Kewujudan Lembah Automotif Berteknologi Tinggi atau AHTV yang dibangunkan DRB-HICOM Berhad di Tanjung Malim, Perak menjadikan negara sebuah hab pengeluar kenderaan elektrik dan pembekal komponen ke pasaran ASEAN, bahkan ke pasaran yang lebih luas lagi.
AHTV dilancarkan secara rasmi oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Proton Tanjung Malim, baru-baru ini.
Majlis pelancaran dihadiri Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz; Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong dan Pengerusi DRB-Hicom, Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin.
AHTV dibangunkan oleh DRB-HICOM yang disifatkan sebagai permulaan penting bagi projek mega berimpak tinggi yang dijangka merancakkan industri automotif ngara.
Menekankan kepada sistem dan teknologi baharu dalam industi automotif global, iaitu elektrifikasi kepintaran buatan atau AI, teknologi autonomi dan ketersambungan termaju, AHTV dijangka menjadi hab kepada industri automotif bagi rantau ASEAN.
Pembangunan AHTV bertujuan mengadaptasi perubahan landskap industri automobil malaysia dengan menampilkan ekosistem bersepadu yang akan menjadi pemangkin dalam merangsang semula sektor automotif domestik selari dengan hala tuju dasar automotif negara (NAP) 2020.
Ia bagi memastikan industri automotif negara terus berkembang dab setanding dengan negara jiran.
Dengan wujudnya sistem, infrastruktur dan sokongan daripada pemegang taruh yang betul, AHTV akan berada pada landasan yang baik untuk menarik pelaburan daripada pemain industri di rantau ini seterusnya memacu pertumbuhan dan keupayaan industri automotif tempatan.
Penglibatan rakan strategik DRB-HICOM bagi pengeluar kereta nasional Proton, Geely Holding Group yang terkenal dengan kekuatan teknologi mereka dalam ekosistem automotif, merupakan pemangkin kepada AHTV.
Ia menjadi pendorong kepada pengeluar dan komponen kereta terutamanya dari China untuk melabur dalam fasiliti pengeluaran tempatan, seterusnya mewujudkan peluang perniagaan dan eksport baharu.
Pada asasnya, AHTV mempunyai potensi sebagai pintu masuk ke pasaran ASEAN dan OIC untuk syarikat yang menjadikannya mereka sebagai pangkalan.
Sementara itu, berucap pada pelancaran AHTV, Perdana Menteri berkata, pembangunan AHTV juga dapat menarik minat pelabur asing khususnya dari China dan negara lain kerana berpotensi memperkasakan ekosistem dunia automotif dalam satu kawasan yang besar.
Menurut Ismail Sabri, jika di negara lain seperti Amerika Syarikat boleh bangga dengan Detroit, sebuah daerah yang terkenal dengan industri pembuatan keretanya tidak mustahil satu hari nanti Tanjung Malim akan dikenali sebagai hab permotoran yang hebat di rantau ini.
“Selain itu, Tanjung Malim bakal menyaksikan limpahan ekonomi daripada aktiviti projek pembangunan AHTV yang dijangka menjana peluang pekerjaan sebanyak 370,000 sepanjang pembinaan dan 160,000 apabila beroperasi kelak.
“Pembangunan lain yang mempunyai rantaian ekonominya seperti taman perindustrian dan pembangunan hartanah bagi tujuan komersial secara keseluruhannya berpotensi menjana sebanyak RM32 bilion menjelang 2030.
“AHTV juga disasarkan menjadi pusat rujukan Pembangunan dan Penyelidikan (R&D) bagi teknologi berasaskan pematuhan iklim global dengan penubuhan universiti penyelidikan yang signifikan dengan industri ini.
“Secara tidak langsung pembangunan AHTV dapat memberi tumpuan kepada kemajuan kenderaan elektrik yang menjadi hala tuju masa depan industri automotif dengan memanfaatkan Kecerdasan Buatan (AI) dan teknologi mutakhir,” katanya.
Perdana Menteri berkata, usaha membangunkan AHTV sebagai hab baharu pengeluaran kenderaan elektrik ini selari dengan hasrat dan komitmen kerajaan ke arah pencapaian matlamat Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) selain menjadikan Malaysia sebagai negara neutral karbon menjelang tahun 2050.
Beliau berkata, kerajaan berharap projek pembangunan ini akan dapat memacukan pembangunan industri hiliran dan lain-lain sektor yang menumpukan teknologi terkini terutamanya dalam penggunaan dan pengurusan sumber yang cekap sekali gus mengurangkan kesan rumah hijau.
“Dengan hala tuju yang dibuat secara teliti, AHTV akan memberi manfaat bukan sahaja kepada penduduk tempatan, malah kepada negara Malaysia amnya.
“Diharapkan agar pelancaran AHTV ini menjadi penanda aras kepada satu lagi pembangunan negara yang berimpak tinggi dan memacu kejayaan negara secara holistik.
“Saya yakin dan percaya dengan kemampuan DRB-HICOM dibantu penyelarasan bersama agensi kerajaan yang berkaitan serta dana yang disalurkan, ia mampu menjadi projek mega kawasan perindustrian automotif yang gah di rantau ini,” katanya.
Ismail Sabri juga mencadangkan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang juga terletak dalam wilayah berteknologi tinggi di sini membangunkan sebuah pusat latihan dan penyelidikan automotif.
Beliau berkata, ini bagi memenuhi keperluan dari segi tenaga kerja terlatih, pendidikan dan juga penyelidikan.
“Dilengkapi dengan bilik kuliah, kemudahan penginapan dan makmal berteknologi tinggi, pusat latihan dan penyelidikan automotif di di UPSI akan memberikan tumpuan kepada penyelidikan, latihan kemahiran, pembangunan sumber manusia, serta penyelenggaraan yang berkaitan dengan teknologi automotif terkini.
“Ini bagi memastikan permintaan dan bekalan dari segi teknologi terkini, latihan serta sumber tenaga manusia di AHTV ini dapat dilestarikan secara produktif,” katanya. – UTUSAN









