Patriotisme nadi Keluarga Malaysia

Patriotisme nadi Keluarga Malaysia

AKTIVITI percutian seperti melawat tempat-tempat yang mempunyai sejarah dan cerita mengenai tokoh-tokoh berjasa bersama ahli keluarga dapat menyuntik semangat patriotik dalam kalangan masyarakat. – UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MASIH segar-bugar dalam ingatan kita perihal peristiwa Kampung Tanduo di Lahad Datu, Sabah pada 11 Februari 2013. Tragedi tersebut menyaksikan pencerobohan pengganas bersenjata dari Selatan Filipina di mana beberapa perwira negara kita terkorban dalam Operasi Daulat ketika itu..

Sesungguhnya episod ngeri ini tidak dapat dijarak-pisahkan dalam kehidupan seharian kita lantas merupakan pembuka mata mengenai betapa pentingnya kita sama-sama mempertahankan kedaulatan dan kemerdekaan negara.

Apakah sebenarnya patriotisme? Patriotisme bukan semata-mata simbolik. Patriotisme bukan semata-mata luahan perasaan. Patriotisme bukan semata-mata berdiri tegak.

Patriotisme bukan sekadar ungkapan di bibir sahaja. Sebaliknya, patriotisme merangkumi keberanian, keyakinan serta jati diri yang utuh lagi kukuh terhadap bangsa dan negara.

Patriotisme merangkumi usaha menghayati nilai-nilai murni demi kemakmuran negara. Individu yang patriotik ialah individu yang sedia berkorban untuk bangsa dan negara, lantas sanggup mempertahankan kedaulatan tanah air. Justeru, tidak dapat disangkal bahawa semangat patriotisme memainkan peranan sangat penting dalam diri rakyat agar negara tercinta ini sentiasa aman damai, harmoni dan sejahtera.

Generasi muda

Dewasa ini timbul kebimbangan bahawa semangat partiotisme nampak kurang penghayatan khususnya dalam kalangan generasi muda. Mereka nampaknya kurang menitiberatkan semangat patriotisme. Remaja menyaksikan fenomena fata morgana dan mereka disilau kemilau dunia. Mereka dikhabarkan terlalu sibuk dengan kepentingan kerjaya lantas kurang memberi sambutan terhadap kempen-kempen hari kebangsaan yang diadakan.

Hakikatnya, walau apa jua faktor atau alasan yang dilontarkan, nescaya kita tidak boleh berpeluk tubuh dan membiarkan semangat patriotisme ini luntur. Apatah lagi golongan remaja bakal mendukung hala tuju dan masa depan negara. Oleh hal yang demikian, kita semua bertanggungjawab melakukan pelbagai usaha dan inisiatif untuk menyemarakkan semangat patriotisme dalam kalangan masyarakat.

Benar kata pepatah, melentur buluh biarlah dari rebungnya. Justeru, salah satu kaedah menyuntik semangat patriotik adalah semenjak dari bangku sekolah lagi. Rangkaian aktiviti patriotik di sekolah, lebih-lebih lagi sepanjang bulan kemerdekaan seperti pertandingan trivia, deklamasi sajak, nyanyian dan pertandingan hiasan adalah beberapa inisiatif boleh dianjurkan untuk merangsang minat remaja dan menggalakkan semangat perpaduan yang lebih erat.

Untuk memperkukuhkan lagi usaha meningkatkan semangat patriotisme, belia dan mahasiswa di institusi pengajian tinggi diberikan peluang untuk berjumpa dengan pemimpin negara dan tokoh dalam pelbagai bidang. Program dan sesi libat urus sebegini dapat meningkatkan daya juang remaja demi negara dan mampu memberikan motivasi untuk terus mencapai kejayaan dan matlamat dalam kehidupan.

Aktiviti percutian seperti melawat tempat bersejarah bersama ahli keluarga juga merupakan cara untuk menyuntik semangat patriotik dalam kalangan masyarakat. Inisiatif ini dilakukan dengan mempromosikan tempat-tempat percutian yang mempunyai sejarah dan cerita mengenai tokoh-tokoh berjasa dengan mengaitkan kehidupan masyarakat pada masa lalu dan kini.

Promosi tersebut boleh dilakukan melalui segmen video berkonsepkan trivia sejarah di aplikasi media sosial untuk lebih lagi menarik masyarakat menghayati sejarah tanah air kita. Ini pasti dapat menanam rasa hormat dan rasa cinta akan negara disebabkan pengorbanan yang dilakukan telah menjadikan negara ini aman dan makmur.

Tiktok

Penganjuran program dipenuhi dengan aktiviti yang memupuk semangat patriotik seperti kawad kaki dan latihan berkumpulan juga boleh disertai oleh generasi masa kini.

Program ini adalah gabungan latihan ketenteraan dan memupuk semangat patriotik dan kesepunyaan dalam masyarakat. Menerusi program-programs seumpama ini, generasi muda dapat mempelajari nilai-nilai murni seperti tanggungjawab, saling kerjasama dan hormat-menghormati antara satu sama lain iaitu mereka akan berkumpul berbilang kaum, budaya dan agama yang berbeza.

Hal ini akan membentuk semangat perpaduan dalam diri yang merupakan elemen yang penting dalam semangat patriotik. Selain itu, program ini akan melahirkan generasi yang mengetahui hal kenegaraan berkaitan dengan kedaulatan negara.

Selain itu, program memakai pakaian tradisional dalam kalangan masyarakat merupakan usaha untuk memupuk semangat patriotik. Hal ini membolehkan masyarakat untuk mengenali pelbagai budaya dan etnik yang ada di negara ini. Ini juga akan melahirkan perasaan cinta dan menghargai budaya kaum lain.

Program nyanyian, mencipta lagu patriotik dan tayangan video khas kisah tokoh pejuang kemerdekaan dan peranan petugas barisan hadapan boleh dijalankan kerana mampu untuk menyemarakkan semangat cinta dan bangga kepada negara.

Di samping itu, kempen penghayatan Rukun Negara perlu dipergiatkan dalam kalangan masyarakat. Ini kerana jika dilihat masih ada segelintir yang tidak mengetahui lima prinsip Rukun Negara jika ditemu bual. Oleh itu, melalui kempen penghayatan ini membolehkan rakyat lebih memahami, mempraktikkan dan menerapkan semua prinsip tersebut dalam kehidupan. Ia boleh dilakukan melalui program temu bual di televisyen atau radio.

Gajet

Dalam pada itu, program sukan adalah platform terbaik memangkin semangat patriotisme dan melentur semangat kekitaan tanpa mengira latar belakang, agama serta keturunan. Jika dilihat, kini anak muda ataupun masyarakat lebih gemar bermain gajet yang menjadikan masyarakat kurang bergaul. Oleh itu, galakan dalam penyertaan ramai dan berbilang etnik dalam program-program sukan seperti senamrobik, sukan larian, berbasikal dan sukan rakyat boleh mewujudkan sebuah negara yang berbudaya sukan malah kelangsungannya adalah untuk melahirkan masyarakat yang sihat, cergas, patriotik dan bersatu-padu.

Kempen hari kebangsaan secara besar-besaran melalui pelbagai platform media sosial umpamanya Facebook, Twitter, Instagram dan TikTok juga merupakan usaha yang penting dalam menggelorakan lagi semangat patriotisme. Promosi kempen-kempen berkaitan dengan semangat patriotik seperti yang acap kali dianjurkan antara lain oleh Jabatan Penerangan Malaysia boleh meningkatkan kesedaran betapa pentingya semangat patriotisme dipupuk dalam kalangan masyarakat.

Media elektronik menerusi kaca televisyen dan corong radio haruslah menyiarkan lagu-lagu patriotik, rancangan atau program seperti dokumentari, rencana atau filem mengenai pejuang kemerdekaan negara yang boleh meningkatkan lagi semangat juang dan patriotisme rakyat.

Selain itu, pembingkaian naratif dalam papan iklan, kain rentang dan e-gegantung di tempat-tempat strategik turut boleh memberi ketampakan yang jelas dalam usaha mempromosikan kempen hari kebangsaan.

Kesimpulannya, usaha-usaha meningkatkan semangat patriotik dalam kalangan masyarakat haruslah dijalankan sepanjang masa tanpa henti. Hal demikian ini kerana semangat patriotik penting untuk membina nilai persefahaman dan penyatuan antara kaum serta menjadikan pemacu kepada kemajuan negara selaras dengan aspirasi Keluarga Malaysia.

DR. Amerjit Singh S. Bhag Singh ialah Pengarah Bahagian Media & Komunikasi Korporat, Jabatan Penerangan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×