PETALING JAYA: Institusi kewangan sedang memulakan langkah untuk mengambil kira risiko iklim dalam strategi dan rangka kerja pengurusan risiko mereka, dan sedang mencapai kemajuan yang besar dalam komitmen kepada sasaran Sifar Bersih.
Menurut Timbalan Ketua Eksekutif Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dan Pengerusi Bersama Jawatankuasa Bersama Mengenai Perubahan Iklim (JC3), Datuk Zainal Izlan Zainal Abidin, terdapat juga peningkatan bekalan produk kewangan dan pelaburan hijau di pasaran.
Beliau berkata, dalam memacu agenda kelestarian, tiga cabaran utama yang dikenal pasti dalam Laporan Landskap Kewangan Mampan di Malaysia ialah kualiti dan ketersediaan data yang lemah, kekurangan insentif dan tahap kesedaran yang rendah tentang penyelesaian kewangan hijau dalam pasaran.
“Usaha bersepadu diperlukan bagi menangani cabaran ini untuk mempercepat kadar peralihan dan menyokong peralihan yang teratur ke arah Sifar Bersih,” katanya dalam kenyataan bersama SC dan Bank Negara Malaysia (BNM) Mempercepat Tindak Balas Sektor Kewangan Terhadap Risiko Iklim.
JC3 telah mengadakan mesyuarat kali ketujuh pada 26 April 2022 dengan tumpuan pada kemajuan pelan tindakan dan keutamaan untuk 2022 serta kesan perkembangan global terkini ke atas usaha peralihan dan tindak balas dasar oleh negara-negara.
Jelas kenyataan itu, ahli-ahli JC3 mengambil maklum bahawa perkembangan ini mungkin melambatkan kemajuan usaha peralihan dan menekankan perlunya sektor kewangan memantapkan tindak balas terhadap perubahan iklim.
Ahli-ahli JC3 turut membincangkan CEO Action Network (CAN) – Climate Governance Malaysia (CGM) mengenai Report on Exploring a Low Emissions Pathway for Malaysia dan mempertimbangkan cara selanjutnya untuk sektor kewangan memberikan sumbangan bagi menyokong haluan pelepasan rendah (low emissions pathway) untuk Malaysia.
Mereka juga mengambil maklum bahawa keperluan perundangan dan struktur yang lebih luas kekal menjadi faktor yang sangat penting.
Ahli-ahli JC3 turut mengalu-alukan rancangan Komuniti Pengamal bagi Pengantaraan Berasaskan Nilai (Value-based Intermediation Community of Practitioners, VBI COP) untuk melaksanakan panduan sektoral VBIAF kohort ketiga yang akan memberikan tumpuan pada sektor perlombongan dan kuari, pertanian, pengangkutan dan penyimpanan serta pengurusan sisa.
Sementara itu, Timbalan Gabenor BNM yang juga Pengerusi Bersama JC3, Jessica Chew berkata, penerbitan draf Panduan Pelaksanaan dan usaha yang dilakukan pada katalog data adalah tepat pada masanya kerana institusi kewangan sedang bersiap sedia untuk melaksanakan penzahiran risiko kewangan berkaitan iklim yang sejajar dengan TCFD mandatori pada 2024.
Kata beliau, dijangkakan institusi kewangan akan menerima pakai saranan yang melebihi kelaziman yang ditetapkan dalam Panduan Pelaksanaan untuk menggalakkan kesan positif yang cepat dan meluas ke atas kegiatan ekonomi yang melibatkan sektor kewangan.
“Berikutan kesan kewangan yang ketara daripada risiko berkaitan iklim, panduan ini juga akan meningkatkan ketelusan pasaran berhubung dengan cara institusi kewangan menyepadukan pertimbangan risiko iklim ke dalam keputusan
perniagaan dan pengurusan risiko,” katanya. – UTUSAN










