Suri rumah pun perlu berpersatuan - Utusan Malaysia

Suri rumah pun perlu berpersatuan

Misi persatuan ialah menerajui pemberdayaan suri rumah muda yang berkemahiran dan berketerampilan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Pandemik Covid-19 menukar landskap tugas wanita terutama suri rumah. Sebagai pengurus rumah tangga, mereka bertanggungjawab memastikan rantaian jangkitan itu tidak merebak seterusnya boleh mengawal keadaan negara.

Pengerusi Persatuan Suri Rumah Rahmah Malaysia (SRR), Rose Jazimah Abdul Jalil, 39 berkata, situasi itu mencetuskan idea kepada dirinya untuk mewujudkan platform badan bukan kerajaan (NGO) sebagai kumpulan sokongan kepada golongan ini mendepani cabaran pandemik.

“Antara cabaran kami ialah menangani aspek sokongan emosi, sokongan pembangunan diri dan juga aspek penglibatan atau khidmat suri rumah bersama masyarakat.

“Semua ini dirasakan penting untuk martabatkan peranan suri rumah sebagai satu kerjaya yang ada nilai tambah dan memberi impak kepada pembangunan keluarga, komuniti dan negara,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Tambah Rose Jazimah, sepanjang pandemik Covid-19 suri rumah terus-menerus bertanggungjawab memastikan setiap inci kehidupan lebih baik daripada segi penyediaan makanan dan pakaian, membantu anak-anak dalam pembelajaran secara dalam talian sehinggalah menguruskan emosi setiap ahli keluarga di kala pandemik melanda.

“Wanita khususnya suri rumah haruslah berganding bahu dan saling menyokong antara satu sama lain. Sebagai sebuah platform sistem sokongan, SRR akan terus berusaha menjadi medium memperkasa suri rumah melalui pelbagai program dan aktiviti yang dirangka khas.

“Kami menyeru pelbagai pihak untuk bersama-sama kami dalam usaha melatih dan memimpin suri rumah untuk bangkit berperanan bagi mendepani cabaran,” tegasnya.
SRR ditubuhkan untuk memberi sokongan kepada suri rumah dalam bentuk keperluan sosial dan emosi.

“Memandangkan ahli SRR ramai berpendidikan tinggi, maka stigma masyarakat yang kadang-kala memandang serong atas pilihan wanita ini untuk mengutamakan keluarga dari berkerja.

“Di sini lah SRR akan menjadi suara bagi surirumah, menyatakan bahawa pemikiran yang berpendidikan tinggi mesti bekerjaya itu salah. Wanita tetap penting dan mulia walaupun apa pun keputusan yang dibuat,” katanya.

Malah SRR yang ditubuhkan ketika pandemik Covid-19 iaitu pada Oktober 2019 menjadi ruang kepada golongan wanita yang ketika itu menjadi tunggak utama dalam keluarga melawan Covid-19.

Salurkan maklumat
Perkara paling utama dalam mendidik ahli keluarga, ialah suri rumah perlu memahami dan mempunyai maklumat yang secukupnya mengenai pandemik Covid-19 dan perkara berkaitan jangkitan itu.

“Maklumat banyak disediakan dalam televisyen mahupun media sosial, namun suri rumah perlu tapis sebarang maklumat diterima, akhir-akhir ini banyak informasi yang boleh menakutkan orang ramai, meningkatkan keresahan orang ramai, jadi seseorang ibu memainkan peranan penting, kena selidik mana yang betul.

“Ini penting kerana maklumat diterima itu akan disalurkan kepada anak-anak dan keluarga untuk mempengaruh minda keluarga. Sebab itu kena ada maklumat tepat,” katanya.

Bukan itu sahaja, SRR turut berkongsi pelbagai aktiviti bermaklumat seperti cara bercucuk tanam, aktiviti yang boleh dilakukan dengan anak-anak, senaman, maklumat ahli yang berniaga sambilan dan sebagainya.

Tambah Rose Jazimah, SRR turut menjadi ruang untuk suri rumah berusia 25 hingga 45 tahun bersosial dan menggunakan potensi dan kemahiran terutamanya suri rumah yang pernah bekerja sebelum ini.

“SRR menyediakan sokongan asas seperti penjagaan anak-anak untuk setiap program, yuran yang dikenakan juga sangat murah, malah ada yang percuma,” katanya.

Ujarnya persatuan bukan syok sendiri sebaliknya mereka memiliki visi untuk menjadi platform pemberdayaan suri rumah muda di Malaysia.

“Bagi mencapai visi ini, misi yang kami bawa ialah menerajui pemberdayaan suri rumah muda yang berkemahiran dan berketerampilan.

“Kami turut ingin mengajak dan membimbing suri rumah muda untuk berperanan dalam masyarakat,” ujarnya.

Dana terhad jadi cabaran
Sebagai NGO baharu, dana terhad boleh menjejaskan aktiviti persatuan.

Dalam usaha mendapatkan dana, pelbagai kerjasama SRR anjurkan dengan pihak ketiga.

Kata Rose Jazimah sebagai contoh Konvensyen Suri 2020 yang mana SRR mendapat tajaan penuh dari Lembaga Penduduk dan Pembangunan Negara (LPPKN).

“Dana turut diperolehi melalui kerjasama melalui program bersama dengan Adun dan Ahli Parlimen mengikut kawasan masing-masing.

“Kami juga dalam usaha untuk mendapatkan tajaan dalam bentuk geran-geran yang ditawarkan oleh pelbagai badan kewangan dan yayasan,” ujarnya.

Melalui pelbagai aktiviti yang dijalankan, SRR berbangga kerana berjaya mewujudkan modul khas – Model Pembangunan Suri (MPS) yang bertujuan memperkasa suri rumah muda secara menyeluruh.

Modul berkenaan memberi pengisian kepada suri supaya mereka boleh mengenali diri dan akhirnya suri mempunyai keyakinan untuk menggunakan potensi dan kelebihan masing-masing untuk kesejahteraan diri, keluarga dan masyarakat.

Sementara itu, Rose Jazimah terbabit dengan kerja kemasyarakatan sejak dari zaman universiti lagi.

“Sudah biasa dengan kerja NGO dan ia terbawa-bawa sehingga alam pekerjaan dan selepas menjadi suri rumah,” katanya.

Dapat membantu seseorang menjadi lebih baik dan bahagia memberi satu kepuasan dalam dirinya.

Menjadi suri rumah mempunyai masa yang fleksibel tetapi masih terikat dengan tugasan di rumah dan penjagaan anak-anak yang tidak menentu dan hampir setiap masa.

“Namun begitu perasaan ingin menyumbang kepada masyarakat sentiasa ada. Alhamdulillah dijumpakan dengan sebuah NGO yang memang bersesuaian dengan pekerjaan suri rumah yang faham akan kelebihan, kekangan dan keperluan menjadi seorang pengurus rumahtangga,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×