GUATEMALA: Kira-kira 150 penduduk terkorban atau masih belum diketahui nasib di Guatemala ekoran insiden tanah runtuh akibat Taufan Eta yang memusnahkan sebuah perkampungan orang asli di bahagian utara negara ini.
Angka korban itu merupakan tambahan kepada hampir 12 orang yang maut di kawasan lain di Amerika Tengah sejak Taufan Eta membadai Nicaragua pada Selasa lalu.
Presiden Alejandro Giammattei berkata, sebuah pasukan tentera sudah tiba di perkampungan utara Queja untuk memulakan operasi mencari dan menyelamat, di tengah kebimbangan sebahagian besar penduduk terbunuh.
Katanya, laporan awal menunjukkan bahawa sebanyak 150 rumah dipenuhi dengan kira-kira 100 penduduk yang meninggal dunia.
Tambah Giammattei, satu lagi kejadian tanah runtuh yang berlaku di bahagian timur laut Huehuetenango, di sempadan dengan Mexico juga mengakibatkan 10 orang maut.
“Kami membuat pengiraan antara jumlah orang mati dan yang hilang, angka tidak rasmi menunjukkan sekitar 150 maut,” katanya yang mengemaskini angka kematian negara berbanding 50 kematian dilaporkan Khamis lalu.
Beliau berkata, situasi di Queja amat kritikal dengan hujan lebat secara berterusan sehingga menyebabkan tanah runtuh baharu serta beberapa jalan masih tersekat.
Kira-kira 2,500 penduduk di kawasan orang asli Mayan kehilangan harta benda mereka dalam banjir lumpur. – AFP










