Hiasan pokok tidak lengkap tanpa pasu. Namun pasu sahaja boleh menjadi hiasan walaupun tanpa kehadiran pokok sebagai penyeri.
Misalnya, pasu daripada Pot Lux yang mempunyai nilai seni pada setiap permukaan badan pasu yang membolehkan ia menjadi salah satu elemen dekorasi dalam kediaman.
Pasu seni lukis yang dihasilkan oleh Noor Aishah Abdul Rahman itu mempunyai nilai estetik yang tersendiri kerana dihasilkan secara eksklusif menggunakan lukisan tangan dan bukan dicetak.
Paling menarik, setiap rekaan pasu hanya dihasilkan sekali sahaja untuk mengekalkan konsep eksklusif dalam setiap rekaan pasu yang dihasilkan.
“Pot Lux itu sendiri membawa maksud gaya mewah dan itu yang saya ingin tonjolkan dalam setiap pasu yang dihasilkan.
“Sebab itu setiap lukisan hanya untuk satu pasu, biarpun ada pelanggan yang minta macam rekaan yang sebelumnya saya tetap akan hasilkan sedikit berbeza supaya ada perbezaan, “ katanya kepada Seri.
Penggunaan pasu Terracota menonjolkan lagi nilai tambah dalam pasu hiasan berkenaan yang digabungkan pula dengan lukisan bermotifkan abstrak, alam semula jadi atau haiwan.
Malah, rekaan pasu bermotifkan Maghribi, batik dan songket antara yang mendapat permintaan ramai.
Tambah Noor Aishah, dia mengambil masa sekitar dua hari hingga seminggu untuk menyiapkan satu-satu lukisan pada pasu mengikut kreativitinya sendiri.
Permainan warna gelap, terang dan metalik juga dititikberatkan dalam setiap rekaan untuk menonjolkan gaya mewah pada pasu.
Hasilnya, pasu berkenaan boleh dijadikan elemen hiasan walaupun tanpa kehadiran pokok selain boleh dijadikan bekas pewangi atau lilin pewangi di dalam rumah.
Bagaimana pun, bagi pelanggan yang mahu meletakkan pokok pada pasu disarankan untuk meletakkan pokok yang boleh hidup di bawah bumbung atau rumah kerana pasu hiasan agak tidak sesuai diletakkan di luar rumah.
“Kerana pasu ini ada seni halus padanya. Saya melukis pada pasu sama sahaja macam melukis pada kanvas jadi agak tidak sesuai kalau kita letak lukisan di luar rumah, bukan?
“Disarankan pasu ini dijadikan hiasan hanya di dalam rumah untuk memelihara lukisan agar tahan lama dan kekal cantik,” katanya.
Pasu berkenaan ada pelbagai saiz bermula daripada tiga inci sehingga 10 inci dengan harga ditawarkan bermula RM50 hingga RM400 mengikut saiz.










