KUALA LUMPUR: Tiupan angin tidak menentu dipercayai antara punca dua helikopter dinaiki empat individu bertembung di udara sebelum sebuah daripadanya terhempas berhampiran Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Taman Melawati di sini semalam.
Dalam kejadian pukul 11.30 pagi itu, dua helikopter jenis G2CA (9M-HCA & 9M- HCB) milik My Heli Club sedang menjalani latihan penerbangan dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS), Subang menuju ke Genting Sempah di Karak, Pahang.
Salah sebuah helikopter tersebut diterbangkan oleh bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sistem Penerbangan Malaysia (MAS), Datuk Ahmad Jauhari Yahya dan penumpangnya seorang wanita, Tan Chai Elan, 51.
Ahmad Jauhari adalah Presiden My Heli Club.
Mendedahkan kepada Utusan Malaysia, sumber berkata, siasatan awal mendapati, helikopter pertama berwarna merah diterbangkan Ahmad Jauhari dikatakan terbang lebih tinggi di atas sebuah lagi helikopter yang juga dinaiki dua penumpang.
Namun skid pendaratan helikopter yang diterbangkan Ahmad Jauhari didakwa terlanggar kipas helikopter kedua yang berwarna biru.
Helikopter biru tersebut diterbangkan bekas pegawai Tentera Laut Diraja Malaysia (TUDM), Komander (B) Mohd Sabri Baharon,56, manakala penumpangnya, Mohd Irfan Mohamed Rawi.
Kata sumber itu, kejadian tersebut menyebabkan kipas helikopter berwarna biru tersebut gagal berfungsi seterusnya terhempas.
Sumber itu memberitahu, pemeriksaan mendapati skid pendaratan pesawat dinaiki Ahmad Juhari patah tetapi bekas CEO MAS dan penumpangnya selamat selepas melakukan pendaratan cemas di padang sebuah sekolah.
“Mohd. Sabri dan Mohd. Irfan ditemui maut di lokasi kejadian manakala Ahmad Jauhari dan seorang wanita tidak cedera,” katanya di sini semalam.
Sementara itu, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) akan melakukan siasatan berkaitan masalah teknikal dihadapi kedua-dua pesawat berkenaan.
“Berdasarkan Annex 13 Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO Annex 13), laporan awal siasatan nahas itu perlu disediakan dalam tempoh 30 hari dari tarikh kejadian berkenaan.
“Tujuan utama p untuk menentukan hal keadaan dan punca kemalangan bagi menyelamatkan nyawa dan mengelakkan berlaku insiden serupa pada masa depan.
“Malah, penyiasatan yang dilaksanakan tidak bertujuan untuk membuktikan kesalahan atau liabiliti,” kata menteri itu dalam satu kenyataan semalam.
Menurut Ka Siong, pasukan penyiasat akan mengeluarkan laporan penuh hasil siasatan termasuk syor penambahbaikan bagi keselamatan penerbangan awam sebaik selesai.
Jelasnya, dapatan daripada laporan itu juga akan digunakan oleh kerajaan sebagai asas untuk mengemukakan syor penambahbaikan secara holistik terhadap industri penerbangan awam negara.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Esha berkata, pihaknya dimaklumkam mengenai kejadian kira-kira pukul 12 tengah hari oleh orang awam yang melihat kejadian tersebut.
Kata beliau, mayat kedua-dua mangsa di hantar ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.- UTUSAN










