Harga emas, minyak mentah susut

Harga emas, minyak mentah susut

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SINGAPURA: Harga minyak susut pada Isnin, menyertai kejatuhan pasaran saham di Asia, dicetuskan oleh kebimbangan kemelesetan global yang boleh menjejaskan permintaan, de­ngan pelabur melihat perbincangan Kesatuan Eropah me­ngenai sekatan minyak Russia dijangka mengetatkan bekalan.

Minyak mentah Brent turun 28 sen, atau 0.3 peratus kepada AS$112.11 (RM490.93) setong dalam sesi awal dagangan.

Minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) Amerika Syarikat (AS) pula pada $109.36 (RM478.62) setong, turun 41 sen, atau 0.4 peratus, lapor Reuters.

Sementara itu, emas jatuh didorong oleh kenaikan dolar dan hasil Perbendaharaan As yang menekan permintaan terhadap emas.

Emas spot turun 0.4 pe­ratus kepada AS$1,874.89 (RM8,210.14) seauns, manakala niaga hadapan emas AS juga susut 0.4 peratus kepada AS$1,874.80 (RM8,209.80).

Dolar AS mengukuh menghampiri paras tertinggi dalam tempoh 20 tahun baru-baru ini, menjadikannya kurang menarik bagi pemegang mata wang lain.

Penganalisis CMC Markets, Tina Teng berkata, sentimen penghindaran risiko yang lebih luas dicetuskan oleh kebimba­ngan kemelesetan, dan penutupan China adalah faktor utama yang menekan harga minyak global.

Selain itu, pasaran kewangan global juga `digerunkan’ oleh kebimbangan mengenai kenaikan kadar faedah dan lanjutan penutupan Covid-19 di China yang menjejaskan ekonomi ke­dua terbesar dunia itu.

“Penutupan berterusan aktiviti di China boleh terus membebankan harga minyak dalam jangka terdekat. Pemotongan harga oleh Arab Saudi juga mencerminkan kebimbangan terhadap permintaan minyak global,” kata Teng.

Kelmarin, Arab Saudi, pengeksport minyak utama dunia, menurunkan harga minyak mentah bagi pasaran Asia dan Eropah untuk niaga hadapan pada Jun.

Minggu lalu, Brent dan WTI meningkat untuk minggu ke­dua berturut-turut berikutan kebimbangan bekalan selepas Suruhanjaya Eropah mencadangkan sekatan berperingkat ke atas minyak Russia sebagai sebahagian daripada pakej sekatan paling sukar bagi konflik di Ukraine. Cadangan itu memerlukan undian sebulat suara dalam kalangan anggota EU.

Timbalan Perdana Menteri Bulgaria, Assen Vassilev bagaimanapun dilaporkan ber­kata, jika tidak mendapat penangguhan, negaranya akan memveto sekatan minyak EU ke atas Russia.

“Rundingan itu akan diteruskan esok (Selasa), mesyuarat para pemimpin mungkin diperlukan untuk memuktamadkan rundingan. Pendirian kami sa­ngat jelas. Jika terdapat pengurangan untuk beberapa negara, kami mahu mendapatkan pe­ngurangan juga,” kata Vassilev kepada televisyen nasional Bulgaria, BNT.

Bulgaria sebelum ini memberitahu bahawa ia akan mendapatkan pengecualian cada­ngan larangan minyak Russia jika penyisihan itu dibenarkan, namun, tetapi tidak jelas sama ada ia memohon pengecualian penuh atau penangguhan se­perti yang dicadangkan untuk Hungary, Slovakia dan Republik Czech.

“Pengecualian “pasti akan menjadikan sekatan kurang berkesan,” kata Teng.

Kelmarin, negara G7 berjanji untuk mengharam atau menghentikan import minyak Russia secara berperingkat, dan Washington mengenakan sekatan baharu terhadap eksekutif Gazprombank dan perniagaan lain.

Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida memberitahu, Jepun sebagai sebahagian daripada anggota G7 dan satu daripada lima pengimport minyak mentah utama dunia, pada dasarnya akan mengharamkan import minyak mentah Russia. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×