Menulis, berceramah hingga akhir hayat

Salleh Buang menulis, berceramah hingga akhir hayat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALLAHYARHAM DATUK Salleh Buang, 81, yang meninggal dunia semalam pernah bertugas sebagai Peguam Persekutuan di Jabatan Peguam Negara di Kuala Lumpur serta Profesor Tamu di Fakulti Geoinformasi dan Hartanah, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai, Johor sehingga 2013.

Beliau berkelulusan ijazah Barrister-at-Law dari Lincoln’s Inn, United Kingdom pada 1970. Pada 1972, beliau dilatih di bawah program pascasiswazah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Mahkamah Keadilan Antarabangsa di Hague, Belanda.

Allahyarham yang dilahirkan di Muar, Johor dan kini menetap di Alor Setar, Kedah turut menyertai sektor korporat sebagai Ahli Lembaga Penasihat Syariah di as-Salihin Trustee Berhad. Beliau juga ialah Ahli Pemegang Amanah Kuala Lumpur Foundation to Criminalise War (KLFCW).

Beliau yang merupakan konsultan bebas sepenuh masa, pengarang dan kolumnis beberapa akhbar termasuk kolum Minda Peguam setiap Selasa di Utusan Malaysia yang menyentuh isu-isu semasa berhubung kait undang-undang dengan tulisan terakhir bertajuk Hari Kebebasan Akhbar Sedunia, pentingkah?

Pada 2016, beliau dianugerahi Darjah Dato’ Paduka Mahkota Kedah (DPMK) yang membawa gelaran Datuk.

Beliau pernah menjadi pensyarah sambilan di Fakulti Undang-Undang, Universiti Malaya (UM) dan kemudian dipinjamkan ke Jabatan Peguam Negara (1970-1975).

Pada 1980-an, Salleh bertugas di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) sebagai pensyarah undang-undang selama lima tahun. Pada 1986, Allahyarham berkhidmat sebagai Timbalan Dekan di Kulliyyah Undang-Undang di kampus universiti itu di Petaling Jaya, Selangor.

Ketika di UIAM, Salleh dalam salah satu tulisannya menceritakan telah bersahabat dengan bekas Menteri Besar Kedah, Allahyarham Tan Sri Azizan Abdul Razak yang bertugas di Jabatan Syariah, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi yang disifatkan selama-lamanya sahabat sejati. Salleh juga ialah pensyarah sambilan di Jabatan Syariah UKM.

Mereka sama-sama membuat perancangan untuk melawat Universiti Mindanao di selatan Filipina dan beberapa daerah berdekatan yang dihuni oleh penganut Islam di negara itu termasuklah Marawi City.

SETINGGAN

Pengalaman Azizan yang pernah mengajar di Filipina membolehkan Salleh dan beberapa ahli akademik lain menjejakkan kaki ke selatan Filipina dan melihat dari dekat cara hidup orang Islam bangsa Moro di negara itu.

Bagaimanapun, persahabatan itu terputus selepas Azizan meninggalkan menara gading untuk berkecimpung dalam arena politik bersama Pas dan Salleh pada 1990 juga meninggalkan UIAM dan kembali ke bidang guaman.

Pada akhir 1996, apabila Salleh sekeluarga berhijrah ke Kedah dan disebabkan terpaksa sering berulang-alik dengan pesawat udara dari lapangan terbang di Kepala Batas, Kedah ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang, Selangor untuk urusan kerja, mereka terserempak semula dan kembali bersahabat.

Allahyarham telah menghasilkan lebih 30 buku undang-undang termasuk Malaysian Torrens System, Land Tenure in Peninsular Malaysia, Smart Growth dan Landlord & Tenant in Peninsular Malaysia.

Beliau turut aktif mengendalikan kursus dan seminar dalam pelbagai subjek undang-undang kepada pegawai agensi awam dan sektor swasta di Malaysia dan Brunei.

Antara isu yang sering dibangkitan beliau adalah persoalan, apakah sistem Torrens yang mula dilaksanakan pada kurun ke-19 di Australia dan kini menjadi prinsip asas Kanun Tanah Negara (KTN) 1965 masih relevan dan mampu memenuhi aspirasi dan harapan rakyat pada masa depan?

Mengikut prinsip utama sistem Torrens, ‘daftar adalah segala-galanya.’ Dalam bahasa mudah, seseorang itu dikatakan pemilik tanah apabila namanya dicatat atau disebutkan sebagai pemilik dalam daftar (suratan hak milik tanah) yang disimpan di pejabat tanah berkaitan.

Andainya hak milik tanah orang itu jenis kekal, maka dia menjadi pemiliknya sampai bila-bila, tanpa penghujung. Sebaliknya hak milik tanah itu jenis bertempoh misalnya 30, 60 atau 99 tahun, haknya berakhir apabila tempoh itu tamat yang mana selepas itu tanah didudukinya selama ini kembali kepada pihak berkuasa negeri (PBN).

Salleh berpandangan perlu diwujudkan Dasar Tanah Negara yang jelas bagi menyelesaikan isu rakyat yang mengusahakan tanah sejak sekian lama tetapi telah dihalau keluar dan dianggap sebagai setinggan atau penceroboh semata-mata kerana tidak dianggap sah di sisi undang-undang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×