Visi Heydar Aliyev di kota bersejarah Shusha

Visi Heydar Aliyev di kota bersejarah Shusha

HEYDAR Aliyev melambaikan tangan kepada penduduk Shusha ketika melawat bandar itu pada 1982.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TANGGAL 10 Mei lalu, rakyat Azerbaijan menyambut hari kelahiran pemimpin mereka, Heydar Aliyev. Namun, sambutan kali ini lebih bermakna setelah pembebasan kota kebudayaan Azerbaijan, Shusha, Karabakh pada 2020 dan ia begitu selari dengan impian Heydar Aliyev untuk melihat bumi itu dibebaskan daripada cengkaman Armenia.

Sewaktu Heydar Aliyev memimpin Azerbaijan (1969-1982), beliau memberi tumpuan utama kepada Karabakh sehinggakan segala tuntutan Armenia ke atas wilayah itu tidak pernah berjaya.

Armenia ketandusan idea memandangkan Heydar Aliyev merupakan seorang pemimpin yang bijaksana. Beliau bukan sahaja mampu mengemudi negaranya bahkan seorang pakar sejarah, geografi, ekonomi dan begitu menyelami pemikiran penduduk Karabakh. Sewaktu memegang jawatan tertinggi keselamatan Republik Sosialis Azerbaijan, beliau telah melakukan apa sahaja bagi mematahkan cubaan Armenia untuk menakluki wilayah itu dengan pelbagai helah dan cara.

Lawatan pertama Heydar Aliyev ke Shusha berlaku pada 1967. Ketika itu, konflik antara komuniti Azerbaijan dan Armenia sudah pun berlaku di Khankendi. Golongan nasionalis Armenia telah membunuh tiga rakyat Azerbaijan dengan kejam.

Selama 15 hari lawatan ke Shusha, beliau mengambil peluang mengkaji isu-isu berbangkit tentang kota itu secara mendalam. Di situ, beliau menyaksikan sendiri bagaimana rumah-rumah yang dibakar dan dimusnahkan sewaktu pencerobohan Armenia dari 1905 hingga 1907 dan 1918 hingga 1920 masih belum dipulihkan.

Monumen

Setelah diangkat sebagai Presiden Azerbaijan pada 1969, pemimpin agung itu menggerakkan pelbagai inisiatif dalam mengembalikan Shusha kepada wajah asalnya dengan memulihkan setiap rumah yang telah musnah serta memelihara monumen-monumen bersejarah di situ.

Sekalipun Armenia kembali membangkitkan isu Nagorno-Karabakh pada 1970-an, malangnya hasrat mereka sekali lagi digagalkan. Salah satu tumpuan penting yang diberikan oleh Heydar Aliyev adalah menaikkan semangat kebangsaan rakyat Azerbaijan di Nagorno-Karabakh.

Bandar Shusha sangat penting kepada Heydar Aliyev yang dianggap sebagai kota bersejarah yang kaya dengan asal usul dan simbol kepahlawanan rakyat Azerbaijan. Pada 1970-an, di bawah inisiatif langsung Heydar Aliyev, beberapa keputusan khas dibuat untuk membangunkan bandar Shusha.

Selaras dengan keputusan itu, tapak-tapak bangunan asal serta monumen bersejarah dipulihkan termasuk pembinaan kediaman bertingkat baharu, hotel dan bangunan pentadbiran. Pada masa sama, status Shusha dinaikkan dan bertukar menjadi bandar peranginan.

Pembangunan pesat itu menawarkan banyak pekerjaan tambahan kepada rakyat Azerbaijan di situ dan taraf hidup penduduknya bertambah baik. Pengunjung yang bertandang ke Shusha dapat mengenali sejarah, budaya dan seni Azerbaijan dengan lebih dekat lagi.

Masjid

Perlu diketahui bahawa dari 1920 hingga 1970, tidak pernah lagi kerja-kerja pembinaan berskala besar dijalankan di Shusha. Pada 1975 sahaja, 25,000 Manat (kini bersamaan 245,000 dolar Amerika Syarikat) dibelanjakan untuk pemulihan Tembok Kubu dan Gerbang Genja di bandar itu. Makam tokoh-tokoh kebudayaan, kesenian dan sains Azerbaijan termasuk penulis terkemuka abad ke-19, Gasim bey Zakir turut dipulihkan.

Ternyata ini merupakan satu langkah strategik Heydar Aliyev yang hebat dari segi membawa pembangunan ekonomi yang lebih besar di sekitar kawasan pergunungan dan tanah rendah Karabakh dan wilayah lain di Azerbaijan.

Alhamdulillah, setelah kota ini dibebaskan pada 2020, Yayasan Heydar Aliyev mengambil langkah untuk memulihkan setiap masjid yang terdapat di Shusha antaranya Masjid Ashaghi Govhar Agha, Masjid Yukhari Govhar Agha dan Masjid Saatli yang direka oleh Karbalayi Safikhan, salah seorang pelajar di sekolah arkitek Karabakh.

Masjid-masjid ini telah dimasukkan di dalam senarai monumen bersejarah dan budaya yang mempunyai kepentingan negara. Monumen-monumen keagamaan telah dirosakkan sewaktu pendudukan Armenia di Shusha.

Bahagian dalam Masjid Yukhari Govhar Agha sebelum ini musnah sepenuhnya termasuklah hiasan pada menara-menaranya. Habis semua elemen seni bina lainnya musnah.

Peringkat pertama pembinaan semula telah selesai. Kini kerja-kerja sedang dijalankan pada peringkat kedua. Batu di dinding masjid diletakkan mengikut projek asal. Kerja-kerja penilaian sedang dijalankan dengan penyertaan pakar asing di Masjid Ashaghi Govhar Agha yang musnah akibat pendudukan Armenia.

Saya sendiri menyaksikan beberapa buah masjid ini di Karabakh dan apa saya boleh perkatakan ialah kerajaan Azerbaijan telah melakukan yang terbaik dalam memelihara rumah suci umat Islam. – UTUSAN

PENULIS ialah pemerhati isu tempatan dan antarabangsa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×