BENGALURU: Harga emas lebih rendah pada Isnin menghampiri paras terendah dalam dua minggu apabila dolar Amerika Syarikat (AS) yang tinggi terus menekan permintaan untuk jongkong berharga dolar AS.
Emas spot turun 0.1 peratus pada AS$1,928.08 (RM8,383.29) seauns. Niaga hadapan emas AS turun 0.2 peratus pada AS$1,930.10 (RM8,398.83).
Dolar stabil menghampiri paras tertinggi dalam dua tahun pada sesi sebelumnya, menjadikan emas kurang menarik bagi pembeli yang memegang mata wang lain.
Lapor Reuters, harga emas jatuh ke paras terendah sejak 7 April dan menandakan penurunan mingguan apabila tanda-tanda pengetatan dasar yang lebih pantas oleh Rizab Persekutuan AS (Fed) menaikkan hasil Perbendaharaan dan dolar.
“Hasil Perbendaharaan 10 tahun AS, bagaimanapun, turun ke paras tertinggi baru-baru ini pada Isnin, mengehadkan kerugian dalam hasil sifar emas.
“Dengan jangkaan untuk kenaikan kadar setengah peratusan mata dalam mesyuarat Fed pada Mei ini, peniaga pada Jumaat lalu meletakkan pertaruhan bahawa bank pusat akan meningkatkan kadar lebih tinggi pada bulan-bulan berikutnya,” katanya.
Emas sangat sensitif terhadap kenaikan kadar faedah jangka pendek AS dan hasil yang lebih tinggi, yang meningkatkan kos peluang untuk memegang jongkong yang tidak memberi hasil.
Namun, ia juga dilihat sebagai penyimpan nilai yang selamat semasa krisis ekonomi dan politik.
Ukraine telah bersedia untuk meminta Setiausaha Negara AS, Antony Blinken dan Setiausaha Pertahanan, Lloyd Austin untuk AS membekalkan senjata yang lebih berkuasa semasa lawatan pegawai ke Kyiv pada Ahad memandangkan Rusia telah menceroboh negara itu lebih tiga bulan.
Saham AS yang terjejas berdepan tekanan yang berpotensi untuk menyakitkan pada minggu-minggu akan datang kerana Fed yang agresif, hasil bon yang meningkat, ketidaktentuan geopolitik dan musim pendapatan korporat mencetuskan kebimbangan pelabur.
Perak spot susut 0.2 peratus kepada AS$24.10 (RM104.87) setiap auns, platinum susut 0.2 peratus kepada AS$928.77 (RM4041.54) dan palladium turun 2.3 peratus kepada AS$2,319.78 (RM10,094.52). – AGENSI










