‘Pada asalnya hanya mahu bantu suami’ - Utusan Malaysia

‘Pada asalnya hanya mahu bantu suami’

Nor Nabiha sering membayangkan hidupnya mempunyai empayar perniagaan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Jika tidak berani mengambil risiko, hasilnya tidak akan terlihat. Keberanian peguam jenayah Nor Nabiha Nadia Ismail, 33 melangkah ke dunia perniagaan dengan membangunkan produk sendiri memang sesuatu yang luar biasa. Lebih membahagiakan, produk berasaskan susu kambing diusahakan yang bertujuan membantu pengguna mengalami sakit sendi dan lutut, berjaya merangkul anugerah The BrandLaureate World Halal Bestbrands Awards 2022.

“Pembabitan dalam dunia perniagaan mendapat sokongan padu keluarga terutama suami, Mohd. Azizul Mohd. Esa yang sememangnya suka berniaga. Pada 2016, suaminya tampil dengan produk kesihatan am berasaskan susu kambing.

“Pada waktu ini saya sudahpun mempunyai firma guaman sendiri dan menjalankan praktis guaman jenayah. Namun pada 2019, suami meminta saya mengambil tanggungjawab menerajui perniagaan susu ini kerana percaya saya mampu untuk membawa perniagaan ini pada tahap yang berbeza,” katanya.

Bertitik tolak daripada itulah Pengasas Calift Group Sdn. Bhd ini mengambil alih perniagaan itu. Berbekalkan ilmu perniagaan daripada mentor, Datuk Dr. Azizan Osman beliau menjenama semula produk sedia ada sebagai susu Calift Gold untuk sendi dan lutut.

KENAPA TIDAK PEGUAM?
Sejak kecil saya merupakan seorang yang bercita-cita tinggi dan ingin mempunyai empayar perniagaan sendiri. Saya juga meminati kerjaya peguam sejak dibangku sekolah lagi. Namun, saya merasakan mampu capai kejayaan dan kemewahan untuk diri sendiri tetapi tidak dapat memberi manfaat kepada ramai orang sekiranya terus menjadi peguam.
Sewaktu menjadi peguam juga saya berdoa untuk dikurniakan empayar perniagaan agar dapat memberi manfaat kepada ramai orang dengan produk yang bagus, peluang berkongsi rezeki dan pekerjaan. Akhirnya Allah SWT memberi jawapan kepada doa saya apabila suami meminta untuk mengambil alih perniagaan.

Kenapa makanan tambahan?
Suami mempunyai latar belakang dalam bidang teknologi pemakanan, bahagian pembangunan dan penyelidikan makanan dan minuman selain berpengalaman dalam bidang pengeluaran makanan dan minuman tambahan. Idea ini sebenarnya dicetuskan oleh suami dengan penyelidikan dan pembangunan yang dijalankan bersama kilang pengeluar. Mengenai persaingan, sejak awal melibatkan diri dalam dunia perniagaan secara sepenuh masa, saya sudah tetapkan pemikiran untuk sentiasa bersedia menghadapi semua risiko kerana percaya dunia perniagaan sangat mencabar. Saya melihat saingan sebagai sebagai garis panduan untuk memastikan syarikat dan produk sentiasa memberikan yang terbaik kepada pengguna.

Cabaran berniaga?
Ilmu berniaga. Sejak melibatkan diri dalam dunia perniagaan, kami tidak mempunyai ilmu. Sebab itulah sekitar 2016 ia tidak mempunyai banyak pencapaian dan pasaran. Asbab bermentor pada awal 2019 berjaya memacu perniagaan ini ke tahap yang berbeza dan berkembang dengan cepat serta mencecah nilai jutaan ringgit. Tanpa ilmu perniagaan yang betul, mungkin saya masih di takuk lama.
Pada awal menjalankan perniagaan, kami tiada pekerja dan hanya menjalankan perniagaan ini di rumah. Suami melakukan pemasaran atas talian dan saya mula belajar membuat sale closing, pembungkusan serta penghantaran. Keadaan paling sukar adalah bila jenama ini masih belum dikenali ramai, masih belum wujud kepercayaan yang kuat terhadap produk. Namun saya percaya, sebuah kejayaan hanya akan tercipta dengan ketekunan dan keazaman yang tinggi. Jadi saya ambil cabaran untuk menaikkan jenama dan tingkatkan kepercayaan prospek kepada produk.

Bagaimana sokongan ahli keluarga?
Sebelum ada pekerja, ahli keluargalah yang turut membantu dalam proses pembungkusan serta menyumbang idea dan cadangan kepada proses pembangunan produk. Saya percaya doa ibu bapa serta ahli keluarga yang membawa kami ke tahap ini. Arwah ayah pernah berkata, “Kita berjaya bukan kerana usaha kita sahaja, kita berjaya kerana ada yang mendoakan kita”. Saya pegang kata-kata arwah ayah.

Bagaimana membahagikan masa?
Saya berpegang kepada prinsip work and life blending. Kalau mahu berjaya saya perlu berkorban masa. Sewaktu masih berpraktis guaman dahulu, saya mempunyai lebih banyak masa dengan anak-anak dan keluarga. Namun, saya rasakan jika saya hanya ada masa tetapi tidak mempunyai banyak sumbangan dalam memberi manfaat kepada orang lain pun tiada gunanya. Jadi saya mengorbankan sebahagian masa bersama keluarga untuk memastikan perniagaan terus meningkat dan mampu memberikan manfaat kepada lebih ramai orang.

Idola & mentor?
Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary. Pencapaian beliau sebagai seorang individu muslim yang berjaya sangat memberikan inspirasi. Saya juga sangat terinspirasi dengan sumbangan beliau kepada agama, bangsa dan negara. Saya juga banyak mempelajari teknik perniagaan melalui Datuk Dr. Azizan Osman. Saya akan terus menimba ilmu untuk memastikan perniagaan saya terus relevan dan berkembang maju dan memberikan manfaat kepada lebih ramai orang bukan sahaja di dalam negara tetapi juga di luar negara.

Pasaran luar negara?
Fokus kami adalah untuk terus menakluki pasaran Malaysia dan Singapura, Brunei dan Indonesia.
Tahun ini kami menyasarkan mencapai jualan sebanyak RM15 juta dan membantu sekurang-kurangnya 30,000 orang untuk menjadi usahawan bersama Calift Gold. Kami akan ajarkan teknik pemasaran dan perniagaan secara percuma secara atas talian.
Dengan cara ini kami dapat bersama-sama berkongsi rezeki dengan mereka yang memerlukan perubahan dalam tahap kewangan mereka. Kami turut menyasarkan memberikan peluang pekerjaan kepada mereka yang memerlukan.

Tak sesal tapi rindu
Rindu untuk kembali menyarung jubah dan menjalankan tugas sebagai peguam namun Nor Nabiha membulatkan hati untuk terus membina empayar dalam perniagaan. Itulah juga yang menjadi keutamaan buat masa ini.

Melupakan sekelip mata kenangan semasa bergelar peguam adalah mustahil.

“Sebelum ini ramai yang berfikrian skeptikal ketika saya menyuarakan hasrat beralih angin dengan menceburi bidang perniagaan kerana ketika itu sudah memiliki kerjaya yang stabil sebagai seorang peguam jenayah serta mempunyai firma guaman sendiri,” katanya.

Bagaimanapun Nor Nabiha tidak pernah mengambil pusing pandangan tersebut kerana percaya kepada kemampuan sendiri.

Malah beliau turut perlu berusaha keras untuk mengubah persepsi tersebut.

“Saya tidak menyesal meninggalkan kerjaya peguam kerana saya sentiasa melihat kepada manfaat yang dapat diberikan kepada lebih ramai orang dengan perniagaan ini.

“Sungguhpun begitu, saya percaya kerjaya sebagai seorang peguam telah banyak membentuk menjadi diri saya yang sekarang,” jelasnya.

Beliau menfailkan notis pemberhentian kepada pihak Majlis Peguam Malaysia pada 2021. Walaupun sedar risiko besar untuk terlibat secara penuh dalam bidang perniagaan namun ibu muda ini sentiasa memikirkan manfaat dan sumbangan yang bakal diberikan kepada keluarga, agama, bangsa dan negara.

“Saya beruntung kerana mendapat sokongan keluarga. Saya berharap untuk dapat memberi manfaat kepada ramai orang,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×