawasan hutan pembelajaran turut menempatkan Bengkel Industri Perkayuan Pusat Pengajian Industri Perkayuan (Fakulti Sains Gunaan) UiTM Cawangan Pahang.
Rektor Kampus UiTM Cawangan Pahang, Prof. Ts. Dr. Mohd. Ilham Adenan berkata, kelestarian hutan ini perlu dikekalkan dengan tanaman pelbagai spesies kayu bermutu tinggi.
Kawasan hutan katanya, menjadi lokasi wajib Program Sambutan Hari Kayu Sedunia (WWD) bersempena Hari Hutan Antarabangsa yang disambut pada setiap tahun.
“Penganjuran program ini antara lain untuk meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan kelestarian peranan kayu serta kegunaan kayu dalam masyarakat,” katanya.
Bertemakan ‘Pokok Untuk Kebaikan: Cabaran, Peluang dan Kelestarian’, Dr. Mohd. Ilham ketika gimik perasmian meletakkan simbol ‘hati’ di tengah logo World Wood Day yang diperbuat daripada spesies kayu kebangsaan iaitu Merbau (Intsia palembanica).
Pelbagai program memeriahkan lagi program sambutan WWD 2022. Antaranya penanaman anak pokok spesies komersil oleh tetamu kehormat, tetamu jemputan, alumni dan peserta yang terdiri daripada pengusaha-pengusaha kraf.
Aktiviti demonstrasi ukiran arca pula ditunjukkan Adiguru Kraf Muhaimin Hasbollah yang juga merupakan Felo Bersekutu Pusat Pengajian Industri Perkayuan (PPIP) bersama pasukan Inakraf Wood Carving menggunakan kayu Chengal (Neobalanocarpus heimii).
Program Sambutan WWD 2022 ini turut dimeriahkan dengan kehadiran syarikat, organisasi dan institusi pengajian tinggi terdiri daripada Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB), Sarawak Timber Industry Development Corporation (STIDC), Kraftangan Malaysia, CHEP (M) Sdn. Bhd.
Turut memeriahkan program kali ini adalah kehadiran dan penyertaan dari alumni WOODTECH dan FURTECS.
“Penganjuran Program Sambutan Hari Kayu Sedunia 2022 juga merupakan usaha PPIP UiTM Cawangan Pahang untuk mencapai beberapa agenda dalam Matlamat Pembangunan Kelestarian (SDG),” katanya.










