HASRAT murni Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk memperkasakan bahasa Melayu jelas tergambar dengan penggunaan bahasa tersebut dalam pertemuan beliau semasa lawatan rasmi ke luar negara seperti Brunei, Thailand dan Indonesia, baru-baru ini. Bahkan, beliau mengambil satu lagi langkah lebih pragmatik dengan mengusulkan bahasa Melayu dijadikan sebagai bahasa kedua ASEAN.
Walaupun cadangan Ismail Sabri tersebut diterima baik oleh Presiden Indonesia pada awalnya, namun kenyataan dikeluarkan oleh salah seorang menteri republik itu telah mengubah keadaan. Menteri Indonesia terbabit menolak cadangan tersebut dan sebaliknya menyatakan bahawa bahasa Indonesia lebih sesuai untuk dijadikan bahasa kedua ASEAN. Hujahan bahawa bahasa Indonesia dipertuturkan oleh lebih 250 juta orang berbanding bahasa Melayu dijadikan sandaran untuk kenyataannya.
Cadangan Ismail Sabri tersebut bukanlah sesuatu yang dibuat tanpa sebarang pertimbangan teliti. Sebaliknya, beliau berani mencadangkan bahasa Melayu sebagai bahasa kedua ASEAN setelah meneliti kedudukan bahasa Melayu dari aspek sejarah. Kajian dan catatan sejarah yang dijalankan sebelum ini mendapati bahawa bahasa Melayu pernah menjadi bahasa lingua franca di Nusantara seawal abad keenam lagi. Para pedagang dari China dan India yang singgah di Kepulauan Melayu menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa perantaraan antara mereka dengan orang tempatan. Malah ramai daripada mereka mempelajari bahasa Melayu kerana menyedari kepentingannya sebagai bahasa perdagangan.
Sementelah itu, Tan Sri Dr. Rais Yatim, seorang pejuang bahasa, budaya dan warisan Melayu tersohor menyatakan bahawa bahasa Melayu bukan sahaja berperanan sebagai lingua franca di Nusantara, bahkan bahasa Indonesia itu sendiri didasari oleh bahasa Melayu. Malah beliau menyatakan bahawa pejuang kemerdekaan Indonesia dalam Sumpah Pemuda 1945 pada Kongress 1928 dan 1938 memperakukan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa wilayah atas dasar kedudukannya sebagai salah satu bahasa terawal di Asia Tenggara.
Rais Yatim mengukuhkan pandangannya dengan menjelaskan bahawa bahasa Melayu adalah bahasa asas bagi tujuh negara ASEAN seperti Indonesia, Malaysia, Brunei, Singapura, Selatan Thailand dan juga bagi golongan minoriti Kemboja serta Selatan Filipina. Dengan itu, beliau menuntut bagi mengelakkan sebarang pergeseran geopolitik, bahasa Melayu adalah lebih layak dan sesuai dijadikan bahasa kedua ASEAN.
Begitu juga, Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan, Pengarah Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia turut menyuarakan bahawa dalam sejarah sendiri tercatat bahawa bahasa Melayu amat sinonim dengan penduduk rantau ini. Beliau juga berpendapat, bahasa Melayu adalah bahasa supra yang digunakan di Nusantara sejak beberapa abad.
MEJA BULAT
Sehubungan dengan usaha pemerkasaan bahasa Melayu, kerajaan pimpinan Ismail Sabri mengarahkan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) untuk mengambil langkah-langkah jitu dan sewajarnya bagi mengangkat martabat bahasa Melayu ke tahap lebih tinggi sehingga menjadikannya sebagai bahasa kedua ASEAN, di samping meningkatkan penggunaan bahasa Melayu dalam bidang ilmu, komunikasi, diplomasi dan seni budaya.
Dalam merealisasikan hasrat dan harapan kerajaan kepimpinan Ismail Sabri, Sidang Meja Bulat bagi Pemartabatan Bahasa Melayu dianjurkan oleh DBP. Persidangan tersebut dihadiri lebih daripada 45 pemimpin, pejuang dan pelopor bahasa Melayu yang mewakili pelbagai pertubuhan bukan kerajaan di Kuala Lumpur. Persidangan Meja Bulat tersebut dipengerusikan oleh Rais yang merupakan Yang di-Pertua Dewan Negara juga seorang peneraju pemartabatan bahasa Melayu.
Dalam peristiwa bersejarah tersebut, semua pihak bersetuju sebulat suara menyokong usaha kerajaan Malaysia untuk meminda dan memperkasa Akta DBP 1959 yang akan memberikan kuasa lebih luas kepada DBP terhadap pengurusan hal-hal berkaitan pemartabatan bahasa Melayu di negara ini. Malah para perwakilan meja bulat mengesyorkan agar meletakkan DBP di bawah Perkara 40 Perlembagaan Persekutuan. Langkah memperkasaan Akta DBP pasti akan menghidupkan dan melestarikan roh bahasa Melayu seiring dengan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan.
Bahasa Melayu bukanlah milik sesuatu kaum tertentu, tetapi milik setiap penduduk di Nusantara. Adalah menjadi harapan agar bahasa Melayu dijulang sebagai bahasa kedua ASEAN yang menjadi elemen penting dalam sosiobudaya masyarakat di rantau ini. Rakyat Malaysia tidak kira kaum, agama dan dan budaya yang menerima bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi Persekutuan, sewajarnya berusaha menggunakan bahasa Melayu dalam komunikasi rasmi dan tidak rasmi.
Malah kita juga harus berasa bangga dan menyokong usaha pemimpin kita untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa kedua ASEAN. Kita perlu sedar bahawa walaupun Ismail Sabri berusaha memartabatkan bahasa Melayu dan meletakkan tanggungjawab kepada agensi seperti DBP, namun sebagai rakyat, kita juga harus berkongsi tanggungjawab tersebut sebagai usaha nasional. Dengan tanggungjawab dan komitmen semua pihak, maka akan terjamin kejayaan pemartabatan bahasa Melayu kelak, bak kata peribahasa, bersatu kita teguh, bercerai kita roboh.-UTUSAN
DATUK M. Periasamy ialah penganalisis sosiopolitik.










