PETALING JAYA: Kerajaan dijangka membelanjakan antara RM25 bilion hingga RM30 bilion untuk menampung subsidi minyak pada tahun ini.
Menurut firma penyelidikan MIDF Research, kerajaan ketika ini mengawal harga minyak RON95 pada RM2.05 selitar dan minyak masak pada RM2.15 seliter.
Jelasnya, berdasarkan data harga minyak sebelum ini, kerajaan telah memberi subsidi hampir 28 peratus kepada margin sebenar harga RON95 pada 2011, berjumlah RM20 bilion.
Katanya, jumlah subsidi itu meningkat kepada RM27 bilion pada 2012 dengan kerajaan menampung 31 peratus margin sebenar harga bahan api itu.
“Dengan harga minyak AS$110 setong dan purata RM4.09 seliter pada tahun ini, kami menjangkakan kerajan perlu menampung kira-kira 55 peratus daripada margin sebenar RON95 iaitu RM3.18 seliter.
“Mengambil kira unjuran harga itu, dijangkakan subsidi minyak berjumlah antara RM25 bilion hingga RM30 bilion tahun ini,” katanya dalam nota kajian.
MIDF Research berkata, subsidi minyak merujuk kepada perbelanjaan yang dikeluarkan oleh kerajaan untuk mengekalkan harga siling RON95, diesel, gas petroleum cecair (LPG) dan minyak masak.
Firma penyelidikan itu berkata, kerajaan membentang Bajet 2022 dengan jangkaan harga purata minyak mentah Brent pada AS$66 setong pada tahun ini.
Berdasarkan perkiraan itu katanya, perolehan berasaskan minyak dijangka meningkat kepada RM44 bilion atau 20 peratus daripada jumlah keseluruhan perolehan.
Menurutnya, perolehan berasaskan minyak tidak bergerak seiring dengan trend kenaikan harga minyak dalam tempoh empat tahun lalu disebabkan pembatalan GST, pandemik Covid-19 dan gangguan bekalan.
Jelasnya, meskipun harga Brent meningkat hampir dua kali ganda daripada unjuran awal iaitu AS$42 kepada AS$70.3 setong pada 2021, perolehan berasaskan minyak tidak meningkat disebabkan pandemik dan gangguan bekalan.
“Pada tahun ini, ekonomi global dan ekonomi Malaysia telah menerima norma baharu, memudahkan input dan mengurangkan gangguan bekalan.
“Dengan harga komoditi kekal tinggi, kami percaya tahun ini akan menyaksikan lebih banyak lagi terjemahan yang bermakna kepada keluaran dan jualan perlombongan yang lebih tinggi. Kami meramalkan hasil petroleum berjumlah RM72.1 bilion pada 2022,” katanya. – UTUSAN










